Topik diikuti
Pergi ke BHkuWalau terpisah jarak, bapa buka saluran YouTube baca buku cerita kepada anak
Walau terpisah jarak, bapa buka saluran YouTube baca buku cerita kepada anak
Walau terpisah jarak, bapa buka saluran YouTube baca buku cerita kepada anak
Kasih sayang seorang ayah pasti akan menemui jalan ke pintu hati anak, meskipun jarak menjadi penghalang.
Sekurang-kurangnya, itulah yang diharapkan Encik Nafiz Kamarudin, yang tinggal berjauhan daripada anak-anaknya setelah bercerai dengan isterinya tahun lalu.
Meskipun perlu berpisah, beliau percaya ia bukan garisan penamat bagi perjalanannya sebagai seorang bapa.
Sebaliknya, ia mengubah caranya menzahirkan kasih sayang dan memainkan peranan dalam kehidupan mereka.
Walaupun tidak lagi berpeluang untuk membacakan buku cerita kepada kedua-dua puterinya, yang dikenali sebagai Sofia dan Sarah secara bersemuka, Encik Nafiz, 45 tahun, mengambil inisiatif untuk meneruskan rutin itu melalui media sosial.
Untuk melaksanakan demikian, Encik Nafiz membuka saluran YouTube berjudul Bedtime Stories For Sofia and Sarah untuk merakam bacaan cerita setiap tiga hari sekali dengan harapan suatu hari nanti anak-anaknya akan menonton dan merasai kehadirannya walaupun dari jauh.
“Sebelum kami berpisah, saya sering membacakan buku cerita kepada mereka. Jadi ini bukan sesuatu yang janggal untuk dilakukan,” katanya yang menjadikan pelakon Hollywood, Tom Hardy sebagai inspirasinya untuk membaca buku dalam talian buat anak-anaknya.
Sehingga kini, sebanyak 75 video telah dimuatnaikkan di saluran YouTube tersebut.
Menurutnya, beliau bukan sahaja membaca buku-buku tersebut tetapi cuba untuk menerangkan perkataan baru yang mungkin anak-anaknya belum pelajari lagi dalam videonya.
Encik Nafiz berkata pengalaman ini turut menghubungkannya kepada komuniti dalam talian, di mana beliau saling mengenali ibu bapa lain yang turut melalui cabaran serupa selepas perpisahan dan perceraian.
Menurutnya, dalam usaha mengekalkan hubungan dengan Sofia, enam tahun, dan Sarah, lima tahun, Encik Nafiz turut bertemu mereka buat sementara waktu sebelum sekolah.
“Walaupun hanya sekejap, saya masih dapat memeluk dan mencium mereka serta memberitahu bahawa saya sayangkan mereka,” katanya yang mengendalikan perniagaan dari rumah (HBB) menjual kek, B.A.D dad cakes, sejak tahun lalu.
Beliau akui bahawa detik-detik itu menjadi antara sumber kekuatan untuk terus berusaha.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), beliau berkongsi pelbagai kenangan manis bersama anak-anaknya.
Mereka sering mengisi masa dengan aktiviti seni seperti melukis dan mewarna, selain berbasikal, berenang, mengunjungi taman permainan dan meluangkan masa bersama keluarga.
Malah, membaca buku cerita sebelum tidur merupakan antara rutin yang paling dekat di hati mereka sekeluarga.
Di sebalik cabaran yang dihadapi, beliau terus membina semula kehidupannya melalui perniagaan kek dari rumah yang diusahakan sendiri.
“Minat terhadap dunia pembuatan kek bermula sejak usia remaja apabila saya membantu ibu menghasilkan kek perkahwinan dan sambutan hari lahir, khususnya dalam aspek hiasan yang memerlukan sentuhan seni,” katanya.
Selepas berkhidmat sebagai anggota tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) selama enam tahun dan kemudian bekerja sebagai jurulatih pertolongan cemas, beliau meninggalkan bidang tersebut untuk kembali menumpukan perhatian kepada minat lamanya.
Kini, beliau menghasilkan kek hari jadi, kek perkahwinan dan bekerjasama dengan beberapa perancang majlis.
Menurut Encik Nafiz, kembali kepada bidang bakeri merupakan satu hikmah yang tidak disangka-sangka kerana ia memberinya fleksibiliti untuk mengurus masa dan meneruskan usaha mengekalkan hubungan dengan anak-anaknya.
Perjalanan hidup yang dilaluinya sejak kebelakangan ini turut memberi kesan emosi yang mendalam.
Namun, beliau tetap berpegang kepada harapan bahawa suatu hari nanti beliau dapat kembali memainkan peranan yang lebih besar dalam kehidupan anak-anaknya.
“Bagi saya, menjadi seorang ayah bukan sekadar tentang kehadiran fizikal, tetapi juga tentang usaha yang berterusan untuk menunjukkan kasih sayang, walau dalam apa jua keadaan,” tambahnya.
