Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilot bawa anak ‘jalan-jalan’ di udara Adelaide

Oct 6, 2025 | 5:32 PM
Juruterbang, anak dua tahun, keliling langit di Adelaide, Aeroviation Singapore
Encik Faris Iskandar Samat bersama anaknya, Fayra Armel Iskandar, bergambar sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Murray Bridge di Adelaide, Australia. - Foto ihsan FARIS ISKANDAR SAMAT

Apabila Encik Faris Iskandar Samat, 32 tahun, membawa anak tunggalnya menaiki penerbangan yang dikendalikannya sendiri selama setengah jam di Lapangan Terbang Murray Bridge, Adelaide, Australia, beliau tidak menyangka anaknya yang baru berusia dua tahun itu begitu tenang, kelihatan seronok, dan langsung tidak menunjukkan rasa takut.

Ini kerana pengalaman menaiki pesawat kecil dua penumpang itu adalah yang pertama dinaiki anaknya itu, Fayra Armel Iskandar, pada 15 April lalu.

“Ini merupakan penerbangan pertama Fayra, duduk di sebelah saya, dalam pesawat kecil yang diterbangkan saya sendiri.

“Sebelum ini, Fayra memang biasa menaiki penerbangan komersial bersama kami.

“Jadi, saya risau sama ada dia akan menangis, muntah atau mabuk... saya harus fikir apa yang perlu saya lakukan sekiranya ia berlaku,” kata Encik Faris, yang juga pengasas bersama sekolah penerbangan swasta, Aeroviation Singapore.

Menurut Encik Faris, beliau dan anaknya melakukan dua putaran penerbangan mengelilingi lapangan terbang tersebut.

Video yang merakam adegan bapa dan anak itu telah dimuat naik di akaun Instagram@aeroviation.sg sempena Hari Kanak-Kanak pada 3 Oktober.

Setakat ini, ia telah tular dengan lebih 15,000 tontonan di platform tersebut.

Dalam video itu, Fayra kelihatan menangis seketika, tetapi bukan kerana takut.

Tangisannya berpunca daripada seekor lalat yang terbang masuk dan terperangkap dalam kipas pesawat jenis Jabiru 160 tersebut.

“Mujur pada waktu itu, kami masih belum berlepas ke udara, jadi saya dapat menghalau lalat itu,” kata Encik Faris.

Encik Faris telah merakam penerbangan sulung bersama anaknya itu menggunakan Go-Pro, sejenis kamera aksi yang biasa digunakan semasa kegiatan lasak seperti menyelam, berbasikal, memanjat, terjun udara atau sukan ekstrem lain.

Beliau menubuhkan sekolah latihan penerbangan Aeroviation bersama isterinya, Cik Nur Fadhilah Shuib, 30 tahun, pada 2018.

Walaupun sambutan pada awalnya hambar akibat pandemik Covid-19, perniagaannya mula meningkat setelah berita tentang salah seorang pelajarnya tular.

Pelajar tersebut, Cik Haazeqah Nur Atikah Abdullah, yang ketika itu berusia 17 tahun, memperoleh lesen Sijil Juruterbang Rekreasi (RPC) atau Lesen Juruterbang Rekreasi (RPL) daripada Aeroviation Singapore pada 2020.

Aeroviation, yang telah membimbing 720 pelajar setakat ini, menawarkan tiga program – Junior Aviator untuk pelajar cilik berumur tujuh hingga 12 tahun; Young Aviator untuk pelajar berumur 13 hingga 16 tahun; dan RPC untuk mereka yang berumur 15 tahun ke atas termasuk orang dewasa.

“Baru-baru ini, seorang pelajar saya yang berusia 58 tahun berjaya meraih lesen RPC dari sekolah kami. Ini amat membanggakan kami sebagai sekolah latihan penerbangan,” ujar Encik Faris.

Beliau sendiri memperoleh lesen penerbangannya melalui kursus penerbangan persendirian pada usia 25 tahun, ketika menuntut dalam tahun akhir pengajian jurusan Kejuruteraan Mekanikal (Penerbangan) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg