Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Apabila pembantu rumah bercuti... Ada jadi guru dan jurulatih

Ajar kemahiran renang, guna program komputer, ajar bahasa Inggeris secara percuma
Jun 20, 2022 | 05:30 AM



Menjelang hujung tahun ini, majikan perlu memberi pembantu rumah sekurang-kurangnya satu hari rehat mandatori setiap bulan. BERITA HARIAN mewawancara beberapa pembantu rumah tentang cara mereka meluangkan hari cuti mereka. 



CITA-CITA Cik Nur Aini sejak kecil adalah untuk menjadi seorang guru tetapi impian itu terpaksa dilupakan setelah beliau terlepas tempoh pendaftaran untuk memasuki sekolah perguruan.



Namun minat itu begitu mendalam pada dirinya, sehinggakan walaupun Cik Nur Aini, 40 tahun, kini seorang pembantu rumah di Singapura, beliau masih dapat mengajar dan mempunyai ratusan pelajar.



Sepanjang 21 tahun di sini, wanita asal Semarang, Indonesia itu telah mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris, kemahiran komputer, berenang dan cara menyunting foto dan video.



Ibu tunggal seorang anak lelaki berusia 22 tahun itu mengajar pada satu-satu hari cutinya, iaitu pada setiap Ahad.



Beliau turut menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran pada hari biasa setelah selesai tugas hariannya.



Cik Nur Aini telah bekerja sebagai pembantu rumah di Singapura sejak 2001, dan telah berkhidmat kepada tiga majikan.



Beliau ke sini tanpa tahu bertutur dalam bahasa Inggeris pun dan belajar sedikit-sedikit daripada majikannya dan anak-anak mereka yang masih kecil.



Pada 2008, beliau belajar bahasa Inggeris asas dan kemahiran komputer asas di Sekolah Amerika, yang dibiayai majikannya kini.



Setelah menyertai Aidha, badan tidak meraih keuntungan yang menawarkan kursus pengurusan wang dan keusahawanan untuk pembantu rumah di Singapura, pada 2011, beliau mengikuti pula kursus lain seperti pengurusan perniagaan, fotografi dan menyunting gambar dan video.



Namun Cik Nur Aini hanya mula mengajar pada Mac 2020 setelah kegiatan di Aidha dihentikan akibat pandemik Covid-19.



"Tiga orang teman saya meminta saya mengajar mereka bahasa Inggeris, apa sahaja yang saya boleh ajar, kerana mereka tahu yang saya pernah menjadi relawan di Aidha selama 10 tahun," katanya.



Bilangan pelajar Cik Nur Aini meningkat dari tiga ke 10 pada hujung 2020 dan beliau mengajar dalam kumpulan kecil di bilik majlis yang disewa di sebuah kondominium.



Kini beliau mempunyai lebih 100 pelajar yang belajar bahasa Inggeris dengannya, dan kelasnya diadakan di dalam talian melalui panggilan video WhatsApp dan secara fizikal di Pusat bagi Pekerja Domestik (CDE) di Pasir Panjang.



Kelas itu ditawarkan secara percuma dan Cik Nur Aini juga tidak menerima sebarang pembayaran di atas khidmatnya.



"Kelas saya memberi tumpuan kepada tatabahasa dan kemahiran kepimpinan. Saya beri tugasan membuat penyampaian di dalam kelas, dan mengajar cara berpidato. Ini bagi membolehkan pelajar belajar bercakap bahasa Inggeris dengan lebih yakin.



"Tetapi pembelajaran bagi kumpulan pelajar itu tidak berakhir selepas tiga atau enam bulan.



"Setelah selesai mengikuti kelas, saya akan pilih seorang pelajar untuk menjadi ketua dan membimbing kumpulan itu untuk terus belajar lagi dengan sendirinya.



"Ketua itu akan mengajar rakan-rakannya, dan jika mereka tidak tahu solusinya, baru ketua itu akan bertanya kepada saya," kata Cik Nur Aini yang sejauh ini telah mengajar tiga pusingan kelas fizikal dan tiga pusingan kelas dalam talian.



Kelas kemahiran komputernya pula dijalankan di ruang-ruang awam di perpustakaan.



Setiap pelajarnya membawa komputer riba sendiri dan beliau mengajar cara menggunakan program percuma seperti Google Docs dan Google Sheets.



Walaupun kemahiran itu mungkin tidak diperlukan sebagai pembantu rumah di sini, Cik Nur Aini berkata ia akan berguna apabila mereka pulang ke kampung kelak dan membuka perniagaan sendiri.



Malah beliau sendiri mempunyai rancangan besar untuk membuka sekolah di Semarang apabila berhenti bekerja sebagai pembantu rumah kelak dan mengajar dengan menggunakan bahan pembelajaran yang beliau hasilkan.



Ditanya bagaimana beliau mencari masa untuk menghasilkan bahan pembelajaran untuk pelajarnya, Cik Nur Aini berkata beliau membuatnya setelah habis kerja sekitar 9 malam.



Beliau bekerja setiap Isnin hingga Sabtu dari 8 pagi hingga 9 malam, dan tugasnya termasuk membersihkan rumah dan memasak untuk majikannya, pasangan suami isteri India, yang telah menggajikannya selama 14 tahun.



Dua anak majikannya menuntut di luar negara.



Jika tidak mengajar atau meraih kemahiran baru, Cik Nur Aini meluangkan masa dengan anggota Kelab Persahabatan Indonesia yang beliau tubuhkan dan kini mempuyai sekitar 300 anggota yang kesemuanya pernah belajar dengannya.



Mereka akan beriadah bersama-sama seperti ke Esplanade atau Marina Bay.



Diminta pandangannya tentang peraturan yang menghendaki majikan memberi sekurang-kurangnya satu hari cuti mandatori sebulan kepada pembantu rumah, Cik Nur Aini berkata:



"Peraturan ini bagus kerana mungkin ada pembantu rumah yang menjadi mangsa penganiayaan.



"Jadi kalau diberi kesempatan keluar, mereka boleh melaporkan keadaan mereka, dan meluahkan perasaan.



"Tetapi sebelum pembantu rumah itu menemui teman-teman yang kurang baik di luar sana, lebih baik mereka dimasukkan ke sekolah atau program, supaya teman-teman mereka dari segi positif juga," tambahnya.




"Kelas saya memberi tumpuan kepada tatabahasa dan kemahiran kepimpinan. Saya beri tugasan membuat penyampaian di dalam kelas, dan mengajar cara berpidato. Ini bagi membolehkan pelajar belajar bercakap bahasa Inggeris dengan lebih yakin.



Tetapi pembelajaran bagi kumpulan pelajar itu tidak berakhir selepas tiga atau enam bulan. Setelah selesai mengikuti kelas, saya akan pilih seorang pelajar untuk menjadi ketua dan membimbing kumpulan itu untuk terus belajar lagi dengan sendirinya.



Ketua itu akan mengajar rakan-rakannya, dan jika mereka tidak tahu solusinya, baru ketua itu akan bertanya kepada saya."
- Cik Nur Aini, mengajar bahasa Inggeris, kemahiran komputer, berenang dan cara menyunting foto dan video. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >