Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiga beradik curi masa di celah kesibukan demi semarakkan pentas NDP
Selama bertahun-tahun, Cik Sumaiyah Juraimi dan adik-beradik kembarnya, Cik Lina Nadhirah Abdullah dan Cik Lina Nadzirah Abdullah, sanggup meluangkan sebahagian besar hujung minggu mereka menjalani latihan untuk Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura (NDP).
Cik Sumaiyah telah menjadi peserta kumpulan tarian yang menyerikan persembahan Hari Kebangsaan selama 10 tahun, manakala Cik Nadzirah selama sembilan tahun dan Cik Nadhirah selama tujuh tahun.
Walaupun mula menyertai NDP pada tahun berbeza, ketiga-tiga beradik itu berkata mereka berkongsi semangat dan kecintaan yang sama terhadap acara tersebut meskipun perlu mengimbangi tuntutan kerja dengan latihan yang mencabar.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), ketiga-tiga beradik itu berkata mereka memilih untuk menyertai persembahan NDP pada tahun-tahun apabila jadual mereka lebih lapang daripada komitmen lain.
“Apa yang membuatkan kami terus kembali ke pentas ini bukan sekadar peluang untuk membuat persembahan, tetapi juga masa yang dapat kami luangkan bersama setiap minggu,” kata Cik Nadhirah, 26 tahun, seorang pegawai penjagaan pelajar.
Bagi Cik Sumaiyah, 27 tahun, seorang guru prasekolah, penglibatannya dalam Hari Kebangsaan bermula pada 2012 selepas didorong oleh kakak sulung mereka yang pernah menyertai acara itu sebagai seorang penari.
“Penglibatan saya bermula pada 2012 kerana didorong oleh kakak sulung. Kemudian, Nadhirah dan Nadzirah pula terdorong untuk menyertai pada tahun-tahun berikutnya,” kata anak keempat daripada enam orang beradik itu.
Sepanjang penglibatan, mereka lazimnya mempersembahkan tarian gabungan yang mengetengahkan unsur Melayu, Cina, India dan Serani.
Namun, apa yang membuatkan mereka terus kembali bukan sekadar peluang membuat persembahan di atas pentas, malah persahabatan dan semangat kekitaan yang terjalin dalam kalangan peserta.
“Sepanjang bertahun-tahun menyertai NDP, kami telah membina persahabatan rapat dengan rakan-rakan penari, termasuk peserta yang lebih berusia dan menganggap kami seperti keluarga sendiri,” kata Cik Nadzirah, 26 tahun, seorang eksekutif perkhidmatan pesakit.
Di sebalik kemeriahan persembahan, ketiga-tiga beradik itu berkata komitmen sebagai peserta NDP sambil bekerja sepenuh masa bukan sesuatu yang mudah.
Menurut mereka, latihan lazimnya diadakan setiap Sabtu, manakala sesi tambahan pada hari bekerja akan diadakan apabila tarikh persembahan semakin hampir.
Bagi mengimbangi kedua-dua komitmen, Cik Sumaiyah berkata mereka perlu bijak mengurus masa dan menyiapkan tugas kerja lebih awal atau menggunakan hari Ahad untuk menyelesaikan urusan yang tertangguh.
“Kami juga tidak hanya bergantung kepada latihan rasmi dan sering berlatih bersama di rumah nenek atau memanfaatkan masa cuti untuk mengulang langkah tarian,” tambah Cik Sumaiyah.
Antara cabaran terbesar yang pernah mereka lalui ialah menjalani latihan dan membuat persembahan ketika Ramadan.
Walaupun memenatkan dari segi fizikal dan mental, ketiga-tiga beradik berkata pengalaman itu terasa lebih ringan kerana mereka mengharunginya bersama.
Menurut mereka, penglibatan selama bertahun-tahun itu turut membuka peluang bagi mereka memperoleh pelbagai pengalaman dan meraih pencapaian tersendiri.
Pada 2022, Cik Sumaiyah menerima Anugerah Pendorong Semangat Terbaik, manakala Cik Nadzirah diberi tanggungjawab sebagai Penolong Ketua Kumpulan.
“Tanggungjawab itu bukan sahaja memberi saya pengalaman dalam memimpin peserta lain, malah membantu saya mempelajari kemahiran mengurus kumpulan dan aspek logistik yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan dan pekerjaan,” kata Cik Nadzirah.
Usaha mereka turut mendapat penghargaan daripada keluarga, rakan sekerja dan anak-anak didik, meskipun komitmen terhadap NDP pada awalnya tidak sentiasa mendapat sambutan positif daripada keluarga.
Menurut mereka, keluarga pernah meminta mereka berhenti kerana latihan untuk persembahan mengambil sebahagian besar masa hujung minggu.
Namun, komitmen terhadap acara ini bukan sentiasa mendapat sambutan positif pada awalnya.
“Bagaimanapun, mereka akhirnya terus memberi sokongan, termasuk membantu menanggung sebahagian kos dan hadir menyaksikan persembahan kami,” kata Cik Nadzirah.
Malah, minat mereka terhadap NDP turut memberi inspirasi kepada beberapa rakan dan anggota keluarga untuk mempertimbangkan menyertai persembahan Hari Kebangsaan pada masa akan datang.
Namun, bagi ketiga-tiga beradik itu, perkara paling bermakna daripada penglibatan mereka bukanlah anugerah mahupun peluang membuat persembahan di pentas besar, tetapi hubungan sesama mereka yang semakin erat.
Menurut mereka, kesibukan kerja membuat mereka tidak sentiasa berpeluang untuk berjumpa atau berbual seperti dahulu.
Justeru, latihan mingguan NDP menjadi ruang untuk mereka kembali berkumpul, bukan sahaja sebagai rakan sepersembahan, malah sebagai adik-beradik yang berkongsi minat dan pengalaman sama.
