Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerjalanan umrah bertukar duka, ibu saudara meninggal dunia dalam ihram di Jeddah
Perjalanan umrah yang dirancang sejak setahun lalu menjadi kenangan terakhir buat sekeluarga
Perjalanan umrah bertukar duka, ibu saudara meninggal dunia dalam ihram di Jeddah
Air matanya berlinang, namun bibirnya sempat mengukir senyuman, seolah-olah memberi isyarat kepada keluarganya agar usah risau.
Di jambatan udara Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah, Arab Saudi, saat yang sepatutnya menjadi permulaan ibadah umrah bertukar menjadi detik perpisahan abadi.
“Beliau menutup mata sambil bersandar di tembok... air matanya berlinang, tetapi beliau sempat tersenyum dan seolah-olah memberitahu saya supaya jangan risau.
“Itulah saat beliau menghembuskan nafas terakhir di depan mata kami semua,” ujar Encik Azmi Sarip, 40 tahun, ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Bagi Encik Azmi, perjalanan umrah bersama lapan anggota keluarganya yang dirancang sejak setahun lalu meninggalkan kesan mendalam apabila ibu saudaranya, Allahyarhamha Nora Rahman, 61 tahun, menghembuskan nafas terakhir di depan mata mereka sejurus tiba di Jeddah pada 10 November lalu.
Menurut anak saudara sulung Allahyarhamha itu, perjalanan ke Tanah Suci tersebut merupakan ibadah umrah pertama buat ibu saudaranya yang jarang menaiki pesawat, selain penerbangan jarak jauh pertamanya melebihi lima jam.
Perjalanan dari Singapura ke Jeddah yang mengambil masa lapan setengah jam itu berlangsung tanpa sebarang masalah, namun Allahyarhamha, seorang pekerja pentadbiran yang belum berumah tangga, banyak berehat di tempat duduknya sepanjang penerbangan.
Sebaik tiba sekitar 6.35 pagi waktu tempatan, Encik Azmi, seorang jururawat, sedang memimpin ibunya, Cik Sammayah Rahman, 75, tahun, kakak kepada Allahyarhamha, menyusuri jambatan udara apabila dimaklumkan oleh mutawif bahawa ibu saudaranya telah rebah.
Allahyarhamha merupakan anak bongsu dalam keluarganya, manakala Cik Sammayah anak keempat.
“Saya segera mendapatkan beliau dan meminta kerusi roda ke pintu keluar. Ketika itu beliau masih sedar, namun keadaannya merosot dengan sangat pantas selepas mengadu pening dan sesak nafas,” cerita Encik Azmi.
Apabila Allahyarhamha tidak sedarkan diri dan nadinya terhenti, Encik Azmi bersama sepupunya, Cik Nur Farhanah Mohamed, yang juga seorang jururawat, segera bergilir-gilir memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
Menurutnya, pasukan perubatan lapangan terbang tiba tidak lama kemudian dan membawa Allahyarhamha ke klinik lapangan terbang.
Allahyarhamha disahkan meninggal dunia akibat henti jantung dan pernafasan kira-kira setengah jam selepas beliau rebah.
“Berdasarkan pengalaman saya sebagai jururawat selama 15 tahun, saya tahu harapan pada waktu itu memang tipis.
“Saya cuba kuatkan hati dan redha, tetapi saya tidak memberitahu ibu saya ketika itu kerana tidak mahu beliau terkejut,” tambahnya.
Menurut Encik Azmi, Allahyarhamha menghidap penyakit tiga serangkai, namun keadaannya terkawal dengan ubat-ubatan.
Dalam menghadapi situasi tersebut, keluarga itu membahagikan tugas dengan Cik Farhanah bersama suaminya kekal di Jeddah bagi menguruskan dokumentasi bersama pihak konsulat dan hospital, manakala Encik Azmi mengiringi ibunya serta anggota keluarga lain ke Makkah untuk menyempurnakan umrah wajib.
Jenazah Allahyarhamha selamat disemadikan di Madinah pada keesokan harinya, 11 November.
Encik Azmi berkata memandangkan kaum wanita tidak dibenarkan memasuki kawasan perkuburan itu, beliau membuat panggilan video bagi membolehkan ibunya serta anggota keluarga di Singapura dan Australia menyaksikan proses pengebumian tersebut secara langsung.
Beliau berkata kehilangan mengejut itu amat dirasai, lebih-lebih lagi oleh Cik Sammayah yang kini telah kehilangan tiga adik-beradik dalam tempoh sekitar satu setengah tahun.
Abangnya yang merupakan anak ketiga dalam keluarga meninggal dunia pada Februari 2025, diikuti adik perempuannya yang merupakan anak kelima, empat bulan kemudian.
Namun, Encik Azmi berkata mereka sekeluarga menemui ketenangan apabila mengenangkan keadaan pemergian Allahyarhamha.
“Pemergian beliau dalam keadaan berihram selepas berniat di miqat (tempat jatuhkan niat ihram) dalam pesawat adalah satu pengakhiran yang dicemburui.
“Kita sendiri tidak tahu bagaimana pengakhiran kita, jadi perkara itu sedikit sebanyak memberi kekuatan positif buat saya dan ibu,” kata anak tunggal itu lagi.
Kisah pemergian Allahyarhamha menyentuh hati ramai warganet selepas seorang lagi anak saudaranya, Cik Nadirah Mohamed, 29 tahun, memuat naik hantaran di TikTok dengan kapsyen:
“Datang sebagai keluarga seramai lapan orang, pulang sebagai keluarga seramai tujuh orang.”
Ketika dihubungi BH, Cik Nadirah menyifatkan ibu saudaranya yang mesra dipanggil ‘Bibik’ itu sebagai insan penyayang yang sentiasa mengutamakan keluarga.
“Kehilangan Bibik masih amat terasa. Beliau bukan sekadar ibu saudara, tetapi sebahagian besar dalam hidup kami yang sentiasa mengutamakan orang lain berbanding dirinya sendiri.
“Kami akan sentiasa mengingati kebaikan, gelak tawa, dan kasih sayangnya.
“Tak sangka perjalanan umrah yang sepatutnya menjadi kenangan indah bersama akhirnya menjadi kenangan terakhir kami.
“Namun Alhamdulillah, Allah memilih untuk menjemputnya pulang di tempat yang paling mulia, di Tanah Suci dan dalam keadaan berihram,” kongsi kerani pergigian itu.
Bagi Encik Azmi yang menetap bersama Allahyarhamha serta ibunya di Hougang sejak di bangku sekolah rendah, kehilangan itu meninggalkan ruang kosong yang amat dirasai.
“Beliau bukan sahaja menjaga ibu saya ketika saya keluar bekerja, malah menjadi tonggak kekuatan di rumah dan sudah saya anggap seperti ibu kedua.
“Asalnya kami mahu mencipta kenangan indah di Tanah Suci, tetapi Allah jadikan perjalanan ini satu tarbiah tentang kehilangan, kesabaran, dan keikhlasan.
“Kami berangkat bertiga, tetapi pulang berdua. Kini suasana di rumah terasa sangat sunyi, dan kami masih belajar untuk redha sepenuhnya,” kata Encik Azmi sambil menahan sebak.