Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar NYP putuskan hubungan dengan keluarga, dipercayai berada di Kemboja
Pelajar NYP putuskan hubungan dengan keluarga, dipercayai berada di Kemboja
Keluarga buat laporan polis, percaya pelajar mangsa penipuan, bukan larikan diri
Pelajar NYP putuskan hubungan dengan keluarga, dipercayai berada di Kemboja
Seorang gadis warga Singapura berusia 20 tahun, yang memutuskan semua bentuk perhubungan dengan keluarganya sejak 28 Julai, kini dipercayai berada di Kemboja.
Gadis itu, Cik Siti Aishah Siregar Sahat Siregar, menuntut di Politeknik Nanyang (NYP) dan gagal dihubungi sejak sekitar 5.30 petang pada hari tersebut, menurut abangnya, Encik Muhammad Syafiq Siregar Sahat Siregar, 26 tahun.
Encik Syafiq memberitahu Berita Harian (BH) beliau ingin menjemput Cik Aishah pulang dari sekolah pada hari tersebut tetapi mendapati nombor telefon bimbit Cik Aishah tidak lagi aktif.
Beberapa akaun media sosial milik Cik Aishah, serta akaunnya di Whatsapp, Telegram juga telah dinyahaktifkan.
Menyusuli itu, keluarganya membuat laporan polis.
Mereka diberitahu polis pasport Cik Aishah telah diperiksa di Lapangan Terbang Changi sekitar 2 petang pada 28 Julai, sejurus sebelum beliau menaiki penerbangan Emirates untuk meninggalkan Singapura.
Terkejut, Encik Syafiq berkata beliau dan keluarga mula meneliti rekod digital Cik Aishah, termasuk akaun e-mel dan akaunnya di platform menempah penerbangan dan penginapan, Trip.com. Mereka mendapati Cik Aishah telah menempah tiket penerbangan sehala ke Kemboja.
Menyusuli itu, keluarga tersebut membuat satu lagi laporan polis pada 30 Julai dan menyerahkan maklumat yang ditemui untuk membantu siasatan.
Laporan polis itu, yang dilihat BH, menyatakan Cik Aishah menempah tiket penerbangan sehala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Techo di Kemboja pada 28 Julai menerusi penerbangan Emirates EK348.
Laporan sama turut menyatakan bahawa Pas Pelawat Elektronik Kemboja telah didaftarkan atas nama Cik Aishah dan sah digunakan dari 28 Julai hingga 27 Ogos 2026.
Menurut Encik Syafiq, polis sedang menghubungi polis antarabangsa (Interpol) untuk membantu mengesan Cik Aishah.
Apabila dihubungi, polis berkata siasatan sedang dijalankan dan ia sedang memberi bantuan yang diperlukan kepada keluarga Encik Syafiq.
Encik Syafiq berkata beliau dan keluarganya mengesyaki Cik Aishah telah ditipu atau ada sesuatu perkara buruk lain menimpa diri beliau kerana perbuatan Cik Aishah itu di luar kebiasaannya.
Beliau berkata adiknya, yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik, ialah seorang yang pendiam, patuh, amat rapat dengan ibu mereka dan sentiasa memaklumkan kepada keluarga setiap kali keluar rumah.
“Beliau bukan jenis yang lari dari rumah atau menghilangkan diri tanpa berita. Kalau ada masalah pun, beliau biasanya hanya menyendiri di dalam bilik dan akan berbincang dengan keluarga keesokan harinya.
“Sebab itu apabila beliau tiba-tiba memutuskan semua saluran komunikasi, kami terus tahu ada sesuatu yang tidak kena,” kata Encik Syafiq, menjelaskan lebih lanjut.
Tambahnya, keadaan di rumah juga berjalan seperti biasa dan tiada sebarang pertengkaran atau petanda yang menunjukkan beliau ingin melarikan diri.
Kali terakhir mereka sekeluarga berhubung dengan Cik Aishah adalah pada 28 Julai apabila beliau memberitahu ibu mereka bahawa beliau hendak ke sekolah.
Ketika dihubungi melalui telefon, ibu Cik Aishah, Cik Nita Ali Zainal Abidin, enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana mengakui masih berasa “sangat buntu” dan tidak berada dalam keadaan yang sesuai untuk memberikan sebarang kenyataan.
Ketiadaan Cik Aishah mendorong bapanya, Encik Sahat Siregar, untuk membuat rayuan di media sosial untuk sebarang maklumat mengenai anak perempuannya itu.
Semasa BH pergi ke rumah Cik Aishah pada 31 Julai, hanya neneknya, Cik Raya Abdullah, 72 tahun, dan pembantu rumahnya berada di rumah.
Cik Raya berkata: “Kami semua terperanjat dan tidak sangka perkara ini berlaku. Segalanya kelihatan baik-baik sahaja di rumah. Tiada apa-apa yang janggal.
“Itulah yang membuat kami sangat sedih kerana kami langsung tidak dapat mengesan sebarang petanda. Doakan yang terbaik untuk kami sekeluarga,” ujarnya, yang lebih mesra dipanggil ‘mama’ oleh cucu-cucunya.
Garis masa kejadian
Cik Aishah disifatkan sebagai seorang yang pendiam, patuh, dan amat rapat dengan ibunya. Beliau selalunya memberitahu ibunya setiap kali hendak ke mana-mana. Cik Aishah penggemar permainan komputer Valorant.
27 Julai: Cik Aishah memberitahu ibunya mengenai janji temu dengan seorang rakan di pusat beli-belah Northpoint City di Yishun.
28 Julai:
- Cik Aishah memberitahu ibunya beliau akan ke sekolah. Tapi beliau tidak lagi dapat dihubungi selepas itu. WhatsApp, Telegram, nombor telefon, dan akaun sosial medianya dinyahaktifkan.
- Laporan polis pertama dibuat.
- Polis beritahu keluarga pasport Cik Aishah digunakan di Lapangan Terbang Changi sekitar 2 petang, sebelum beliau menaiki penerbangan Emirates.
- Keluarga buat pemeriksaan sendiri, dapati Cik Aishah mempunyai sekurang-kurangnya tiga alamat e-mel.
- Rekod pembelian tiket penerbangan sehala ke Kemboja ditemui.
30 Julai:
- Laporan polis kedua dibuat. Keluarga Cik Aishah menyerahkan semua maklumat yang ditemui.
- Bapa Cik Aishah, Encik Sahat Siregar, membuat rayuan di media sosial.