Ketika motosikalnya rosak di Mandai sekitar waktu Maghrib suatu ketika pada 2024, Encik Muhammad Shirwan Sabbi mahu menunaikan solat sementara menunggu trak tunda tiba, namun tidak mempunyai air untuk berwuduk.

Selepas menyelongkar motosikalnya dengan harapan dapat menemui sebotol air, beliau hanya mampu menemui sebungkus tisu basah.

“Dari situ saya terfikir, kenapa tisu basah ini tidak boleh mengeluarkan air untuk kita ambil wuduk?” kata Encik Shirwan, 36 tahun, ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Persoalan ringkas itu kemudian mencetuskan perjalanan selama sekitar satu setengah tahun untuk menghasilkan PureFlow, sejenis tisu yang direka khas untuk melepaskan air apabila diperah dan boleh digunakan sebagai pilihan alternatif untuk berwuduk apabila akses kepada air terhad.

Encik Shirwan, yang mempunyai pengalaman dalam bidang penulenan air, berkata beliau melalui lebih 20 prototaip sepanjang tempoh itu, selain mendapatkan pandangan asatizah dan menjalankan ujian makmal terhadap air yang dikeluarkan produk tersebut sebelum PureFlow akhirnya diperkenalkan kepada pengguna.

“PureFlow bukan bertujuan menggantikan kemudahan wuduk biasa, sebaliknya menjadi pilihan terakhir dalam keadaan tertentu apabila seseorang sukar mendapatkan akses kepada air,” terangnya.

Encik Shirwan percaya PureFlow mungkin produk pertama seumpamanya di dunia, selepas tinjauannya dalam talian serta di beberapa negara termasuk Malaysia dan negara Arab tidak menemukan produk serupa yang mengeluarkan air daripada tisu bagi tujuan berwuduk.

Namun, beliau menjelaskan bahawa proses menghasilkan produk tersebut bukan sekadar memastikan tisu itu mampu menyimpan dan melepaskan air.

Meskipun sesuai digunakan untuk berwuduk, Encik Shirwan menegaskan bahawa air yang dikeluarkan daripada tisu itu tidak disarankan untuk diminum kerana ia tidak dirawat sebagai air minuman.

Memandangkan produk itu ingin digunakan bagi tujuan ibadah, Encik Shirwan berkata beliau perlu memastikan pembangunannya selaras dengan panduan agama.

Malah, kekurangan panduan pada peringkat awal pernah membuatnya terfikir untuk berputus asa.

Mengakui keterbatasan pengetahuan agamanya, beliau mendapatkan pandangan beberapa asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), termasuk Ustaz Ismail Hashim.

Encik Shirwan menghasilkan PureFlow selepas pengalamannya sukar mendapatkan air untuk berwuduk ketika motosikalnya rosak di Mandai sekitar waktu Maghrib pada 2024.
Encik Shirwan menghasilkan PureFlow selepas pengalamannya sukar mendapatkan air untuk berwuduk ketika motosikalnya rosak di Mandai sekitar waktu Maghrib pada 2024. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Menurut Ustaz Ismail, pendakwah bebas yang mempunyai pensijilan ARS Peringkat 1, air yang diserap dalam tisu dan kemudian diperah keluar sah digunakan untuk berwuduk, dengan syarat ia memenuhi kriteria air mutlak dan kaedah basuhan betul.

“Bagi anggota wuduk yang wajib dibasuh seperti muka, tangan dan kaki, air perlu mengalir secara sendiri pada permukaan kulit mengikut graviti, dan bukan sekadar menepuk-nepuk tisu basah pada kulit atau mengelapnya sehingga kulit hanya menjadi lembap tanpa air mengalir.

“Justeru, cara yang betul adalah tisu tersebut perlu diperah sehingga air keluar dan mengalir pada kulit. Kaedah ini sah tetapi makruh jika digunakan tanpa sebab dan lebih sesuai dalam keadaan darurat atau apabila terdapat kekangan mendapatkan air,” jelasnya.

Encik Shirwan menunjukkan cara PureFlow diperah sehingga mengeluarkan air yang kemudian dialirkan pada kulit dan anggota wuduk.
Encik Shirwan menunjukkan cara PureFlow diperah sehingga mengeluarkan air yang kemudian dialirkan pada kulit dan anggota wuduk. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Encik Shirwan berkata beliau menjalankan ujian makmal terhadap air yang diperah daripada tisu tersebut bagi memastikan keadaan air kekal stabil selepas melalui proses penghasilan produk.

Usahanya mula membuahkan hasil apabila PureFlow menjalani pelancaran awal di acara dagangan Celebfest baru-baru ini, dengan hampir 200 paket terjual.

Menurutnya, satu paket PureFlow yang mengandungi 48 helai tisu dijual pada harga $6.90, manakala pek lebih kecil dengan 15 helai tisu pada harga $4.90 dijangka diperkenalkan pada minggu kedua September.

Lebih 20 prototaip dihasilkan sepanjang sekitar satu setengah tahun sebelum Encik Shirwan berjaya membangunkan PureFlow.
Lebih 20 prototaip dihasilkan sepanjang sekitar satu setengah tahun sebelum Encik Shirwan berjaya membangunkan PureFlow. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Encik Shirwan berkata apa yang lebih menggembirakannya ialah maklum balas daripada mereka yang turut pernah mengalami kesukaran mendapatkan air untuk berwuduk.

“Pada mulanya, saya sangka permintaan PureFlow agak khusus, tetapi sebenarnya ramai yang merasakan mereka perlu mempunyai produk ini sebagai persediaan sekiranya tiada botol air atau tandas berdekatan.

“Setiap orang mempunyai cabaran tersendiri untuk menunaikan solat kerana kesukaran berwuduk, tidak kira di mana atau dalam apa jua keadaan.

“Saya rasa PureFlow tidak mungkin dapat merangkumi setiap situasi, tetapi saya berharap produk ini dapat sedikit sebanyak membantu mereka,” ujarnya.

Encik Shirwan berharap PureFlow dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam di Singapura dan juga luar negara, dengan rancangan untuk menembusi pasaran Malaysia dan Dubai.
Encik Shirwan berharap PureFlow dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam di Singapura dan juga luar negara, dengan rancangan untuk menembusi pasaran Malaysia dan Dubai. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Encik Shirwan berkongsi bahawa pihaknya kini sedang dalam perbincangan untuk menembusi pasaran Dubai, yang sudah menunjukkan minat terhadap produk tersebut.

Selain itu, beliau berkata PureFlow turut siap untuk diperkenalkan di Malaysia, dengan pelancarannya dirancang pada September.

Bagi Encik Shirwan, impiannya kini adalah untuk melihat inovasi yang bermula daripada satu masalah kecil di Mandai itu memberi manfaat kepada masyarakat Islam di luar Singapura.

Beliau turut berharap PureFlow dapat menjadi contoh kemampuan masyarakat Melayu/Islam menyumbang kepada kemajuan Singapura, selari dengan seruan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Rapat Hari Kebangsaan (NDR) baru-baru ini agar masyarakat terus berusaha mencapai potensi mereka.

“Singapura mungkin kecil, tetapi kita boleh menghasilkan inovasi dalam pelbagai bidang,” katanya.