Selepas lebih dua tahun menerima rawatan di hospital sejak dilahirkan, Ahmad Farhan Muhammad Norfauzan, akhirnya dibenarkan pulang ke rumah pada Jun 2026.

Farhan yang dilahirkan pramatang pada 8 Mei 2024 ketika baru berusia 25 minggu lima hari dalam kandungan, berdepan beberapa masalah kesihatan.

Bagi dua tahun pertama kehidupannya, Farhan menerima rawatan di Hospital Universiti Nasional (NUH) bagi menangani masalah jantung, selain penyakit paru-paru kronik dan barah hati.

Sebagai tanda penghargaan dan perpisahan, jururawat serta kakitangan NUH berbaris di sepanjang koridor untuk memberikan Farhan dan ibunya, Cik Nur Azura Abdul Hamid, 39 tahun, laluan penghormatan istimewa penuh bermakna.

Antara kakitangan NUH yang memberikan Ahmad Farhan Muhammad Norfauzan, laluan penghormatan terakhir ketika dibenarkan pulang buat kali pertama.
Antara kakitangan NUH yang memberikan Ahmad Farhan Muhammad Norfauzan, laluan penghormatan terakhir ketika dibenarkan pulang buat kali pertama. - Foto ihsan NUR AZURA ABDUL HAMID

Bagi ibu bapanya, Encik Muhammad Norfauzan Parsim, 42 tahun, dan Cik Azura, hari itu menandakan berakhirnya penantian panjang untuk membawa pulang anak tunggal mereka, di samping membuka lembaran baharu dalam kehidupan keluarga itu.

“Waktu itu kami ada rasa sedih, gembira, teruja dan takut.

“Kami akhirnya dapat membawa pulang Farhan selepas bertahun menunggu, namun, pada masa yang sama terpaksa meninggalkan pasukan perubatan yang telah menjadi sebahagian penting dalam kehidupan kami,” kata Cik Azura kepada Berita Minggu.

Awal sebelum itu, semasa usia kandungan 12 minggu, Farhan dikesan menghidap hipoplasia jantung kanan, iaitu keadaan apabila bahagian kanan jantung gagal berkembang dengan sempurna untuk mengepam darah mengandungi oksigen ke paru-paru.

“Ini menyebabkan bayi tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi dalam aliran darah selepas dilahirkan, sekali gus menyebabkan paras oksigen dalam darah menjadi rendah.

“Bagi Farhan, ventrikel kanan jantungnya sangat kecil, manakala injap pulmonari tidak terbentuk,” ujar Pakar Perunding Kanan, Bahagian Kardiologi Pediatrik, Jabatan Pediatrik, Institut Perubatan Kanak-Kanak Nasional Khoo Teck Puat (KTP-NUCMI), NUH, Dr Chen Ching Kit.

Meskipun diberitahu Farhan berisiko dilahirkan pramatang, mengalami komplikasi serius dan punya peluang tipis untuk hidup, pasangan itu tetap memilih untuk meneruskan kehamilan.

“Selagi dia masih dalam keadaan baik di dalam kandungan, kami mahu terus berjuang untuknya,” kata Cik Azura, seorang bekas pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Selain masalah jantung, Farhan mengalami penyakit paru-paru kronik ekoran lahir pramatang dan berat badannya semasa lahir juga amat rendah, iaitu 752 gram.

“Paru-parunya yang masih belum matang sepenuhnya ketika dilahirkan menyebabkan Farhan mengalami penyakit paru-paru kronik akibat kelahiran pramatang.

“Disebabkan keadaannya itu, tekanan dalam saluran darah paru-parunya juga meningkat, iaitu keadaan yang dikenali sebagai hipertensi pulmonari atau tekanan darah tinggi dalam peredaran darah paru-paru,” tambah Dr Chen.

Bulan-bulan pertama kehidupan Farhan turut dipenuhi ketidaktentuan.

Keadaannya boleh merosot secara tiba-tiba, menyebabkan ibu bapanya sentiasa bimbang akan menerima berita buruk daripada pihak hospital.

“Beberapa kali, kami menerima panggilan daripada hospital yang memaklumkan bahawa Farhan mengalami serangan jantung atau pernafasan terhenti dan memerlukan resusitasi.

“Enam bulan pertama itu merupakan tempoh yang amat meletihkan emosi kerana kami tidak pernah tahu apa yang akan berlaku seterusnya,” kata Encik Norfauzan, penyelia di pusat tukaran bas Tower Transit.

Farhan menjalani beberapa prosedur besar, termasuk pembedahan jantung terbuka pertamanya untuk memasang shunt – saluran membantu mengalirkan darah ke paru-paru – serta prosedur trakeostomi untuk membantu pernafasannya.

Doktor kemudian turut mengesan ketumbuhan pada hatinya pada Mac lalu.

Farhan disahkan menghidap hepatoblastoma, sejenis barah hati yang lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak kecil.

Ketumbuhan itu dibuang melalui pembedahan, diikuti dua kitaran kemoterapi.

“Alhamdulillah, ketumbuhan tersebut telah dibuang sepenuhnya dan rawatan kemoterapinya telah selesai,” kata Cik Azura.

Sepanjang lebih dua tahun di NUH, Farhan berpindah antara unit rawatan rapi neonatal (NICU) dan unit rawatan rapi pediatrik (PICU).

“Kehidupan kami banyak tertumpu di hospital. Hampir kesemua kakitangan hospital mengenali kami.

“Jadi kami cuba bawa suasana rumah ke hospital untuk Farhan. Setiap kali Hari Raya atau hari jadi, mereka akan menyambutnya bersama kami dan menghias wad dengan pelbagai dekorasi perayaan,” kongsi Cik Azura.

Sebelum dibenarkan keluar, Farhan perlu menunjukkan bahawa paras oksigennya dapat dikekalkan pada tahap yang sesuai dengan bantuan oksigen di rumah.

“Kami perlu menjalani latihan mengendalikan peralatan perubatan seperti mesin penumpu oksigen, tangki oksigen, ventilator dan pelembap udara, termasuk cara bertindak ketika kecemasan.

“Walaupun telah melalui pelbagai prosedur dan rawatan, Farhan masih memerlukan ubat jangka panjang bagi masalah jantung dan paru-parunya.

“Dia juga memerlukan tiub pemakanan serta trakeostomi untuk membantu memenuhi keperluan perubatannya,” tambah Cik Azura.

Kos rawatan Farhan sepanjang tempoh lebih dua tahun di hospital mencecah sekitar $530,000 selepas subsidi.

Walaupun sudah pulang, pengalaman meninggalkan hospital bukan sekadar detik kegembiraan bagi keluarga itu dan perjalanan mereka belum berakhir.

Tetapi selepas lebih dua tahun dipenuhi pembedahan, rawatan dan ketidakpastian, mereka akhirnya dapat memulakan fasa baharu sebagai sebuah keluarga di rumah sendiri.

Menurut Dr Chen, penyakit hipoplasia jantung kanan merupakan keadaan yang sangat jarang berlaku, dengan anggaran sekitar satu kes dalam setiap 60,000 kelahiran hidup.

“Walaupun punca keadaan ini tidak diketahui bagi kebanyakan bayi, ia kadangkala boleh dikaitkan dengan kelainan genetik.

Faktor lain yang turut dikaitkan dengannya termasuk kencing manis dan obesiti dalam kalangan ibu, serta kehamilan yang melibatkan prosedur persenyawaan in vitro (IVF),” tambahnya.