Topic followed successfully
Go to BHkuIsu projek tergendala: Lebih ramai klien BrandTok tampil, buat laporan polis
Isu projek tergendala: Lebih ramai klien BrandTok tampil, buat laporan polis
Isu projek tergendala: Lebih ramai klien BrandTok tampil, buat laporan polis
Sekurang-kurangnya 12 klien sebuah agensi pemasaran setempat tampil mendakwa projek mereka tergendala atau tidak menerima khidmat seperti yang dijangkakan.
Beberapa individu tersebut juga telah membuat laporan polis berhubung projek melibatkan agensi tersebut, BrandTok, yang memberi khidmat kepada perniagaan dan usahawan untuk membuat pemasaran di media sosial.
Berita Harian (BH) difahamkan jumlah kontrak bagi pelanggan ini adalah sebanyak $173,200.
BH juga difahamkan bahawa bayaran balik berjumlah $34,368 telah diberikan kepada lima pelanggan – empat menerima bayaran balik penuh manakala seorang menerima sebahagian sahaja.
Ketika diminta mengulas oleh Berita Harian (BH) sebelum ini, pemilik BrandTok, Encik Noor Hidayat Samion, yang juga dikenali sebagai Sam Heedy, mengakui bahawa syarikatnya sedang berdepan cabaran operasi dan kekangan kewangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Isu membabitkan BrandTok mula mendapat perhatian ramai selepas seorang usahawan tempatan meluahkan rasa kecewa di media sosial.
Beliau mendakwa syarikat pencipta kandungan dan pemasaran digital tersebut gagal menyediakan perkhidmatan yang dijanjikan, meskipun bayaran hampir $10,000 telah dijelaskan.
Kini beberapa lagi klien tampil, termasuk seorang usahawan yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Firdaus, yang berkata beliau menandatangani kontrak dengan BrandTok secara langsung pada Januari 2025, dan kontrak bermula pada Februari 2025.
“Kontrak tersebut melibatkan penghasilan 90 video dalam tempoh tiga bulan, dengan nilai kontrak sebanyak $9,500,” kata pengusaha perkhidmatan media yang membayar deposit separuh iaitu $4,750 dan menambah perbelanjaan sekitar $7,000 untuk keperluan tambahan.
Bagaimanapun, hasil video yang dihantar tidak begitu memuaskan, menurutnya yang berusia 38 tahun.
Walaupun beliau memberi maklum balas tentang isu tersebut, video seterusnya masih menampilkan masalah yang sama, termasuk kandungan yang berulang-ulang untuk menyiapkan lebih banyak video.
Selepas menilai prestasi 30 video pertama yang dimuat naik, Encik Firdaus mendapati tiada sebarang peningkatan atau impak dalam capaian penonton.
Encik Firdaus memilih untuk tidak membuat laporan polis atau membawa kes ini ke Tribunal Tuntutan Kecil, kerana beliau berasa ia mungkin tidak membawa hasil dan hanya membuang masa.
Sebaliknya, beliau memilih untuk menanggung kerugian itu.
Salah seorang lagi mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Atiqah, mendakwa beliau telah membeli sesi bengkel Masterclass yang berharga AS$1,000 ($1,270) daripada BrandTok.
Difahamkan, beliau menghadiri sesi Zoom percuma Masterclass tersebut selama satu jam pada waktu dinihari.
“Sam membuat tawaran kepada kami yang menghadiri sesi itu untuk membeli Masterclass yang dijadualkan untuk berlangsung selepas sesi percuma ini.
“Masterclass itu sepatutnya merangkumi strategi pemasaran secara peribadi, bimbingan tular (viral coaching), serta cara menghasilkan kandungan yang berpotensi tular.
“Saya membayar 10 peratus daripada harga tersebut. Namun, panggilan Zoom bagi Masterclass itu tidak dijalankan meskipun bayaran sudah dilunaskan,” katanya.
Disebabkan pengalaman itu, beliau juga menyedari daripada Google Review terdapat ramai lagi mangsa yang menceritakan pengalaman yang sama.
Hal itu membuatkan Cik Atiqah memutuskan untuk membatalkan semua langganan bersama BrandTok dan menuntut ganti rugi.
Beliau akhirnya berjaya mendapatkan bayaran balik selepas menegaskan bahawa beliau telah membatalkan langganannya.
Selain pelanggan, bekas pekerja bebas yang pernah bekerja dengan BrandTok juga tampil mendakwa bahawa pemilik agensi berkenaan berhutang wang kepada mereka.
Antaranya termasuk Encik Jafe Neo yang bertugas sebagai juruvideo bebas buat BrandTok.
Encik Neo telah bekerja selama enam bulan dan meskipun perkhidmatan beliau dibayar pada awalnya, pada bulan-bulan berikutnya bayaran menjadi lewat, tertangguh atau langsung tidak diterima serta diabaikan.
“Jumlah tertunggak akhirnya terkumpul kepada $5,886.48, yang hanya dibayar sepenuhnya selepas saya ugut untuk mengambil tindakan undang-undang,” kata Encik Neo.
Difahamkan terdapat beberapa juruvideo yang tidak dibayar dari tahun 2024 hingga ke hari ini.
Encik Neo juga mendakwa idea bagi penggambaran video dijana oleh ChatGPT dan juruvideo sendiri terpaksa berfikir secara spontan bersama klien semasa penggambaran.
“Ada juga ketika saya terpaksa duduk di hadapan klien dan bersama-sama memikirkan idea dengan klien sebelum penggambaran dilakukan, sedangkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku,” tambahnya lagi.
Pada 13 Mei, Encik Sam turut memuat naik video bagi membalas kenyataan yang dilakukan oleh @kaise.store, Cik Noor Shazniah Rahmat, 39 tahun.
Sebelum ini, Cik Shazniah mendakwa beliau telah membuat bayaran sebanyak $8,800 pada 22 Disember 2025 untuk pakej penghasilan 20 video TikTok bersama tiga video tambahan percuma.
“Sejak video dari Shazniah tular, saya menerima banyak ugutan.. serta fitnah dakwaan serius telah dibuat secara terbuka terhadap BrandTok,” katanya dalam video bertempoh lapan minit.
Encik Sam berkata syarikatnya sedang melalui salah satu tempoh operasi yang paling mencabar. Sebagai pengasas, beliau mengambil tanggungjawab penuh.
Menurutnya, terdapat banyak fakta lain yang tidak didedahkan oleh Cik Shazniah di dalam videonya.
Antaranya termasuk pelanggan melalui proses onboarding dan perjanjian yang jelas menyatakan bahawa perkhidmatan syarikat beroperasi di bawah polisi “tiada bayaran balik”.
“Kami pada awalnya mahu menyiapkan semua video pada Januari seperti yang dirancang, namun keadaan memaksa kami untuk membuat penggambaran semula dan Shazniah bersetuju,” katanya.
“BrandTok cuba meneruskan kerjasama walaupun projek tertangguh, tetapi ia ditolak oleh Shazniah walaupun pada awalnya beliau bersetuju,” tambahnya.
Encik Sam turut menjelaskan bahawa bekas pekerjanya telah menggodam e-melnya dan menuntut wang tebusan, sekali gus juga menjejaskan aliran kerja syarikat.
BH telah menghubungi pihak polis dan difahamkan siasatan sedang dijalankan.
