Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar ITE temani warga emas sesat pulang ke rumah
Setengah jam lamanya beliau temani; keluarga tersentuh individu tidak dikenali begitu prihatin
Pelajar ITE temani warga emas sesat pulang ke rumah
Seramai sembilan anggota keluarga Encik Ismail Othman, 77 tahun, diselubungi kebimbangan apabila beliau tidak pulang ke rumah pada 14 Oktober lalu.
“Kami tidak tahu di mana beliau berada mahupun sama ada beliau selamat.
“Malah kami semakin risau lebih-lebih lagi kerana Ayah (panggilan untuk Encik Ismail) keluar tanpa membawa telefon bimbit dan tidak biasa berjalan sendirian,” kata anak saudaranya, Encik Danial Baharin, ketika dihubungi Berita Minggu (BM).
Memandangkan warga emas itu jarang keluar sendirian, beliau dipercayai mungkin tidak tahu cara untuk pulang ke rumah, kata Encik Danial, 38 tahun, seorang eksekutif di syarikat logam berharga, Bullion (Precious Metals).
Menurutnya, Encik Ismail sebelum ini ada menyatakan hasrat ke bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk memperbaharui pasportnya.
“Namun, keluarga tidak pasti sama ada beliau benar-benar ke sana pada hari tersebut,” katanya mengenai Encik Ismail, yang juga bapa empat orang anak.
Keluarga Encik Ismail, termasuk anak-anaknya sendiri, turut berpecah mencarinya di tempat-tempat yang biasa dikunjungi beliau, manakala Encik Danial sendiri berjalan di sekitar blok kediaman bapa saudaranya di Jurong itu untuk mencarinya.
Seorang sepupu Encik Danial pula menunggu di rumah sekiranya Encik Ismail pulang.
Ketika keluarga masih mencarinya, seorang pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, Cik Naira Maisarah Abdullah, yang berada berdekatan pusat beli-belah JEM terserempak dengan warga emas yang sesat itu.
“Ketika itu saya hendak pulang dan tiba-tiba Encik Ismail datang meminta bantuan kerana tidak tahu bagaimana hendak pulang ke rumah,” kata Cik Naira, 18 tahun, ketika dihubungi BM.
Pada mulanya, beliau cuba memberikan arah jalan, tetapi beliau menyedari Encik Ismail masih keliru dan sukar mencari jalan pulang.
“Saya mengambil keputusan untuk menemaninya berjalan kaki pulang ke rumah.
“Waktu itu apa yang penting bagi saya ialah keselamatan beliau untuk pulang ke rumah,” kata pelajar tahun kedua jurusan Penjagaan Masyarakat dan Perkhidmatan Sosial.
Menurut Cik Naira, perjalanan pulang ke rumah Encik Ismail yang biasanya mengambil masa sekitar sembilan hingga 15 minit itu, memakan masa kira-kira 30 minit kerana beliau berjalan perlahan dan perlu berhenti berehat sekali-sekala.
Setibanya di rumah Encik Ismail, Cik Naira turut menunggu sehingga anggota keluarga Encik Ismail pulang.
Encik Ismail memberitahu keluarganya beliau tersalah menaiki bas ketika pulang dan mendapatinya sukar mencari jalan balik ke rumah.
Bagi Encik Danial, beliau amat tersentuh seorang yang tidak mengenali bapa saudaranya sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk membantunya.
“Saya rasa apa yang dilakukan Naira tidak sepatutnya berlalu begitu sahaja tanpa pengiktirafan.
“Sebagai keluarga, kami sangat risau. Jadi mengetahui bahawa ada seseorang yang tidak kami kenali sanggup mengambil berat dan memastikan Ayah pulang dengan selamat membawa makna yang besar kepada kami.
“Kami sangat bersyukur kerana Ayah tidak dibiarkan bersendirian ketika beliau memerlukan bantuan,” tambahnya.
Encik Danial turut menulis e-mel kepada ITE untuk menyampaikan penghargaan pihak keluarga terhadap tindakan Cik Naira.
ITE turut memuat naik satu hantaran di media sosial pada 22 Oktober bagi berkongsi kisah Cik Naira.
Hantaran itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga siber, dengan ramai memuji sifat keprihatinan Cik Naira.
Meskipun terdapat pengguna yang membangkitkan soal keselamatan diri, memandangkan Cik Naira menemani seorang lelaki yang tidak dikenalinya pada waktu malam, Cik Naira berkata:
“Sebenarnya, pada waktu itu, saya langsung tidak memikirkan sebarang bahaya. Apa yang saya fikirkan hanyalah tentang keselamatan beliau.”
Cik Naira turut menjelaskan beliau berasa bimbang apabila melihat warga emas itu bersendirian dalam keadaan takut dan keliru.
“Saya turut menghargai sokongan yang diberi dan berharap tindakan saya ini juga sedikit sebanyak dapat mendorong orang lain untuk turut membantu mereka yang memerlukan,” kata Cik Naira.
Dalam e-mel yang dikirimkan, Encik Danial turut memuji ibu bapa Cik Naira kerana membesarkannya dengan nilai keprihatinan dan kesediaan membantu orang lain.
Sebagai seorang bapa kepada anak perempuan berusia tiga tahun, Encik Danial berharap anaknya juga akan membesar dengan sifat belas ihsan yang sama, sambil memahami pentingnya menjaga keselamatan diri.
“Saya mahu anak saya mempunyai keberanian dan keprihatinan untuk membantu orang lain apabila dewasa nanti.
“Namun, saya juga mahu dia tahu bahawa ada cara untuk membantu dengan selamat, termasuk mendapatkan bantuan orang lain atau menghubungi pihak polis jika perlu,” katanya.
Beliau menyifatkan tindakan Cik Naira tersebut sebagai cerminan nilai keprihatinan yang penting dalam bidang pengajiannya.
Menurutnya, pendidikan bukan sekadar tentang lulus peperiksaan atau memperoleh kelayakan, tetapi juga membentuk individu yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.
“Saya menulis kepada sekolah bukan kerana menjangkakan kisah ini mendapat perhatian ramai. Saya cuma mahu mengucapkan terima kasih kepada seseorang yang telah melakukan sesuatu yang baik untuk keluarga saya.
“Kami akan sentiasa berterima kasih kepadanya. Saya berharap Naira terus berjaya dalam pelajaran dan kerjaya masa depannya, serta mengekalkan sifat prihatin yang telah ditunjukkannya,” tambah beliau.
