Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SEMPENA 20 TAHUN SERANGAN PENGGANAS 9/11

Ancaman pengganasan kian meluas, berlaku di merata dunia

Sep 12, 2021 | 05:30 AM



ANCAMAN pengganasan kini berlaku pada peringkat sejagat, semakin meluas di banyak tempat selain tahap bahayanya tidak merosot selepas serangan pengganas di Amerika Syarikat pada 11 September 2001 (9/11).



Malah, di beberapa tempat, pengganasan menjadi semakin buruk. Ini termasuk pembentukan kumpulan pengganas lain, dengan paling serius ancamannya adalah kumpulan ISIS.



Demikian penilaian Profesor Madya Bilveer Singh, Timbalan Ketua Jabatan Sains Politik, Universiti Nasional Singapura (NUS), mengenai pengganasan pasca 9/11 kepada Berita Minggu (BM).



Beliau berkata beberapa pelajaran penting selepas 9/11 termasuk pengganasan harus dilihat dalam perspektif sejagat.



"Pengganasan sudah menjadi trend di peringkat sejagat dan ia berlaku di merata dunia, bukan hanya di satu negara atau satu rantau.



"Adanya pengganasan, misalnya, di Timur Tengah bermakna ancaman bukan hanya terdapat di situ bahkan ada di negara dan rantau lain.



"Kini sudah ada banyak jaringan pengganasan yang berasaskan jaringan masyarakat tertentu atau ummah, dengan ancaman pengganasan bukan lagi merupakan isu domestik atau serantau," jelasnya yang juga Adjung Zamil Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).



Justeru, katanya, penilaian ancaman pengganasan tidak boleh lagi dilakukan seperti sebelum 9/11.



Tiada satu negara yang boleh memerangi pengganasan secara sendirian, sebaliknya negara memerlukan sokongan dan kerjasama satu sama lain.



"Namun cabaran besar adalah sebilangan negara sukar bekerjasama dari aspek keselamatan dan maklumat risikan.



"Ini termasuk kerjasama perisikan, undang-undang, imigresen dan banyak lagi, akibatnya banyak negara selalu satu langkah terkebelakang dalam memerangi dan mencegah pengganasan.



"Satu hikmah 9/11 adalah ia mendorong atau memaksa banyak negara untuk bekerjasama," ujarnya kepada BM.



Mengenai perkembangan utama selepas 9/11, Profesor Bilveer berkata usaha memerangi pengganasan diketuai adikuasa Amerika, mangsa utama 9/11. Banyak negara, sama ada mereka mahu atau tidak, perlu atau terpaksa menyertainya.



Namun, ini juga menimbulkan tindak balas, khususnya di negara majoriti penduduk Muslim, dengan sebilangan rakyat mereka menuduh pemerintah mereka bersekongkol dengan Amerika, satu kuasa Barat.



Tindak balas itu juga menyebabkan sebilangan orang lebih mudah ditarik menyertai kumpulan pengganas yang kemudiannya melakukan serangan terhadap sasaran Barat di negara mereka.



Namun paling membimbangkan, kata Profesor Bilveer, adalah selepas 9/11, terdapat lebih banyak kumpulan pengganas ditemui, atau muncul, seperti Jemaah Islamiyah (JI) di rantau Asia Tenggara, dan ISIS yang berpusat di Iraq dan Syria namun mempunyai banyak 'cabang dan sokongan' di serata dunia.



"Pada 10 tahun pertama selepas 9/11, Amerika menakluk Iraq dan Afghanistan. Ini sekadar melemahkan Al-Qaeda, tetapi tidak menghapuskannya.



"Kumpulan itu kemudian menjadi gerakan bawah tanah sambil memperkuatkan diri mereka.



"Dan kerana ketidakfahaman Amerika dalam melakukan penaklukan tanpa rancangan jelas, maka terlahir kumpulan pengganas ISIS yang kuat di Iraq dan Syria," kongsinya.



Walaupun ISIS dapat ditewaskan di situ, namun kumpulan penyokongnya telah terbentuk dan merebak di merata dunia.



"Apa yang boleh dikatakan adalah tindakan Amerika dan kuasa Barat lain bukan hanya tidak produktif, bahkan telah 'membantu' melahirkan kumpulan pengganas di merata dunia yang menimbulkan ancaman lebih besar dan serius berbanding sebelum 9/11," rumusnya.




"Tiada satu negara yang boleh memerangi pengganasan secara sendirian, sebaliknya negara memerlukan sokongan dan kerjasama satu sama lain. Namun cabaran besar adalah sebilangan negara sukar bekerjasama dari aspek keselamatan dan maklumat risikan. Ini termasuk kerjasama perisikan, undang-undang, imigresen dan banyak lagi, akibatnya banyak negara selalu satu langkah terkebelakang dalam memerangi dan mencegah pengganasan."
- Profesor Madya Bilveer Singh, Timbalan Ketua Jabatan Sains Politik, Universiti Nasional Singapura (NUS).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >