Topik diikuti
Pergi ke BHkuKumpulan motosikal kibar bendera S’pura, tawan Himalaya sempena Hari Kebangsaan
Daripada menyambut Hari Kebangsaan dengan bunga api dan perarakan, 15 penunggang motosikal Singapura berusia antara 25 hingga 74 tahun memilih untuk menakluk salah satu laluan tunggangan paling mencabar di dunia – Banjaran Himalaya di Ladakh pada 2 Ogos.
Dengan membawa bendera Singapura di sepanjang laluan altitud tinggi, kumpulan penunggang tersebut menjadikan ekspedisi selama tujuh hari itu sebagai penghormatan sempena ulang tahun ke-61 Singapura.
Ekspedisi itu membuktikan bahawa semangat patriotisme boleh diraikan walaupun jauh dari tanah air.
Encik Norazhar Hussin, 55 tahun, yang mengetuai kumpulan itu, berkata mereka sengaja menetapkan perjalanan tersebut bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan.
“Sepanjang ekspedisi itu, kami membawa bendera Singapura dan mengibarkannya di setiap lokasi utama yang dikunjungi.
“Bagi kami, perjalanan tersebut bukan sekadar mengejar destinasi popular, tetapi peluang untuk menikmati pemandangan Himalaya yang menakjubkan, menguji ketahanan diri serta mengukuhkan semangat persahabatan dan kerja berpasukan,” kata pengurus kanan di sebuah perpustakaan itu.
Menurut Encik Azlam Shah Alias, 47 tahun, pengasas Assofi Travel & Services yang turut membantu menjayakan ekspedisi itu, berkata mereka juga akan menyebut slogan seperti ‘One People, One Nation, One Singapore’ di puncak Himalaya ketika mengibarkan bendera.
“Bagi kami, ia adalah simbol kebanggaan dan semangat untuk membawa nama Singapura ke tempat yang jauh,” katanya.
Kata seorang lagi peserta, Encik Mohamed Hassan Noordin, 47 tahun, tindakan mengibarkan bendera Singapura bukan bertujuan untuk bermegah.
“Ia merupakan tanda kebanggaan dan peluang untuk berkongsi kisah tentang Singapura dengan mereka yang kami temui sepanjang perjalanan, termasuk yang bertanya mengenai ekspedisi ini,” kata pengurus kanan kemudahan itu.
Ekspedisi ini melibatkan perjalanan menaiki motosikal selama lima hari di Ladakh sebagai sebahagian daripada perjalanan tujuh hari secara keseluruhannya.
Antara pencapaian terbesar mereka ialah kejayaan menawan Khardung La, yang terletak pada ketinggian 17,982 kaki (5,481 meter) dari aras laut dengan menggunakan motosikal sewa tempatan yang sesuai dengan keadaan laluan Ladakh.
Sepanjang perjalanan, mereka berdepan pelbagai cabaran termasuk altitud tinggi, keadaan jalan yang sukar, risiko tanah runtuh serta perubahan cuaca dengan suhu serendah enam darjah Celsius dan angin kencang.
Beberapa penunggang terjatuh dari motosikal, namun tiada yang mengalami kecederaan serius.
Sebelum berlepas ke India, kebanyakan peserta membuat persiapan fizikal dan ada antara mereka yang sudah berpengalaman dalam aktiviti berbasikal lasak dan jelajah motosikal.
“Setiap hari, kami akan menunggang sekitar 140 hingga 150 kilometer, bermula kira-kira jam 9 atau 10 pagi hingga enam petang.
“Walaupun jaraknya kelihatan tidak jauh, keadaan jalan yang mencabar menyebabkan setiap perjalanan mengambil masa antara enam hingga tujuh jam,” kata seorang lagi peserta, Encik Mohamad Amin Hadi, 53 tahun.
Bagi peserta, cabaran terbesar bukan hanya keadaan laluan atau cuaca, tetapi bagaimana mereka saling membantu dan memastikan setiap anggota pasukan dapat menamatkan perjalanan dengan selamat.
Bagi kumpulan ini, membawa bendera Singapura dalam perjalanan luar negara bukan perkara baharu.
Sebelum ini, mereka turut membawa bendera negara semasa ekspedisi motosikal ke Bromo, Indonesia, yang juga bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan.
Bagi mereka, kejayaan sebenar ekspedisi itu bukan sekadar menawan laluan sukar di Himalaya, tetapi membuktikan bahawa semangat persahabatan dan patriotisme mampu merentasi sempadan.
