KUALA TERENGGANU: Niat murni seorang kanak-kanak berusia empat tahun menghadiahkan sebiji durian kepada guru kesayangannya pada hari terakhir guru itu bertugas mencuit hati ramai warganet selepas ibunya berkongsi kisah tersebut di wadah Threads.

Dalam hantaran Threads beliau pada 22 Julai, Cik Nur Syazwani Alia Hassan Basri, 29 tahun, berkongsi bagaimana anak keduanya, Affan Maleeq Muhammad Irsyaduddin, tanpa teragak-agak memilih durian apabila gurunya bertanya apakah juadah yang ingin dibawa murid-murid ke sekolah pada keesokan hari.

Menurutnya, datuk Affan secara kebetulan membeli durian pada petang itu dan Affan terus meminta agar sebiji durian disimpan untuk diberikan kepada gurunya sebagai buah tangan.

“Lepas itu, dia sendiri letak durian dalam beg sekolah sebab nak bagi dekat cikgu esok,” tulis Cik Syazwani menerusi akaun bernama ‘nrslyaaa’.

Keesokan harinya pada 23 Julai, beliau memuat naik sambungan kisah itu dengan berkongsi gambar mesej dan video yang dirakam guru Affan ketika dia mengeluarkan durian daripada beg sekolahnya.

Setakat ini, perkongsian itu meraih lebih 17,000 tanda suka dan hampir 300 komen.

Bercakap kepada Berita Harian, Cik Syazwani berkata beliau pada mulanya menyangka Affan hanya bergurau apabila dia memasukkan durian itu ke dalam beg sekolahnya pada malam sebelumnya.

“Malam itu saya ingat dia main-main saja. Rupanya tidak.

“Saya pun tak sangka dia buat kejutan macam itu kepada gurunya. Saya ingatkan dia cuma letak durian itu dan terus bagi dekat cikgu.

“Rupanya dia sendiri cakap itu hadiah untuk cikgu,” kata Cik Syazwani, ibu kepada dua anak.

Menurut Cik Syazwani, Affan mahu membuat kejutan untuk gurunya kerana hari itu merupakan hari terakhir guru berkenaan bertugas di sekolah sebelum berpindah ke sekolah lain.

Kata Cik Syazwani, beliau sempat meminta Affan meninggalkan durian itu di rumah, namun Affan tetap berkeras mahu membawanya ke sekolah.

Menurut Cik Nur Syazwani Alia Hassan Basri, Affan sendiri yang memilih durian itu dan memasukkan buah tersebut ke dalam beg sekolah pada malam sebelumnya.
Menurut Cik Nur Syazwani Alia Hassan Basri, Affan sendiri yang memilih durian itu dan memasukkan buah tersebut ke dalam beg sekolah pada malam sebelumnya. - Foto THREADS NRSLYAAA

Tambahnya, beliau tidak pasti berat sebenar durian itu, namun berkata buah tersebut bersaiz kecil dan dipilih sendiri oleh Affan.

“Beg dia tebal juga. Durian itu entah berapa berat pun saya tak tahu.

“Tapi durian yang dia ambil itu comel sangat. Ia kecil saja, comel macam dia,” selorohnya.

Cik Syazwani turut berkongsi bahawa Affan sebelum ini kurang gemar ke sekolah kerana menganggap gurunya seorang yang garang, terutamanya ketika dia kerap tidak hadir ke sekolah kerana kurang sihat.

Namun, selepas guru itu memujuk dan memberi perhatian kepada Affan, Cik Syazwani berkata anaknya semakin rajin ke sekolah sehingga akhirnya menjadi begitu rapat dengan guru tersebut.

Akibat hadiah istimewa itu, katanya sambil berseloroh, seluruh kelas turut dipenuhi bau durian.

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-rata tersentuh dengan keikhlasan Affan menghargai gurunya.

Seorang pengguna, ‘hannah_hamdar’, berkata:

“Kepekaan dia tinggi, memang penyayang. Mesti dia ingat itu hari terakhir cikgu dia.

“Dia sayang sangat dekat cikgu dia. Pada dia, durian itu benda paling sedap, sebab itu dia nak bagi yang paling best untuk cikgu. Prihatin betul adik ni.”

Seorang lagi pengguna, ‘nhrjerr’, bergurau:

“Nasib baik badan adik tak tercucuk duri durian itu.”