Topik diikuti
Pergi ke BHkuNorish Karman ansur pulih, hargai doa rakyat S’pura
Norish Karman ansur pulih, hargai doa rakyat S’pura
Norish Karman ansur pulih, hargai doa rakyat S’pura
Pelakon tempatan Norish Karman telah dibenarkan keluar dari hospital pada 15 April selepas menjalani rawatan lebih daripada seminggu.
Paras hemoglobinnya meningkat, daripada 2.5 kepada 8.5 selepas menerima suntikan zat besi.
Walaupun masih lemah dan mungkin memerlukan kerusi roda untuk bergerak, beliau kini mendapat sokongan di rumah untuk memantau keadaannya.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), anak perempuannya, Cik Hanyz Amanda, 22 tahun, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura atas sokongan dan doa yang tidak putus-putus sepanjang ibu mereka, yang digelar sebagai bonda, dirawat di hospital.
“Buat masa ini, bonda akan terus mengambil suplemen herba setiap hari sehingga pemeriksaan seterusnya dalam tiga minggu yang akan datang.
“Kami sekeluarga amat berterima kasih atas segala sokongan yang diberi sepanjang ini,” kata Amanda.
Norish turut menyertai sesi siaran langsung penjualan beberapa produknya bersama usahawan Malaysia, Datuk Aliff Syukri, di TikTok Live pada malam 15 April.
Beliau dilihat bersama kelapan-lapan anaknya.
Hasil jualan mencecah lebih daripada RM15 ribu dan diserahkan kepada Norish serta anak ketiganya, Cik Amanda, yang dikatakan oleh Kosmo, telah memohon peluang untuk bekerja bersama Datuk Aliff Syukri.
“Ini adalah gaji Norish dan anak-anak yang bantu melariskan jualan produk saya hari ini.
“Saya nak tegaskan, mereka hadir bukan sebab meminta-minta tetapi ingin beraya dan memohon diberikan kerja, sama ada boleh menjadi hos ‘live’ TikTok atau staf di pejabat.
“Ini rezeki keluarga Norish. Saya beri ini sebab yakin Allah swt menjadikan saya perantara untuk membantu meringankan beban mereka sekeluarga,” kata usahawan itu.
Dalam sesi siaran langsung tersebut, Cik Amanda turut meluahkan bahawa ibunya pernah mengalami gangguan sihir.
Gadis itu berkongsi kesan emosi akibat sering menjadi sasaran netizen ketika cuba mendapatkan bantuan untuk menanggung bil rawatan ibunya.
Walaupun ramai yang bersimpati dan menghargai bantuan Datuk Aliff Syukri, terdapat juga netizen yang menyoal sumbangan tersebut.
“Ramai yang menyuruh kami meminta bantuan ayah kami. Ada pula yang menghina kami, bertanya mengapa ibu kami memilih untuk membesarkan begitu ramai anak jika dia tidak mampu.
“Macam-macam perkara yang menyakitkan hati dilemparkan kepada kami,” tambah Cik Amanda.
Di laman Threads, ada yang meragui kenyataan Norish bahawa rumah mereka tidak mempunyai sofa dan televisyen.
Antaranya, pengguna ‘mizzhafifa’ berkata:
“Kesian, tapi cara menjawab tu macam pelik. Fokusnya pada TV, sofa, kereta. Kalau dia kata fokus untuk rumah, perubatan, sekolah anak-anak, itu ok, tapi asyik sebut barang bukan keperluan, lebih kepada kehendak.”
Pengguna lain, ‘gemini’, menambah:
“Norish Karman memang patut dibantu… tengok la dia pun bela anak-anak dari kecil. Memang patut dia dibantu.”
