Topik diikuti
Pergi ke BHkuNiat mahu lebih cergas demi anak, bapa akhirnya melangkah ke pentas bina badan
Berat badan turun daripada 92 kg kepada 71 kg selepas sekitar setahun, raih tempat kelima dalam pertandingan bina badan
Niat mahu lebih cergas demi anak, bapa akhirnya melangkah ke pentas bina badan
Sebagai bapa kepada dua anak perempuan, Encik Muhammad Aidil Mohamed Sis mahu menjadi lebih cergas agar dapat menyertai aktiviti bersama mereka tanpa mudah keletihan.
Berat badannya yang pernah mencecah 92 kilogram pada 2025 menyedarkan beliau perlu tentang perlunya mengubah gaya hidup.
Namun, apa yang bermula sebagai usaha untuk menjadi lebih sihat akhirnya membawa lelaki berusia 37 tahun itu ke pentas pertandingan bina badan buat kali pertama.
Pada 11 Oktober, Encik Aidil, yang berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 21 kilogram kepada 71 kilogram, meraih tempat kelima daripada 12 peserta dalam kategori ‘Men's Physique’ bagi peserta kali pertama dalam pertandingan Physical Culture Association (PCA) Malaysia di Kuala Lumpur.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), beliau berkata:
“Setiap kali anak-anak nak buat aktiviti, saya buat sekejap sahaja, kemudian cepat penat.
“Sebagai seorang bapa, saya tertanya-tanya mengapa saya tidak boleh melakukan aktiviti itu bersama mereka untuk tempoh yang lebih lama.”
Encik Aidil, yang bekerja sebagai pengendali podcast (podcaster) bersama The Common Folks dan jurulatih kecergasan bebas, berkata beliau sudah lama berminat dengan bina badan, namun tidak mempunyai keyakinan dan bimbingan untuk menyertai pertandingan.
Keadaan mula berubah pada November 2025 apabila beliau memulakan latihan untuk menurunkan berat badan.
Melalui jurulatihnya, Encik Aidil turut berkenalan dengan individu lain yang pernah menyertai pertandingan bina badan dan menggalakkannya mencuba.
“Isteri saya sokong dan memberitahu saya, ‘Cubalah sekali, memandangkan sudah berminat’,” kata bapa kepada dua anak perempuan berusia tujuh dan 11 tahun itu.
Dengan sokongan isteri serta dua jurulatihnya, Shaik Aslam dan Mie Flex, Encik Aidil mula memulakan persiapan bagi pertandingan tersebut pada Januari lalu.
Sepanjang tempoh itu, Encik Aidil berkata beliau perlu membahagikan masa antara latihan di gimnasium, senaman kardio dan menjaga pemakanan, selain memenuhi tanggungjawab kerja serta keluarga.
“Orang mungkin hanya nampak beberapa minit kita berada di atas pentas, tetapi mereka tidak nampak berbulan-bulan pengorbanan di belakang tabir,” ujarnya.
Menurut Encik Aidil, cabaran terbesar bukan latihan di gimnasium, sebaliknya mengekalkan disiplin pemakanan selama berbulan-bulan.
Beliau memilih untuk menyediakan dan menimbang sendiri makanannya kerana tidak mahu membebankan isterinya yang merupakan suri rumah.
Sebagai penggemar makanan manis, Encik Aidil berkata beliau juga perlu mengawal keinginan untuk menikmati coklat dan aiskrim, dan ada kalanya memilih coklat tanpa gula sebagai alternatif.
Apabila ditanya bagaimana beliau mengimbangi latihan, kerja dan kehidupan keluarga, Encik Aidil mengakui tidak selalu berjaya melakukannya dengan sempurna.
“Ada masanya saya terpaksa mengorbankan masa rehat, aktiviti sosial dan perkara-perkara yang biasa saya lakukan.
“Saya belajar untuk menyusun keutamaan dan menggunakan masa yang ada dengan lebih berkesan terutama dengan keluarga.
“Tetapi satu perkara yang saya sentiasa ingat, kita boleh mengejar impian, namun jangan sampai melupakan orang-orang yang sentiasa berada di sisi kita,” kongsi beliau.
Perubahan fizikal Encik Aidil turut dikongsi menerusi satu hantaran Instagram pada 12 Oktober, yang memaparkan perbezaan penampilannya sebelum dan selepas menjalani latihan selama sekitar 10 bulan menjelang pertandingan PCA Malaysia.
Hantaran tersebut telah meraih lebih 4,000 tanda suka dan lebih 200 komen.
Encik Aidil berkata beliau tidak menjangka meraih tempat kelima dalam pertandingan itu, lebih-lebih dalam penampilan sulungnya di pentas pertandingan.
Daripada 12 peserta dalam kategorinya, hanya dua berasal dari Singapura, termasuk beliau, manakala selebihnya dari Malaysia.
“Bagi sesetengah orang, tempat kelima mungkin bukan sesuatu yang besar.
“Tetapi bagi seseorang yang pernah mempunyai berat badan 92 kilogram dan tidak pernah membayangkan dirinya akan berdiri di atas pentas pertandingan bina badan, pencapaian itu sangat bermakna,” terangnya.
Bagi Encik Aidil, perjalanan tersebut bukan sekadar membawa perubahan fizikal atau pencapaian dalam pertandingan, malah turut membina disiplin dan keyakinan dirinya.
“Perjalanan ini mengajar saya bahawa apabila kita benar-benar mahukan sesuatu, kita akan berusaha mencari jalan untuk mencapainya.
“Saya juga belajar untuk lebih bersabar. Perubahan fizikal tidak berlaku dalam masa seminggu atau sebulan.
“Ia memerlukan konsistensi dan kepercayaan terhadap proses tersebut,” tambahnya.
Beliau kini merancang untuk menyertai pertandingan Dream Aesthetic dalam kategori ‘Class A Men's Physique’ di Singapura pada 24 Oktober.
Sebagai jurulatih kecergasan bebas, Encik Aidil berharap pengalamannya dapat mendorong lebih ramai orang untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
“Saya tidak mahu perjalanan ini hanya berakhir dengan pingat sahaja. Saya mahu ia menjadi sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” jelasnya.