Topik diikuti
Pergi ke BHkuSIA kemas kini laman web, perjelas maklumat hidangan halal
SIA kemas kini laman web, perjelas maklumat hidangan halal
SIA kemas kini laman web, perjelas maklumat hidangan halal
Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) pada 9 Jun menjelaskan bahawa semua hidangan Muslim bagi penerbangan yang berlepas dari Singapura disediakan di dapur yang mempunyai sijil halal dan menggunakan bahan daripada pembekal yang disahkan halal.
Perkara itu dinyatakan dalam kemas kini terkini di laman web SIA.
Namun, keadaan berbeza bagi hidangan Muslim dalam penerbangan yang berlepas dari luar Singapura.
Laman web tersebut menambah bahawa “hidangan Muslim bagi penerbangan yang berlepas dari luar Singapura disediakan tanpa penggunaan daging babi, lemak babi, produk sampingan babi atau alkohol”.
Berdasarkan tinjauan Berita Harian (BH), sebelum ini, laman web SIA hanya menyatakan hidangan Muslim sebagai “tiada alkohol, daging babi atau produk sampingan babi digunakan dalam penyediaan hidangan ini (hidangan Muslim)”,
Menjawab pertanyaan BH mengenai sebab bagi kemas kini tersebut, jurucakap SIA berkata ia dilakukan untuk “memberi pelanggan maklumat yang lebih jelas tentang bagaimana hidangan tersebut (Muslim) disediakan”.
Isu berkaitan hidangan Muslim disajikan SIA sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas timbul perbincangan dalam talian mengenai status halal hidangan tersebut.
Perbincangan itu tercetus apabila pengguna media sosial @opsieeedaisyyy di wadah Threads pada 20 April mempersoalkan sama ada hidangan Muslim dipanaskan menggunakan ketuhar yang sama dengan hidangan lain, termasuk yang mengandungi daging babi.
Susulan itu, SIA menjelaskan bahawa hidangan Muslim disediakan tanpa penggunaan daging babi, lemak babi, produk sampingan babi atau alkohol, namun ia tidak disahkan halal secara keseluruhan, disebabkan proses pengendalian di dalam pesawat, termasuk perkongsian peralatan yang digunakan.
Penjelasan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penumpang Muslim, dengan sebahagian menyuarakan kebimbangan mengenai tahap pematuhan halal, manakala yang lain berpendapat kandungan bahan yang digunakan sudah memadai.
Pada 30 April, jurucakap Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menjelaskan hidangan Muslim yang disajikan bagi penerbangan yang berlepas dari Singapura disediakan di kemudahan yang mempunyai sijil halal.
Namun, jurucakap Muis menjelaskan bahawa meskipun sesebuah syarikat penerbangan tidak mempunyai sijil halal, ia tidak bermakna makanan yang dihidang tidak halal.
Ia kerana pensijilan diberikan berdasarkan penghasilan makanan serta proses menangani makanan, bukan entiti syarikat penerbangan itu sendiri.
