Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar NYP dilapor hilang selamat dijumpa di Kemboja
Pelajar NYP dilapor hilang selamat dijumpa di Kemboja
Polis S’pura: Pelajar ditemui selamat oleh polis Kemboja
Pelajar NYP dilapor hilang selamat dijumpa di Kemboja
Pelajar Politeknik Nanyang (NYP), Cik Siti Aishah Siregar Sahat Siregar, 20 tahun, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 28 Julai, telah ditemui dalam keadaan selamat oleh Polis Kebangsaan Kemboja.
Demikian dimaklumkan Pasukan Polis Singapura (SPF) kepada Berita Harian (BH) pada 31 Julai, 10.28 malam.
Dalam satu kenyataan kepada BH, polis Singapura memaklumkan pihaknya telah menghubungi Polis Kebangsaan Kemboja bagi mendapatkan maklumat lanjut serta memberikan bantuan lanjut yang sewajarnya.
“Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kedutaan Singapura di Phnom Penh turut memberikan bantuan konsular kepada keluarga terbabit.
“Polis turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Kemboja atas bantuan pantas yang diberikan,” tulis kenyataan SPF.
Cik Siti Aishah Siregar Sahat Siregar, yang menuntut di Politeknik Nanyang (NYP), sebelum ini gagal dihubungi sejak sekitar 5.30 petang pada 28 Julai.
Demikian menurut abangnya, Encik Muhammad Syafiq Siregar Sahat Siregar, 26 tahun, menerusi panggilan telefon kepada BH pada pagi 31 Julai.
Berdasarkan akaun LinkedIn, Cik Aishah menuntut dalam kursus Diploma Animasi, Permainan dan Kesan Visual.
Menurut Encik Syafiq, keluarganya ingin menjemput Cik Aishah pulang dari sekolah pada 28 Julai kira-kira 5 petang, tetapi mendapati nombor telefon bimbit adiknya itu tidak lagi aktif.
Beberapa akaun media sosial milik Cik Aishah, serta akaunnya di WhatsApp dan Telegram, juga telah dinyahaktifkan.
Keluarganya lalu membuat laporan polis.
Mereka diberitahu oleh pihak polis bahawa pasport Cik Aishah telah diperiksa di Lapangan Terbang Changi sekitar 2 petang pada 28 Julai, sejurus sebelum beliau menaiki penerbangan Emirates untuk meninggalkan Singapura.
Terkejut, Encik Syafiq berkata beliau dan keluarganya mula meneliti rekod digital Cik Aishah, termasuk akaun e-mel dan akaunnya di wadah menempah penerbangan dan penginapan, Trip.com.
Mereka mendapati Cik Aishah telah menempah tiket penerbangan sehala ke Kemboja.
E-mel lain ditemui keluarga turut menunjukkan Cik Aishah telah membuat empat pemindahan wang berjumlah ratusan dolar kepada seorang individu sebelum kehilangannya.
Menurut Encik Syafiq, walaupun keluarganya tidak pernah mengenali individu tersebut, nama penerima itu sepadan dengan nama rakan dalam talian Cik Aishah yang bermain permainan ‘Valorant’.
Keluarga itu membuat satu lagi laporan polis pada 30 Julai dan menyerahkan maklumat yang ditemui untuk membantu siasatan.
Laporan polis itu, yang dilihat BH, menyatakan bahawa Cik Aishah menempah tiket penerbangan sehala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Techo di Kemboja pada 28 Julai menerusi penerbangan Emirates EK348.
Laporan sama turut menyatakan bahawa Pas Pelawat Elektronik Kemboja telah didaftarkan atas nama Cik Aishah dan sah digunakan dari 28 Julai hingga 27 Ogos 2026.
Menurut Encik Syafiq, polis Singapura sedang menghubungi Polis Antarabangsa (Interpol) untuk membantu mengesan Cik Aishah.
Apabila dihubungi, polis berkata siasatan sedang dijalankan dan mereka sedang memberi bantuan yang diperlukan kepada keluarga Encik Syafiq.
Encik Syafiq sekeluarga mengesyaki Cik Aishah mungkin ditipu atau ditimpa musibah kerana tindakan luar biasa itu.
Beliau berkata adiknya, yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik, ialah seorang yang pendiam, patuh, amat rapat dengan ibu mereka dan sentiasa memaklumkan kepada keluarga setiap kali keluar rumah.
“Beliau bukan jenis yang lari dari rumah atau menghilangkan diri tanpa berita.
“Kalau ada masalah pun, beliau biasanya hanya menyendiri di dalam bilik dan akan berbincang dengan keluarga keesokan harinya.
“Sebab itu apabila beliau tiba-tiba memutuskan semua saluran komunikasi, kami terus tahu ada sesuatu yang tidak kena,” jelas Encik Syafiq.
Malah, keadaan di rumah juga berjalan seperti biasa dan tiada sebarang pertengkaran atau petanda yang menunjukkan beliau ingin melarikan diri.