Pempengaruh MangoBossKu, atau nama sebenarnya, Mohammad Hussin Said, menafikan bahawa beliau telah menyiarkan dan menyebarkan bahan video intim atau peribadi yang kini hangat diperbincangkan dalam talian.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh pasukan pengurusan hubungan awam beliau pada 8 Mei menyusuli penyebaran meluas video selama 56 saat di aplikasi perbualan WhatsApp.

Video itu menunjukkan pemilik sebuah restoran popular Singapura diugut dan dipaksa berbogel.

Mangsa dituduh “terlalu rapat” dengan isteri individu yang merakam video tersebut.

Hussin ditangkap pada 4 Mei di kedai cuci kereta kendaliannya di Yishun atas dakwaan intimidasi jenayah, menurut laporan The Straits Times (ST).

Menurut kenyataan yang dimuat naik di Instagram the_godfather_mangobossku, Hussin tidak tahu menahu tentang sumber atau individu yang bertanggungjawab membocorkan video tersebut.

Hussin akan terus bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan “meminta orang awam agar elak daripada spekulasi, gangguan atau penyebaran maklumat yang tidak sahih.”

Kenyataan tersebut juga menjelaskan bahawa tidak seperti beberapa dakwaan dalam talian, sebenarnya tida ada kekecohan awam atau perhimpunan besar yang melibatkan orang awam sewaktu proses temu bual dengan polis.

“Hanya sejumlah kecil kawan rapat sahaja yang hadir di lokasi tersebut pada waktu demikian,” katanya.

Selanjutnya, pertanyaan media mengenai hal tersebut telah dibuat sebelum bermulanya siasatan rasmi dan beliau percaya ini telah menyumbang kepada andaian awal dan spekulasi awam sebelum kebenaran fakta dapat dipastikan.

“Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, MangoBossKu telah memberikan tumpuan kepada usaha membina perniagaannya, menghasilkan kandungan digital, serta memberi sumbangan positif kepada masyarakat melalui bidang keusahawanan dan penglibatan di media sosial. Beliau kekal komited untuk terus melangkah ke hadapan secara bertanggungjawab dan profesional,” menurut kenyataan tersebut.

Hussin dan isterinya menceburi perniagaan makanan pada 2019 dan sejak kebelakangan ini tertumpu pada penjualan kunafa, makanan pencuci mulut asal Timur Tengah.

Ini di samping pencuci mulut berasal dari Amerika Latin, quesillo, minuman berperisa di pelbagai acara termasuk bazar Ramadan.

Perniagaannya berkembang dan menarik lebih ramai pengikut apabila Hussin mula menggunakan media sosial untuk menghasilkan video promosi, termasuk adegan pemasaran berbentuk konfrontasi – gimik bagi mengambil perhatian pelanggan.