Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar terima 7 jahitan di bibir setelah dipercayai dicampak; pelaku digantung sekolah
Seorang pelajar Menengah Satu memerlukan tujuh jahitan di bibir setelah dipercayai diangkat dan dicampak ke lantai oleh rakan sekelasnya di Sekolah Menengah Outram.
Menyusuli siasatan sekolah, pelaku akan sekurang-kurangnya digantung sekolah dan menerima gred tingkah laku yang disesuaikan.
Ibu mangsa berkata kejadian tersebut berlaku di sekolah berkenaan pada 28 Mei apabila rakan itu meludah di baju mangsa di luar dewan sekolah.
Mangsa kemudiannya mengelap ludah tersebut pada baju si pelaku.
Si pelaku kemudian didakwa mengangkat mangsa dari belakang dan mencampakkannya ke lantai.
Menurut ibu mangsa, mangsa mengalami masalah kesihatan yang menjejaskan pertumbuhannya. Dia mempunyai berat badan sekitar 30 kilogram.
Mangsa dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) untuk menerima rawatan.
Berdasarkan laporan doktor yang dilihat Berita Harian (BH), bibir mangsa koyak, manakala tiga giginya longgar dan satu gigi patah.
BH difahamkan bahawa ibunya telah membuat laporan polis pada hari yang sama.
Menjawab pertanyaan BH, pengetua sekolah tersebut, Encik Keith Tan, berkata pihaknya sedar tentang kejadian itu dan memandang serius perkara tersebut.
Katanya lagi, apabila kejadian itu berlaku, guru kelas pelajar yang terjejas itu telah menemaninya ke hospital, dan pelajar berkenaan dibenarkan pulang pada hari sama.
“Pihak sekolah kemudian telah menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk beberapa pusingan temu bual dan lakonan semula bersama saksi kejadian, bagi memastikan fakta kes dengan teliti.
“Sepanjang proses itu, kami berhubung rapat dengan keluarga kedua-dua pelajar tersebut, serta memaklumkan mereka tentang keputusan dan tindakan yang diambil mengikut rangka disiplin sekolah,” kata Encik Tan.
Encik Tan juga berkata pihak sekolah telah melaksanakan pelan keselamatan untuk menyokong mangsa sejak 22 Jun.
Pelan ini termasuk memberi sokongan kaunseling dan mengehadkan interaksi antara kededua pelajar itu termasuk mengalihkan si pelaku kepada kelas yang lain.
Encik Tan juga mengesahkan pihak sekolah sedang mengambil tindakan disiplin.
“Pihak sekolah telah memutuskan dan sedang melaksanakan tindakan disiplin yang sewajarnya terhadap (pelaku).
“Tindakan tersebut termasuk penggantungan sekolah, penyesuaian gred tingkah laku serta tindakan lain, selaras dengan rangka kerja disiplin sekolah,” kata Encik Tan.
Dalam satu hantaran TikTok, ibu mangsa berkata anaknya juga sering memikirkan dan dihantui kejadian tersebut dan doktor mencadangkan agar mereka berjumpa dengan pakar psikiatri.
“Keadaan psikologi anak saya sangat terjejas sehinggakan beliau bermimpi tentang darah dan bercakap tentang kejadian itu hampir setiap hari,” kata ibu mangsa kepada BH.
Kes ini menyusuli tinjauan MOE sejak Oktober 2025 bahawa ibu bapa masih bimbang tentang keupayaan sekolah untuk menangani kes kompleks dengan tepat dan adil.
Dengan dapatan itu, MOE telah mengumumkan pada 15 April bahawa semua sekolah akan mengenakan tindakan disiplin yang lebih tegas dan seragam terhadap salah laku pelajar mulai 2027.
Antara tindakan tegas atas salah laku pelajar yang diumumkan termasuk sebatan rotan, penggantungan sekolah, dan penyesuaian kepada gred tingkah laku pelajar.

