Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeluarga agih minuman percuma kepada pelari di Woodlands, ajar anak berbuat baik
Pasangan mahu anak alami sendiri bagaimana perbuatan kecil boleh beri semangat kepada orang lain
Keluarga agih minuman percuma kepada pelari di Woodlands, ajar anak berbuat baik
Di mana lagi mahu mengajar anak tentang erti kebaikan kalau bukan melalui pengalaman di dunia sebenar?
Bagi pasangan suami isteri, Encik Syafa’at Rahman dan Cik Izyan Liana, trek larian sepanjang Woodlands Avenue 12 menjadi 'bilik darjah’ buat dua anak mereka apabila sekeluarga mengagihkan minuman isotonik secara percuma kepada pelari dan orang awam yang bersenam di situ pada 26 September.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Izyan berkata mereka mahu anak mereka bukan sahaja memahami nilai berbuat baik melalui nasihat, malah merasai sendiri pengalaman membantu dan berinteraksi dengan orang lain.
Menurutnya, idea itu tercetus selepas melihat satu hantaran Instagram dari luar negara yang memaparkan seorang individu mengagihkan minuman kepada pelari jarak jauh sebagai tanda sokongan.
“Jadi, kami juga mahu lakukan perkara yang sama bersama anak-anak kami untuk menerapkan nilai kebaikan dalam diri mereka melalui aktiviti yang sama,” kongsi Cik Izyan, 33 tahun, seorang pendidik di sebuah pusat pendidikan Islam untuk kanak-kanak.
Dengan menggunakan wang sendiri, pasangan itu membeli dan menyediakan minuman sebelum membuka sebuah stesen kecil bersama dua daripada tiga anak mereka.
Dalam satu hantaran Instagram mengenai usaha tersebut yang meraih hampir 18,000 tontonan, anak mereka juga dilihat memegang papan tanda menarik perhatian orang ramai kepada stesen minuman percuma itu.
Menurut Cik Izyan, pengalaman tersebut membolehkan anak-anak mereka melihat sendiri bagaimana perbuatan semudah menghulurkan minuman boleh memberi kegembiraan dan semangat kepada orang lain.
“Anak-anak kami berasa sangat teruja kerana orang ramai juga sangat positif dan menunjukkan penghargaan mereka melalui aksi seperti ‘fist bump’,” ujarnya.
Malah, beliau berkata ada pelari juga yang berhenti di stesen mereka setelah berlari lebih 20 kilometer dan mengambil kesempatan untuk berborak dengan anak-anak mereka.
Bagi Cik Izyan, interaksi sedemikian menjadi satu lagi pengalaman pembelajaran kerana anak-anaknya berpeluang membina keyakinan untuk bertegur sapa dan berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali.
Pemilihan aktiviti tersebut juga dekat di hati pasangan itu kerana kedua-duanya berkongsi minat dalam sukan larian.
“Sebagai pelari, kami faham kepentingan memberi sokongan kepada pelari kerana ia dapat memberikan mereka semangat untuk terus berlari.
“Jadi, kami memilih aktiviti ini kerana kami juga mahu membuat mereka rasa gembira,” terang Encik Syafa’at, 34 tahun, seorang penolong jurutera.
Tambahnya, beliau juga bersyukur kerana dapat menyumbang kepada masyarakat pelari sambil melibatkan anak-anak dalam usaha tersebut.
Sambutan positif daripada pelari dan pengguna media sosial kemudian mendorong pasangan itu untuk meneruskan usaha berkenaan menerusi FuelGudClub, sebuah wadah yang mereka mulakan di Instagram.
Menurut Cik Izyan, buat masa ini FuelGudClub akan memberi tumpuan kepada pengagihan minuman kepada pelari, namun pasangan itu berharap dapat mengembangkan usaha tersebut kepada bentuk sumbangan masyarakat yang lain pada masa hadapan.
Lebih daripada sekadar menyediakan minuman percuma, pasangan itu berharap usaha tersebut dapat menggalakkan lebih ramai orang melakukan kebaikan mengikut kemampuan masing-masing.
“Kami juga mahu mengetengahkan mesej untuk mengajak masyarakat saling berbuat baik.
“Kalau sudah ada niat, buat sahaja. Kita tidak perlu tunggu masa yang tepat untuk berbuat baik,” kata Cik Izyan.
