Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

14% terumbu karang dunia terhapus dek pemanasan global

Oct 18, 2021 | 5:30 AM
TERANCAM: Kegiatan manusia dan pencemaran alam telah menyebabkan sebahagian terumbu karang dunia terhapus. - Foto REUTERS
TERANCAM: Kegiatan manusia dan pencemaran alam telah menyebabkan sebahagian terumbu karang dunia terhapus. - Foto REUTERS -

PARIS: Penangkapan ikan menggunakan dinamit dan pencemaran - lebih tepat lagi pemanasan sejagat - telah menghapuskan 14 peratus terumbu karang dunia dari 2009 hingga 2018, menurut tinjauan kesihatan terumbu karang terbesar pernah dilakukan.

Paling teruk terjejas ialah terumbu karang di Asia Selatan dan Pasifik, sekitar Semenanjung Arab, dan di luar pantai Australia, lapor lebih 300 saintis di Rangkaian Pemantauan Terumbu Karang Antarabangsa.

"Perubahan iklim merupakan ancaman terbesar kepada terumbu karang dunia," kata ketua eksekutif Institut Sains Marin Australia Paul Hardisty, dalam satu kenyataan.

Laut menyerap lebih 90 peratus lebihan haba daripada pelepasan gas rumah hijau, melindungi permukaan tanah tetapi pada masa yang sama menghasilkan gelombang panas laut yang besar yang menguji had toleransi banyak spesies karang.

Terumbu karang hanya meliputi 0.2 peratus dasar laut, namun ia merupakan habitat kepada sekurang-kurangnya suku semua haiwan dan tumbuhan laut.

Selain merupakan 'orang kuat' ekosistem laut, terumbu karang juga menyediakan protein, pekerjaan dan perlindungan dari ribut dan hakisan pantai untuk ratusan juta orang di seluruh dunia.

Nilai barang dan perkhidmatan dari terumbu karang adalah sekitar AS$2.7 trilion ($3.7 trilion) setahun, termasuk pelancongan yang dianggarkan bernilai AS$36 bilion, menurut laporan itu.

Penghapusan terumbu karang dari 2009 hingga 2018 berbeza bagi setiap kawasan, berkisar antara 5 peratus di Asia Timur hingga 95 peratus di Pasifik tropika timur.

"Sejak 2009 kita kehilangan lebih banyak karang di seluruh dunia daripada semua karang hidup di Australia," kata pengarah eksekutif Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), Inger Anderson.

Panel penasihat sains iklim PBB, Panel Antara Pemerintah mengenai Perubahan Iklim, menjangkakan dengan "keyakinan tinggi" bahawa pemanasan global sebanyak 1.5 darjah Celsius melebihi tahap pra-perindustrian akan mengakibatkan 70 hingga 90 peratus daripada semua karang hilang.

Pun begitu, laporan tersebut yang berjudul 'Status Terumbu Karang Dunia: 2020' mengemukakan beberapa sebab orang ramai masih boleh menaruh harapan.

"Beberapa terumbu telah menunjukkan kemampuan luar biasa untuk bangkit kembali, yang menawarkan harapan untuk pemulihan terumbu karang pada masa depan," kata Dr Hardisty.

Coral Triangle di Asia Tenggara dan Asia Timur yang mengandungi hampir 30 peratus terumbu karang dunia tidak begitu teruk terjejas oleh air laut yang semakin panas dalam dekad kebelakangan ini, malah terdapat beberapa kawasan yang menunjukkan pemulihan.

Daya tahan ini mungkin disebabkan spesies unik di rantau ini yang berpotensi menawarkan strategi untuk meningkatkan pertumbuhan karang di tempat lain, jelas laporan tersebut. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg