Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenulis S’pura tebar sayap ke AS demi dalami sastera
Encik Hidayat Nordin jadi penulis Melayu kedua dari S’pura sertai Program Penulisan Antarabangsa (IWP) di Iowa sejak 2016
Dahulu, minat untuk menulis tidak pernah terlintas dalam fikiran Encik Hidayat Nordin.
Namun, segalanya mula berubah apabila pengasas dan pengarah artistik Aras Theatre itu mula menulis lagu untuk kumpulan dikir barat di sekolahnya, sekali gus membuka matanya kepada keindahan dunia penulisan.
“Penulisan bukan sahaja tentang kemenangan semasa pertandingan, malah perlu ada mesej yang ingin diluahkan oleh penulis,” kongsi Encik Hidayat, 40 tahun, yang juga pengasas bersama kolektif penulisan, Meja Conteng.
Kini, minat yang bermula daripada penulisan lagu itu telah membawa beliau sehingga ke Amerika Syarikat (AS), apabila terpilih sebagai antara 21 peserta program residensi penulisan, Program Penulisan Antarabangsa (IWP), di Universiti Iowa yang bermula pada 19 Ogos.
Encik Hidayat merupakan penulis Melayu kedua dari Singapura yang menyertai program tersebut sejak 2016.
Program selama dua setengah bulan itu menghimpunkan penulis daripada pelbagai negara dan latar belakang untuk berkarya, menimba pengalaman, serta mengembangkan kemahiran penulisan mereka di Bandar Iowa, yang merupakan antara bandar sastera di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
“Program ini merupakan satu peluang untuk saya memahami bagaimana penulis lain memahami dunia dan berfikir dalam mengetengahkan sesuatu isu,” jelas beliau ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Penyertaan Encik Hidayat dalam program itu dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
“Saya sangat bersyukur kerana mendapat peluang keemasan ini untuk belajar daripada penulis lain menerusi program residensi ini,” tambah beliau.
Encik Hidayat berkata pengalamannya setakat ini sangat menarik kerana berpeluang bertemu penulis dari serata dunia yang membantunya melihat sastera dan pelbagai isu daripada sudut pandangan berbeza.
Antara penulis yang ditemuinya ialah Cik Amber Esau dari New Zealand dan Encik Lionel Ruffel dari Perancis, yang telah memperluas pengetahuannya tentang penulisan teater bukan fiksyen – genre yang ingin diterokainya pada masa hadapan.
Sebagai seorang penulis multidisiplin, Encik Hidayat berkata perkongsian sedemikian amat bermanfaat dalam perkembangan dirinya sebagai penulis.
“Sastera juga tentang idea dan kisah yang datang daripada masyarakat, jadi pengalaman seperti ini penting kerana ia membolehkan saya memahami masyarakat lain dan isu dunia dengan lebih baik,” katanya.
Encik Hidayat turut mengalu-alukan penulis lain, sama ada yang sudah mapan mahupun mahu berjinak-jinak dalam dunia sastera, supaya menyertai program seumpama itu bagi meluaskan pemahaman mereka tentang dunia dan masyarakat daripada latar belakang berbeza.
“Kerja seorang penulis bukanlah usaha seorang diri kerana karya kami juga merupakan hasil perkongsian orang di sekeliling dan apa yang kita lihat.
“Dalam dunia sastera, kita tidak boleh hanya berada dalam lingkungan sendiri dan kita perlu faham perspektif orang lain,” terang beliau.
Tambahnya, walaupun program tersebut dijalankan dalam bahasa Inggeris dan sebahagian peserta lebih fasih berkarya dalam bahasa ibunda masing-masing, proses menjana dan mengembangkan idea tetap bersifat universal.
Beliau berharap dapat membawa pulang ilmu dan pengalaman yang diraih sepanjang program itu untuk menyumbang kepada perkembangan landskap sastera Melayu di Singapura.
“Di Singapura, saya rasa kadangkala kita terlalu tertumpu kepada aspek bahasa dalam karya sastera.
“Namun, sebagai seorang penulis multidisiplin, saya rasa kita juga perlu mengutamakan dan menghargai kisah yang diketengahkan.
“Ini merupakan salah satu cara untuk menarik minat golongan muda terhadap dunia sastera,” ujar Encik Hidayat.

