Topic followed successfully
Go to BHkuReruai konsep pasar jadi tumpuan majlis tunang
Reruai konsep pasar jadi tumpuan majlis tunang
Reruai konsep pasar jadi tumpuan majlis tunang
Diilhamkan daripada trend TikTok di Indonesia dan Malaysia, Tengku Putri Mayang Sari Tengku Muzaffar Shah mereka sebuah reruai, yang dinamakan Haya Heritage Booth untuk majlis pertunangan sepupunya yang kemudian menjadi tular.
Reruai berkonsep pasar itu menampilkan snek tradisional, mainan kanak-kanak serta buah-buahan dan sayur-sayuran segar hasil daripada pembekal tempatan.
Antaranya termasuk gula-gula ‘eyeglass’, serai, pisang dan bawang.
Video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya meraih lebih 40,000 tontonan dan mencetuskan minat dalam kalangan penonton di ruangan komen, yang turut menyatakan keinginan untuk mengadakan reruai seperti itu di majlis mereka sendiri.
Menurut Tengku Mayang, 35 tahun, idea tersebut tercetus secara spontan ketika membantu merancang majlis pertunangan sepupunya.
“Ketika merancang majlis, ibu saudara saya memang sudah mempunyai beberapa idea untuk memeriahkannya.
“Kami kemudian terlihat konsep serupa di TikTok dari Indonesia dan Malaysia, lalu kami cuba untuk merealisasikannya,” katanya, sambil menambah keseluruhan projek itu merupakan usaha bersama dengan bantuan suami, Encik Mohammad Zulhafiz Johari.
Menariknya, reruai yang diadakan di bawah blok itu direka dengan gaya interaktif, dengan tetamu bebas mengambil barang yang disediakan, sekali gus mewujudkan suasana meriah seperti di pasar.
“Pada awalnya, ramai tetamu hanya melihat dan tidak berani ambil kerana mereka ingat ia sekadar hiasan. Tapi bila kami beritahu bahawa mereka boleh ambil, semua jadi teruja, terutamanya kanak-kanak,” katanya.
Golongan lebih berusia pula antara yang paling gembira, malah ada yang berulang kali kembali ke meja tersebut yang turut dihiasi dengan kain batik serta beberapa hiasan yang diperbuat oleh rotan.
“Sejujurnya kami tidak sangka ramai yang minat. Menjelang 5 petang ketika majlis berlangsung, kira-kira 80 peratus barangan sudah habis diambil,” ujarnya lagi.
Selepas video itu dimuat naik, beliau juga menerima banyak mesej dan pertanyaan daripada orang ramai.
Bagi Tengku Mayang, konsep itu bukan sekadar hiasan, namun satu pengalaman yang membawa tetamu kembali kepada suasana kampung.
“Kami inginkan orang rasa seperti mengambil sendiri dari pasar, bukan sekadar ambil snek, tetapi menikmati kepelbagaian dan elemen kejutan.
“Barang-barang yang ada juga kebanyakannya sesuatu yang saya sering lihat ketika sedang membesar.
“Saya masih ingat dulu kita pergi ke kedai runcit dan membeli semua benda ini ketika kecil, jadi saya mahu orang lain turut merasai kembali nostalgia itu,” jelasnya.
Tambahnya, reruai itu juga mencerminkan nilai budaya Melayu seperti semangat berkongsi, sifat murah hati dan kebersamaan.
Apa yang bermula sebagai percubaan buat kali pertama, kini membuka peluang baru bagi beliau.
Sebelum ini, ibu dua orang anak itu berkecimpung dalam industri perkhidmatan pelanggan sebelum beralih ke bidang kreatif selepas meninggalkan pekerjaan sepenuh masa.
Kini beliau mengendalikan studio kreatif, Heart of Haya, bersama suaminya yang berusia 36 tahun dalam memberi tumpuan kepada fesyen, seni dan rekaan bunga.
“Sejak dulu saya memang ingin melakukan sesuatu yang lebih kreatif kerana latar belakang saya dalam seni halus. Saya hanya mula serius apabila tidak lagi bekerja sepenuh masa,” katanya.
Kini, Haya Heritage Booth dirancang untuk dijadikan sebahagian daripada tawaran perniagaan baru, seiring dengan perkhidmatan gubahan bunga atau flower bar yang sedang dibangunkan.
“Kami sedang mengusahakan harga, pakej dan tempahan untuk acara akan datang, kebanyakannya bagi majlis perkahwinan,” katanya.
