Kritikan sememangnya lumrah dalam dunia lakonan, namun bagi personaliti tempatan Zhin Sadali, kata-kata tersebut lebih menyakitkan apabila datang daripada individu yang turut bergiat dalam industri sama.

Membawa watak ‘Leftenan Hakimi’, seorang Komander Rota dalam filem terbaharu arahan Jack Neo, Ah Boys To Firefighters, Zhin mengakui menerima kritikan susulan pengumuman barisan pelakon, khususnya mengenai pemilihan dan penampilan fizikalnya.

“Terdapat beberapa komen tentang penampilan fizikal saya. Saya cakap kepada diri sendiri, ‘Saya akan berikan tumpuan kepada apa yang boleh diperbaiki.’

“Jadi selama dua bulan, saya makan secara bersih, berhenti makan makanan yang berkarbohidrat, dan pergi ke gimnasium pada selang hari untuk pastikan saya sesuai dengan watak tersebut,” kata Zhin, 33 tahun, kepada Berita Harian (BH).

Pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Yes Captain! itu menjelaskan bahawa setiap calon perlu melalui beberapa peringkat uji bakat sebelum dipilih berdasarkan kesesuaian dengan watak dalam skrip.

“Saya harap penonton dapat memberikan peluang kepada pelakon baharu untuk membuktikan kemampuan mereka dan jangan membuat penilaian terlalu awal hanya berdasarkan penampilan atau latar belakang masing-masing,” luahnya.

Sebelum ini, Jack Neo membuka sesi uji bakat kepada orang ramai dengan meminta pemohon memuat naik video lakonan berdurasi 30 saat hingga seminit di media sosial berdasarkan salah satu daripada empat babak yang ditetapkan.

Namun, pengumuman barisan pelakon bagi filem itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet, termasuk dakwaan bahawa pemilihannya seolah-olah mengulangi formula siri filem Ah Boys To Men.

Produksi itu turut menjadi perhatian apabila pelakon Kiki Darling, atau nama sebenarnya Hari Kishen Balakrishnan, digugurkan selepas sabitan kesalahan serangan seksual pada 2021 kembali diperkatakan di media sosial.

Bagi mempersiapkan diri untuk wataknya, Zhin berkata beliau mengambil inisiatif mendalami tugas anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), termasuk mendapatkan pandangan seorang rakannya yang berpangkat mejar dalam pasukan itu bagi memastikan lakonannya meyakinkan.

Walaupun tidak pernah berkhidmat dengan SCDF ketika menjalani Perkhidmatan Negara (NS), hos Manja itu melakukan kajian sendiri dan menyertai program latihan SCDF selama seminggu bersama pelakon lain sebagai persiapan penggambaran.

“Membawa watak ini merupakan peluang besar untuk representasi Melayu dalam filem berbahasa Mandarin,” katanya, yang tidak menyangka akan terpilih membawakan watak Hakimi.

Antara pelakon filem ‘Ah Boys To Firefighters’ ialah (dari kiri) Zhin Sadali, Noah Yap, Tosh Zhang dan Maxi Lim, bersama pengarahnya, Jack Neo (tengah).
Antara pelakon filem ‘Ah Boys To Firefighters’ ialah (dari kiri) Zhin Sadali, Noah Yap, Tosh Zhang dan Maxi Lim, bersama pengarahnya, Jack Neo (tengah). - Foto J TEAM PRODUCTIONS

Selain Zhin, personaliti tempatan, Iskandar Shah Zulkifli, atau lebih dikenali sebagai Iskandar Shah, turut membintangi filem itu sebagai ‘Pegawai Waran 1 Md Fauzie’.

“Selepas merenung kembali perjalanan saya dalam industri selama 10 tahun, saya mengambil keputusan untuk mencuba nasib dalam filem ini sebab menyedari saya masih belum pernah membintangi filem cereka,” terang Iskandar, yang juga 33 tahun.

Berkongsi tentang pengalamannya, Iskandar berkata beliau menghargai pendekatan pengarahan Jack Neo yang memberinya ruang untuk mengembangkan watak secara semula jadi sepanjang penggambaran.

Dalam filem itu, Fauzie digambarkan sebagai anggota bomba berpengalaman yang memainkan peranan penting dalam kalangan anggota kanan, selain banyak berinteraksi dengan watak lakonan Zhin dan Tosh Zhang.

Seperti Zhin, Iskandar turut menjalani latihan berkaitan tugas anggota SCDF sebelum dan sepanjang penggambaran.

Iskandar Shah (paling dekat) bersama pelakon lain menjalani latihan intensif Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sebagai persiapan untuk menjayakan filem ‘Ah Boys To Firefighters’.
Iskandar Shah (paling dekat) bersama pelakon lain menjalani latihan intensif Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sebagai persiapan untuk menjayakan filem ‘Ah Boys To Firefighters’. - Foto ihsan ISKANDAR SHAH

Antaranya termasuk memakai peralatan perlindungan berat bersama tangki oksigen ketika berjalan di atas mesin senaman, menaiki tangga dan menjalani latihan menyelamat.

“Pengalaman ini meningkatkan rasa hormat saya terhadap anggota bomba sebenar yang perlu berdepan tuntutan fizikal sedemikian dalam situasi kecemasan.

“Sepanjang penggambaran, barisan pelakon juga terpaksa memakai pakaian perlindungan itu selama beberapa jam dengan waktu rehat yang terhad,” tambahnya.

Mengulas kritikan warganet, Iskandar berkata ia turut memberikan kesan kepada pempengaruh tempatan, Luqmaan Hakiim, yang membawakan watak utama ‘Hassan’.

Beliau menyifatkan Luqmaan sebagai seorang yang pendiam, rajin dan bersungguh-sungguh mahu berjaya dalam bidang lakonan.

“Saya harap pelakon baharu sepertinya boleh menerima kritikan sebagai ruang untuk belajar dan memperbaiki diri,” kongsinya.

Menyentuh persoalan representasi Melayu, Iskandar memahami hasrat sesetengah penonton untuk melihat lebih banyak watak Melayu diketengahkan dalam filem itu.

“Filem berkenaan diterbitkan dan dibiayai terutamanya oleh pembikin filem berbangsa Cina, justeru jalan ceritanya secara semula jadi mencerminkan perspektif mereka.

“Tapi, ia tidak bermaksud SCDF digambarkan sebagai sebuah pasukan yang dimiliki oleh masyarakat Cina, sebaliknya kisah tersebut disampaikan menerusi sudut pandang pembikin filem berkenaan,” jelasnya.

Di sebalik perdebatan mengenai pemilihan pelakon, Iskandar berkata pengalaman menghabiskan masa berbulan-bulan bersama sepanjang penggambaran telah merapatkan hubungan mereka tanpa mengira kaum dan budaya.

“Kami bukan sahaja berkongsi pengalaman di set, malah turut saling mengajar bahasa Melayu dan Mandarin, serta mengenali budaya masing-masing,” katanya, yang mengakui bahawa ini merupakan filem pertama lakonannya.

Beliau berharap penonton bukan sahaja tertarik dengan aksi dan cabaran tugas anggota bomba yang dipaparkan, malah dapat merasakan keakraban serta keserasian yang terjalin antara barisan pelakon Ah Boys To Firefighters.

Filem itu, yang turut dibintangi Nur Alya Roziz, Noah Yap, Tosh Zhang dan Maxi Lim, dijadualkan ditayangkan sempena Tahun Baharu Cina 2027.