Topik diikuti
Pergi ke BHkuZhin Sadali, Iskandar Shah tepis bahang kritikan, sahut cabaran filem ‘Ah Boys To Firefighters’
Zhin Sadali, Iskandar Shah tepis bahang kritikan, sahut cabaran filem ‘Ah Boys To Firefighters’
Ingin bukti kemampuan bakat baharu dengan jalani latihan intensif SCDF, amal gaya hidup sihat demi tuntutan watak
Zhin Sadali, Iskandar Shah tepis bahang kritikan, sahut cabaran filem ‘Ah Boys To Firefighters’
Kritikan sememangnya lumrah dalam dunia lakonan, namun bagi personaliti tempatan Zhin Sadali, kata-kata tersebut lebih menyakitkan apabila datang daripada individu yang turut bergiat dalam industri sama.
Membawa watak ‘Leftenan Hakimi’, seorang Komander Rota dalam filem terbaharu arahan Jack Neo, Ah Boys To Firefighters, Zhin mengakui menerima kritikan susulan pengumuman barisan pelakon, khususnya mengenai pemilihan dan penampilan fizikalnya.
“Terdapat beberapa komen tentang penampilan fizikal saya.
“Saya cakap kepada diri sendiri bahawa saya akan berikan tumpuan kepada apa yang boleh dibaiki.’
“Jadi selama dua bulan, saya mengamalkan pemakanan sihat, berhenti makan makanan yang berkarbohidrat, dan pergi ke gimnasium setiap dua hari sekali bagi memastikan fizikal saya menepati tuntutan watak tersebut,” kata Zhin, 33 tahun, kepada Berita Harian (BH).
Pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Yes Captain! itu menjelaskan bahawa setiap calon perlu melalui beberapa peringkat uji bakat sebelum dipilih berdasarkan kesesuaian dengan watak dalam skrip.
“Saya harap penonton dapat memberikan peluang kepada pelakon baharu untuk membuktikan kemampuan mereka dan tidak membuat penilaian terlalu awal hanya berdasarkan penampilan atau latar belakang masing-masing,” luahnya.
Sebelum ini, Neo membuka sesi uji bakat kepada orang ramai dengan meminta pemohon memuat naik video lakonan sepanjang 30 saat hingga seminit di media sosial, berdasarkan salah satu daripada empat babak yang diberikan.
Namun, pengumuman barisan pelakon bagi filem itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan warga siber, termasuk dakwaan bahawa pemilihannya seolah-olah mengulangi formula siri filem, Ah Boys To Men.
Produksi itu turut menjadi perhatian apabila pelakon Kiki Darling, atau nama sebenarnya Hari Kishen Balakrishnan, digugurkan selepas sabitan kesalahan serangan seksual pada 2021 kembali diperkatakan di media sosial.
Bagi mempersiapkan diri untuk wataknya, Zhin berkata beliau mengambil inisiatif mendalami tugas anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), termasuk mendapatkan pandangan seorang rakannya yang berpangkat mejar dalam pasukan itu bagi memastikan lakonannya meyakinkan.
Walaupun tidak pernah berkhidmat dengan SCDF ketika menjalani Perkhidmatan Negara (NS), hos Manja itu melakukan kajian sendiri dan menyertai program latihan SCDF selama seminggu, bersama pelakon lain sebagai persiapan penggambaran.
“Membawa watak ini merupakan peluang besar untuk mewakili pelakon Melayu dalam filem berbahasa Mandarin,” katanya, yang tidak menyangka akan terpilih membawakan watak Hakimi.
Selain Zhin, personaliti tempatan, Iskandar Shah Zulkifli, atau lebih dikenali sebagai Iskandar Shah, turut membintangi filem itu sebagai ‘Pegawai Waran 1 Md Fauzie’.
“Selepas merenung kembali perjalanan saya dalam industri selama 10 tahun, saya mengambil keputusan untuk mencuba nasib dalam filem ini sebab menyedari saya masih belum pernah membintangi filem cereka,” terang Iskandar, yang juga berusia 33 tahun.
Berkongsi tentang pengalamannya, Iskandar berkata beliau menghargai pendekatan pengarahan Neo yang memberinya ruang untuk mengembangkan watak secara semula jadi sepanjang penggambaran.
Dalam filem itu, Fauzie membawa watak anggota bomba berpengalaman yang memainkan peranan penting dalam pasukan anggota kanan, serta sering berinteraksi dengan watak yang dilakonkan Zhin dan Tosh Zhang.
Seperti Zhin, Iskandar turut menjalani latihan berkaitan tugas anggota SCDF sebelum dan sepanjang penggambaran.
Antaranya termasuk memakai peralatan perlindungan berat bersama tangki oksigen ketika berjalan di atas mesin senaman, menaiki tangga dan menjalani latihan menyelamat.
“Pengalaman ini meningkatkan rasa hormat saya terhadap anggota bomba sebenar yang perlu berdepan tuntutan fizikal sedemikian dalam keadaan kecemasan.
“Sepanjang penggambaran, barisan pelakon juga terpaksa memakai pakaian perlindungan itu selama beberapa jam dengan waktu rehat yang terhad,” tambahnya.
Mengulas kritikan warga siber, Iskandar berkata ia turut memberikan kesan kepada pempengaruh tempatan, Luqmaan Hakiim, yang membawakan watak utama ‘Hassan’.
Beliau menyifatkan Luqmaan sebagai seorang yang pendiam, rajin dan bersungguh-sungguh mahu berjaya dalam bidang lakonan.
“Saya harap pelakon baharu sepertinya boleh menerima kritikan sebagai ruang untuk belajar dan membaiki diri,” kongsinya.
Menyentuh persoalan mewakili pelakon Melayu, Iskandar memahami hasrat sesetengah penonton untuk melihat lebih banyak watak Melayu diketengahkan dalam filem itu.
“Filem berkenaan diterbitkan dan dibiayai oleh pembikin filem berbangsa Cina, justeru jalan ceritanya secara semula jadi mencerminkan perspektif mereka.
“Tapi, ia tidak bermaksud SCDF digambarkan sebagai sebuah pasukan yang dimiliki oleh masyarakat Cina, sebaliknya kisah tersebut disampaikan menerusi sudut pandang pembikin filem tersebut,” jelasnya.
Di sebalik perdebatan mengenai pemilihan pelakon, Iskandar berkata pengalaman menghabiskan masa berbulan-bulan bersama sepanjang penggambaran telah merapatkan hubungan antara mereka.
“Kami bukan sahaja berkongsi pengalaman di set, malah turut saling mengajar bahasa Melayu dan Mandarin, serta mengenali budaya masing-masing,” katanya mengenai filem pertama lakonannya itu.
Beliau berharap penonton bukan sahaja tertarik dengan aksi dan cabaran tugas anggota bomba yang dipaparkan, malah dapat rasakan keakraban serta keserasian yang terjalin antara barisan pelakon Ah Boys To Firefighters.
Filem itu, yang turut dibintangi Nur Alya Roziz, Noah Yap, Zhang dan Maxi Lim, akan ditayangkan sempena Tahun Baharu Cina 2027.