Apabila Encik Muhammad Taufiq Zailani pulang ke rumah selepas hampir dua minggu di hospital, keempat-empat anaknya tidak lagi menerpa dan bermain kasar dengannya seperti biasa.

Sebaliknya, mereka mendekati bapa mereka dengan berhati-hati, bimbang terkena tiub dialisis yang kini terpasang pada bahagian perutnya.

“Saya cuba tunjukkan kepada anak-anak bahawa semuanya ‘sempurna’ dan kekal kuat di hadapan mereka, walaupun sebenarnya keadaan tidak semudah itu.

“Saya tidak mahu mereka fikir yang mereka tak boleh datang kepada saya atau peluk saya lagi. Mereka boleh, cuma perlu berhati-hati,” ujar bapa kepada empat anak berusia 31 tahun itu.

Encik Taufiq berkata perubahan tersebut berlaku selepas beliau dimasukkan ke Hospital Besar Sengkang (SKH) pada 6 September kerana sakit dada, tetapi pemeriksaan lanjut mendedahkan bahawa fungsi buah pinggangnya telah merosot kepada 11 peratus.

Beliau kemudian disahkan doktor menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) tahap kelima dan perlu menjalani dialisis.

Menurutnya, diagnosis itu bukan sahaja mengubah kehidupannya, malah memaksa seluruh keluarganya menyesuaikan diri dengan rutin baharu, sedang beliau dan isterinya berdepan kebimbangan mengenai kewangan dan masa depan empat anak mereka, termasuk seorang bayi berusia empat bulan.

Mengimbas saat mengetahui keadaan kesihatannya, Encik Taufiq, seorang Marsyal Trafik Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), berkata:

“Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya, terutamanya mengenai tanggungjawab saya sebagai seorang bapa.

“Gaya hidup saya akan berubah. Setiap malam saya perlu buat dialisis. Macam mana saya nak lindungi dan sara keluarga saya sekarang?”

Menurut isterinya, Cik Nur Dariana Mohamad Danel, 31 tahun, perubahan itu turut dirasakan anak-anaknya yang berusia tujuh, enam dan lima tahun, yang sebelum ini gemar bermain dan ‘bergusti’ dengan bapa mereka.

Setelah menjalani prosedur memasukkan tiub dialisis pada bahagian perutnya, Encik Taufiq kini perlu lebih berhati-hati ketika bermain dengan anak-anaknya. Beliau bersama isterinya, Cik Dariana, dan empat anaknya.
Setelah menjalani prosedur memasukkan tiub dialisis pada bahagian perutnya, Encik Taufiq kini perlu lebih berhati-hati ketika bermain dengan anak-anaknya. Beliau bersama isterinya, Cik Dariana, dan empat anaknya. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Cik Dariana, seorang suri rumah, berkata beliau menggunakan video pendidikan kanak-kanak untuk menerangkan fungsi buah pinggang kepada mereka, selain menunjukkan gambar dialisis dan tiub yang dipasang pada perut bapa mereka.

“Anda tidak boleh bermain kasar dengan Ayah lagi. Ayah juga tidak boleh dukung kamu,” demikian antara perkara yang terpaksa dijelaskannya kepada anak-anaknya.

Namun, beliau berkata dua anak mereka mula menangis apabila memahami keadaan bapa mereka.

“Mereka tanya, ‘Bila Ayah boleh balik dari hospital? Ayah betul-betul sakit ke?’

“Bila tengok anak menangis, saya pun menangis,” cerita Cik Dariana, menahan sebak.

Menurut Encik Taufiq, yang sebelum ini kerap bersenam dan bermain bola sepak, beliau lebih mudah letih serta berasa lebih lemah berbanding dahulu, dan kini perlu menjalani dialisis peritoneal selama sekitar lapan hingga 10 jam setiap malam.

Encik Taufiq perlu menjalani dialisis ‘peritoneal’ selama sekitar lapan hingga 10 jam setiap malam selepas fungsi buah pinggangnya didapati merosot kepada 11 peratus.
Encik Taufiq perlu menjalani dialisis ‘peritoneal’ selama sekitar lapan hingga 10 jam setiap malam selepas fungsi buah pinggangnya didapati merosot kepada 11 peratus. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Tambahnya, keadaan kesihatan beliau turut menimbulkan persoalan mengenai keupayaannya untuk terus bekerja, dengan tugasnya antara lain memerlukannya menunggang motosikal untuk menangani insiden di lebuh raya.

Encik Taufiq, yang kini sedang menjalani cuti hospital sehingga 14 Oktober, bergantung pada gaji asas tanpa pendapatan tambahan daripada insentif dan kerja lebih masa.

Sementara itu, Cik Dariana pula baru meninggalkan pekerjaan tetapnya dan sedang mencari kerja sambilan yang lebih fleksibel untuk menjaga anak-anak.

Apabila ditanya kebimbangan terbesar mereka sekarang, Cik Dariana berkata:

“Sejujurnya, bagi kami sekarang adalah kewangan… kami risau sama ada kami boleh bertahan untuk sebulan lagi.”

Selain bil rumah, barang dapur, barang keperluan, serta insurans, pasangan itu perlu menanggung perbelanjaan pendidikan dan penjagaan anak-anak mereka, termasuk yuran pusat penjagaan pelajar anak sulung mereka sebanyak $290 sebulan dalam bentuk wang tunai.

Yuran pendidikan dan penjagaan bagi tiga anak mereka yang lain pula dibayar menggunakan wang daripada Akaun Pembangunan Anak (CDA).

Encik Taufiq dan Cik Dariana berharap dapat menemui penderma buah pinggang yang sesuai dalam masa terdekat.
Encik Taufiq dan Cik Dariana berharap dapat menemui penderma buah pinggang yang sesuai dalam masa terdekat. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Tekanan kewangan keluarga itu turut bertambah selepas mereka kerugian sebanyak $1,971 susulan kes melibatkan The Little Professors Learning Centre (LPLC), yang sebelum ini mengendalikan pusat penjagaan anak-anak mereka.

Kementerian Pendidikan (MOE) menamatkan khidmat LPLC sebagai pengendali pusat penjagaan pelajar pada Februari 2026, susulan isu termasuk gaji kakitangan dan caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang tidak dibayar serta dakwaan bayaran GIRO ibu bapa dikenakan dua kali.

Di tengah-tengah ketidaktentuan itu, pasangan tersebut menerima berita yang menyentuh hati apabila adik perempuan Encik Taufiq menawarkan diri sebagai penderma buah pinggang.

Encik Taufiq berkata kesungguhan adiknya itu amat menyentuh perasaannya kerana mereka sering bertengkar ketika membesar.

“Buat masa ini, kami masih menunggu langkah selanjutnya dalam proses penilaian penderma. Tiada jaminan adik saya dapat menjadi penderma selepas melalui penilaian itu, jadi kami berharap lebih ramai tampil sebagai penderma potensi,” luahnya.

Mengimbas kembali sebelum diagnosisnya, beliau berkata pernah mengalami rasa tidak selesa pada bahagian belakang badan, namun menganggapnya sebagai sakit biasa akibat bertahun-tahun menunggang motosikal untuk bekerja.

Encik Taufiq turut mengakui kadangkala keberatan berjumpa doktor kerana bimbang perlu mengambil cuti sakit dan kehilangan peluang memperoleh pendapatan tambahan.

“Kini, pengalaman ini mengubah pandangan saya. Nasihat saya kepada orang lain ialah jangan takut. Lebih baik kita tahu lebih awal daripada terlambat,” ujarnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan