Topic followed successfully
Go to BHku‘Suami tak sambut Hari Ibu’: Remeh atau isteri berhak terasa hati? Netizen beza pendapat
‘Suami tak sambut Hari Ibu’: Remeh atau isteri berhak terasa hati? Netizen beza pendapat
‘Suami tak sambut Hari Ibu’: Remeh atau isteri berhak terasa hati? Netizen beza pendapat
Sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini, satu perbincangan hangat tercetus di media sosial mengenai siapa yang sepatutnya meraikan para ibu pada hari tersebut – adakah suami perlu memainkan peranan dalam mengucapkan atau meraikan isteri mereka, atau cukup sekadar anak-anak yang melakukannya?
Di wadah media sosial Threads, seorang pengguna bernama ‘knownasnad’ mencetuskan perbincangan dengan bertanya apa sebenarnya yang diterima oleh para ibu daripada suami mereka sempena Hari Ibu.
Baginya, sekadar “masa untuk diri sendiri” pun memadai sebagai hadiah.
Namun, beberapa ibu lain berkata mereka hanya mahu rasa dihargai, menegaskan bahawa ia bukan tentang hadiah mahal tetapi sekadar pengiktirafan yang ringkas.
“Kadang-kadang, ucapan ‘Selamat Hari Ibu’ sahaja sudah cukup untuk membuat hati seorang ibu rasa penuh,” tulis seorang pengguna bernama ‘nfshfsl’.
Di samping itu, ada juga yang meluahkan rasa kecewa apabila hari tersebut tidak disambut di rumah walaupun keluarga lain menyambutnya secara meluas di luar.
Seorang pengguna bernama ‘yanru13’ berkata peristiwa sedemikian terasa meletihkan apabila beliau menjadi satu-satunya dalam keluarga sendiri yang mengingati akan sambutan Hari Ibu.
“Saya kadang-kadang rasa sangat kecewa dengan keluarga sendiri. Hari ini Hari Ibu, tetapi di rumah seolah-olah tiada siapa yang peduli.
“Saya sebagai seorang ibu pula yang perlu merancang untuk ibu saya sendiri. Yang lain-lain, termasuk suami, seperti tidak ambil peduli.
“Setiap sambutan hanya membuatkan saya rasa penat dari segi mental, seolah-olah saya seorang sahaja yang ambil berat,” katanya.
Dalam masa yang sama, terdapat pandangan berbeza yang menekankan bahawa penghargaan terhadap seorang ibu boleh datang dalam pelbagai bentuk.
Seorang pengguna bernama ‘maziahmartin’ berkongsi bahawa suaminya tidak menyambut Hari Ibu secara tradisional, tetapi menunjukkan kasih sayang melalui perbuatan seperti menghulurkan bantuan di rumah.
Ini termasuk mengemas rumah, mencuci pakaian, dan menguruskan keperluan keluarga.
“Seiring kami melangkah masuk tahun ke-12 bersama (sebagai suami isteri), saya telah menerima bahawa cara suami saya menunjukkan kasih sayang adalah dengan melakukan khidmat bakti,” ujarnya.
Namun, tidak semua bersetuju bahawa suami perlu memainkan peranan dalam sambutan Hari Ibu.
Seorang pengguna bernama ‘fadli_ayub’ mempersoalkan mengapa isteri mengharapkan ucapan dan hadiah Hari Ibu daripada suami, dan berpendapat bahawa ia sepatutnya datang daripada anak.
Pandangan itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna lain.
Seorang netizen bernama ‘juemirae’ berpendapat bahawa anak kecil belum mampu menyediakan hadiah atau merancang sambutan sendiri, justeru peranan suami diperlukan untuk membimbing mereka.
Ada juga yang berkata suami memainkan peranan penting dalam mengajar anak menghargai ibu, kerana anak belajar daripada contoh yang ditunjukkan di rumah.
Seorang pengguna bernama ‘feezabdul’ menambah bahawa anak-anak belajar tentang hormat dan penghargaan melalui cara bapa melayan ibu mereka.
‘Kanak-kanak belajar tentang kasih sayang, penghargaan, dan hormat dengan melihat bagaimana bapa mereka melayan ibu mereka.
“Jika seorang suami meraikan ibu kepada anak-anaknya, kanak-kanak secara semula jadi akan membesar dengan pemahaman bahawa, ‘Beginilah cara kita menghormati ibu’,” kongsi beliau.
Sementara itu, ada juga yang mengingatkan tentang cabaran fizikal dan emosi menjadi seorang ibu.
Ini termasuk kehamilan, pemulihan selepas bersalin, dan berjaga pada waktu malam tanpa tidur, yang menjadikan pengiktirafan pada Hari Ibu sesuatu yang wajar.
Pengguna bernama ‘sheil.jabar’ berkata:
“Para ibu hamil selama sembilan bulan dan bersalin semata-mata untuk melahirkan seorang bayi ke dunia ini.
“Bapa pula menemani dan memberi sokongan, tetapi ibu yang menempuh segala kesakitan itu.
“Jadi tidak mengapalah… biarlah ibu meminta sedikit hadiah sempena Hari Ibu.”

