Sempena Hari Guru pada 5 September, ramai yang teringatkan zaman persekolahan atau guru-guru yang telah banyak berjasa dan memberi kata-kata semangat.
Pekerjaan seorang guru tidak berakhir di bilik darjah. Malah, kata-kata nasihatnya, keprihatinannya diingat sampai bila-bila.
Begitu yang dikongsikan oleh dua selebriti kepada Berita Harian, sempena Hari Guru.
Pelakon dan pengacara Farhana M. Noor berkata beliau terhutang budi dengan pensyarah Drama Melayunya di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA). iaitu pelakon dan penulis veteran, M. Saffri A. Manaf.
“Cikgu Saffri sangat baik orangnya dan sangat penyabar. Walaupun saya selalu datang lambat, ponteng atau nakal, Cikgu tetap bersabar, malah tetap berikan sokongan dan kepercayaan kepada saya. Beliau juga selalu berikan saya kata-kata semangat dan nasihat,” kata Farhana tentang guru kesayangannya itu.
Farhana juga teringat detik kali pertama beliau mencuba bakat dalam Pentas Radio di stesen radio Warna dengan galakan pensyarahnya itu.
“Itulah kali pertama saya ke Mediacorp, tidak sangka sehingga hari ini saya berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, berkat kepercayaan Cikgu, yang menjadi tunggak kekuatan Ana,” katanya lagi.
Pengarah Kreatif Sri Warisan Som Said Performing Arts, Marina Yusoff pula emosi berkongsi apabila bercakap tentang seorang guru agama yang sangat rapat dengan beliau, tetapi kini tiada lagi.
“Saya terputus hubungan dengannya setelah sekian lama, tapi dapat berjumpa dengannya kembali setelah dapat tahu beliau telah berpindah ke Australia bersama keluarga. Pada waktu itu, beliau sudah kelihatan kurang sihat,” kata Marina.
Bagi Marina, Almarhumah Ustazah Saadah Alwee bukan sahaja pendidik, tetapi bersifat keibuan, membuat pelajar rasa sangat selesa berdamping dengannya.
“Ustazah lah yang membimbing saya dari kecil mengajar dan mengasuh saya dalam semua pertandingan syarahan yang saya sertai. Beliau juga membina keyakinan diri saya untuk berhadapan dengan ratusan penonton dengan penuh rasa yakin dan tulus.”
Menurut Marina, hubungannya dengan Almarhumah sangat intim, sehinggakan di hujung nyawanya juga Marina dapat menghubungi melalui telefon, sewaktu beliau nazak dan kemudian meninggal dunia.
Almarhumah Ustazah Saadah telah meninggal dunia pada 17 April 2024 di kediamannya di Melbourne, Australia.
“Walaupun beliau sudah pergi namun jasa dan kasih sayang yang beliau curahkan terus bersemadi di jiwa ini.
“Semoga segala ilmu dan amal jariah yg telah beliau curahkan bukan hanya untuk saya tapi semua murid-muridnya selama ini menjadi pendamping untuknya ke syurga, Amin,” kata Marina tentang guru agamanya yang telah mengajarnya dari umurnya tujuh tahun hinggalah lebih kurang 13 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg