Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) baru-baru ini menjelaskan bahawa semua hidangan Muslim bagi penerbangan yang berlepas dari Singapura disediakan di dapur yang mempunyai sijil halal menggunakan bahan daripada pembekal yang disahkan halal.

Perkara itu dinyatakan dalam kemas kini terkini di laman web SIA.

Namun, keadaan berbeza bagi hidangan Muslim dalam penerbangan yang berlepas dari luar Singapura.

Laman web tersebut menambah bahawa “hidangan Muslim bagi penerbangan yang berlepas dari luar Singapura disediakan tanpa penggunaan daging babi, lemak babi, produk sampingan babi atau alkohol.”

Berdasarkan tinjauan Berita Harian (BH), sebelum ini laman web SIA hanya menyatakan hidangan Muslim sebagai: “Tiada alkohol, daging babi atau produk sampingan babi digunakan dalam penyediaan hidangan ini (hidangan Muslim).”

BH telah menghubungi SIA bagi mendapatkan butiran lanjut.