Apa yang bermula sebagai pendaftaran bagi program senaman air bertukar menjadi pengalaman mencemaskan apabila telefon seorang warga emas berusia 66 tahun dipercayai diceroboh dan dikuasai pihak tidak dikenali pada 22 September.

Ketika anak warga emas itu sedang menghubungi DBS untuk mengesahkan mesej mencurigakan yang diterima bapanya, telefon Samsung Galaxy S26 itu tiba-tiba terkunci dan memaparkan tulisan putih berlatarkan skrin hitam:

“I won’t let you contact DBS and (anti) fraud team (Saya tidak akan membenarkan anda menghubungi DBS dan pasukan antipenipuan).”

Anak warga emas itu, Cik Nicole Laurens, 33 tahun, turut menyedari lampu penunjuk privasi berwarna hijau pada telefon itu menyala, yang mendorongnya untuk percaya bahawa kamera atau mikrofon telefon sedang digunakan.

“Apabila saya nampak lampu itu menyala, saya terus matikan telefon itu dan letakkannya di bilik lain kerana mengesyaki ada pihak lain yang sedang melihat atau mendengar kami menerusi kamera dan mikrofon,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Cik Nicole berkata kejadian itu bermula beberapa jam sebelumnya apabila ibunya terlihat iklan program senaman air di kumpulan Facebook bernama ‘Aqua fitness’ dan mendaftarkan suaminya dengan memberikan nombor telefonnya.

Tidak lama kemudian, seorang wanita menghubungi bapanya dan memintanya memuat turun aplikasi bernama ‘Water Fitness’.

Menurut Cik Nicole, wanita itu membimbing bapanya, yang kurang mahir menggunakan teknologi, untuk menukar beberapa tetapan keselamatan telefon bagi membolehkan aplikasi tersebut dipasang.

Selepas aplikasi itu dimuat turun, bapa beliau berkata telefonnya mula menjadi terlalu panas dan beberapa aplikasi tertutup dengan sendirinya, namun beliau menyangka ia sekadar masalah pada peranti.

Pada sekitar 2.45 petang hari sama, bapanya menerima mesej WhatsApp daripada pengirim yang mendakwa mewakili DBS, memaklumkan bahawa mereka telah cuba menghubunginya dan memintanya menelefon semula.

“Menyangka mesej itu daripada DBS, ayah saya menghubungi nombor itu dan bercakap dengan seorang individu yang menurutnya kedengaran seperti orang warga asing,” jelas Cik Nicole.

Iklan program senaman air yang dilihat ibu Cik Nicole menerusi sebuah kumpulan Facebook (gambar kiri) sebelum beliau mendaftarkan suaminya dengan memberikan nombor telefonnya. Tidak lama kemudian, bapa Cik Nicole dihubungi seorang individu dan diminta memuat turun aplikasi bernama ‘Water Fitness’ ke dalam telefonnya (gambar kanan).
Iklan program senaman air yang dilihat ibu Cik Nicole menerusi sebuah kumpulan Facebook (gambar kiri) sebelum beliau mendaftarkan suaminya dengan memberikan nombor telefonnya. Tidak lama kemudian, bapa Cik Nicole dihubungi seorang individu dan diminta memuat turun aplikasi bernama ‘Water Fitness’ ke dalam telefonnya (gambar kanan). - Foto NICOLE LAURENS

Sekitar 7 malam hari sama, Cik Nicole menghubungi talian rasmi DBS menggunakan telefonnya sendiri untuk mengesahkan mesej yang diterima bapanya.

Beliau berkata pihak DBS memaklumkan tiada transaksi atau pengeluaran wang tanpa kebenaran dikesan dalam akaun bank bapanya.

“Ketika itulah saya menyedari lampu berwarna hijau pada telefon bapa saya menyala dan ia kemudian terkunci dan tidak dapat dibuka menggunakan cap jarinya,” kongsinya.

Selepas menyedari telefon itu dipercayai telah diceroboh, keluarga Cik Nicole membuat laporan polis pada hari sama. Laporan itu telah dilihat BH.

Menurut Cik Nicole, bapanya turut dinasihatkan polis supaya membekukan akaun bank dan menggantikan kad SIM.

Pada 23 September, beliau berkata bapanya membawa telefon itu ke kedai pembaikan, namun juruteknik menasihatkannya supaya memadamkan segalanya (factory reset) tanpa cuba mendapatkan semula data kerana proses pemulihan mungkin memerlukan telefon disambungkan kepada Internet.

Akibatnya, Cik Nicole berkata bapanya kehilangan gambar dan fail peribadi yang disimpan dalam telefonnya.

Aplikasi berbahaya boleh beri akses kepada telefon

Pengarah IT & Keselamatan Siber BDO Singapore, Encik Mohamed Noordin Yusuff Marican, berkata aplikasi berniat jahat yang dipasang dan diberikan kebenaran tertentu berpotensi membolehkan penyerang memantau peranti, berinteraksi dengan skrin, serta mengakses pemberitahuan atau SMS.

Dalam keadaan tertentu, beliau berkata penyerang juga berpotensi mengawal fungsi telefon.

Antara fungsi yang boleh disalahgunakan ialah ‘Accessibility Service’, yang sebenarnya direka bagi membantu pengguna kurang upaya.

“Jika kebenaran itu diberikan kepada aplikasi berniat jahat, ia berpotensi membaca apa yang dipaparkan pada skrin dan berinteraksi dengan aplikasi lain bagi pihak pengguna,” terang Encik Noordin.

Tambahnya, akses kepada pemberitahuan dan perkongsian atau rakaman skrin juga boleh memberikan aplikasi kawalan atau akses yang luas terhadap telefon.

Namun, Encik Noordin berkata paparan mesej pada skrin dan penunjuk kamera yang aktif sahaja tidak membuktikan kaedah mana yang digunakan untuk menceroboh telefon tersebut.

“Peranti itu perlu diperiksa untuk menentukan sama ada ia melibatkan perisian hasad (malware), aplikasi akses jauh, penyalahgunaan fungsi kebolehcapaian Android, atau gabungan beberapa teknik,” ujarnya.