Topik diikuti
Pergi ke BHkuSahabat bukan Islam teman rakan ziarah pusara arwah ibu
Persahabatan sejak zaman politeknik kekal erat meski berbeza agama, latar belakang
Sahabat bukan Islam teman rakan ziarah pusara arwah ibu
Ketika Cik Nurul A’fifah Azmi menziarahi pusara arwah ibunya pada 1 Oktober, di sisinya berdiri seorang sahabat yang tidak berkongsi agama yang sama dengannya.
Namun, bagi Cik Eunice Han, perbezaan agama tidak menghalangnya daripada menemani sahabat baiknya itu dalam detik yang begitu peribadi.
Malah, menurut Cik A’fifah, 28 tahun, ia bukan kali pertama sahabatnya ‘hadir’ buat beliau – daripada menghadiri majlis tahlil arwah ibunya, hingga berpuasa dan berbuka bersamanya di masjid.
Bagi Cik A’fifah, tindakan tersebut cukup bermakna kerana Cik Eunice, juga 28 tahun, telah menyaksikan sendiri bagaimana beliau mendekati Islam ketika melalui antara tempoh paling sukar dalam kehidupannya.
“Kadangkala, kita mungkin tidak ingat apa yang orang katakan ketika kita melalui sesuatu yang sukar, tetapi kita akan ingat siapa yang hadir untuk kita,” ujarnya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurut Cik A’fifah, persahabatan mereka bermula pada 2016 ketika mengikuti pengajian Perisikan Perniagaan dan Analitik dalam kelas sama di Politeknik Nanyang, sebelum menjadi rapat kerana berkongsi pengalaman membesar dalam keluarga yang hidup serba sederhana.
Beliau berkata ketika rakan lain bergegas pulang selepas kelas, mereka sering terus berada di sekolah untuk meluangkan masa bersama, malah mengambil pekerjaan sambilan bersama semasa cuti semester bagi meraih pendapatan tambahan dan membantu keluarga masing-masing.
“Persahabatan itu menjadi semakin penting apabila saya berdepan pelbagai dugaan beberapa tahun kemudian.
“Ibu saya meninggal dunia dan bapa pula saya dimasukkan ke hospital selama berbulan-bulan.
“Saya juga hilang rasa gembira terhadap pekerjaan saya dan pernah berasa marah dengan keadaan hidup sehingga mempersoalkan ujian yang diberikan Allah,” akuinya, yang bakal memulakan pekerjaan sebagai penjawat awam pada November.
Dalam mencari ketenangan, Cik A’fifah mula menghadiri lebih banyak ceramah agama untuk mendalami Islam, sekali gus membantunya melihat kesukaran yang dialami dari sudut berbeza.
Menurutnya, apa yang dianggap sebagai kekecewaan mungkin sebenarnya satu bentuk petunjuk dan perlindungan daripada Allah.
Cik Eunice berkata Cik A’fifah tidak pernah menyatakan bahawa Islam membantunya mengharungi tempoh sukar itu, namun beliau sendiri dapat melihat perubahan pada sahabatnya.
Menurut Cik Eunice, sahabatnya semakin kerap menghadiri kelas agama, berdoa, dan membaca serta melibatkan diri dalam kegiatan masyarakat.
“Beliau kelihatan semakin tenang dan lebih stabil... Beliau masih mempunyai hari-hari yang sukar, tetapi seolah-olah telah menemui sesuatu yang memberinya ketenangan.
“Melihat perubahannya membuatkan saya semakin ingin memahami agama sahabat saya,” tambah beliau.
Cik Eunice berkata beliau pernah bertanya tentang amalan seperti berpuasa dan taaruf, membeli buku Islam untuk Cik A’fifah, serta membaca petikan buku yang dikongsi sahabatnya di Instagram.
“Saya tidak perlu mempercayai perkara yang sama dengannya untuk mempunyai rasa ingin tahu mengenainya.
“Jika sesuatu itu penting kepada sahabat saya, saya sekurang-kurangnya mahu memahami mengapa ia penting baginya,” jelasnya.
Keinginan itu turut mendorong Cik Eunice berpuasa buat kali pertama apabila menemani Cik A’fifah berbuka di Masjid Al-Muttaqin pada Ramadan 2025.
Bagi Cik A’fifah, yang ketika itu belum pernah berbuka di masjid dan berasa gentar untuk pergi seorang diri, kehadiran sahabatnya membuatkan pengalaman tersebut lebih selesa.
Namun, antara kenangan paling bermakna baginya berlaku ketika ibunya meninggal dunia pada 1 Oktober 2020.
Menurutnya, walaupun tidak memahami bacaan tahlil, Cik Eunice hadir ke majlis tersebut dengan mengenakan hijab dan pakaian tertutup semata-mata untuk berada di sisi sahabatnya.
“Pada antara titik paling rendah dalam hidup saya, beliau sekadar hadir untuk saya dan saya akan sentiasa mengingatinya.
“Persahabatan kami mengajar kami bahawa seseorang tidak perlu melalui pengalaman atau berkongsi kepercayaan yang sama untuk benar-benar hadir buat insan tersayang.
“Kadangkala, ia sekadar bermakna kita hadir, mendengar, dan menghormati apa yang penting bagi mereka,” katanya.