Apabila nadi dagang dunia, Terusan Suez, disekat...
KAHIRAH: Pelbagai barangan - seperti dalam gua daripada kisah popular Aladdin - daripada perabot IKEA hinggalah kepada puluhan ribu haiwan ternakan, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas maritim akibat halangan di Terusan Suez.
Lebih 360 kapal terkandas di Laut Mediterranean arah ke utara dan Laut Merah di hujung selatan di samping di zon menunggu sejak kapal kontena gergasi, MV Ever Given, tersadai di Terusan Suez pada 23 Mac lalu.
Terusan itu adalah antara nadi perdagangan dunia.
IKEA yang merupakan syarikat Sweden menyatakan pihaknya mempunyai 110 kontena di atas kapal Ever Given yang terkandas dan beberapa kapal lain yang terperangkap di zon tersebut.
"Halangan di Terusan Suez meningkatkan lagi kesukaran kepada rangkaian bekalan global yang mencabar semasa musim pandemik," kata seorang jurucakap IKEA.
Konglomerat Van Rees Group yang beribu pejabat di Rotterdam memberitahu, 80 kontena berisi teh terperangkap di laut di atas 15 kapal dekat terusan itu.
Pakar-pakar industri menganggarkan nilai keseluruhan barang-barang yang kini terkandas di laut adalah antara AS$3 bilion ($1.1 bilion) hingga AS$9.6 bilion.
Selain barangan, kira-kira 130,000 ekor haiwan ternakan di atas 11 kapal yang dihantar dari Romania turut terperangkap
"Kebimbangan terbesar saya adalah haiwan ini kehabisan makanan dan air serta terperangkap di atas kapal-kapal. Semua haiwan ini tidak dapat diturunkan ke tempat lain kerana masalah dokumentasi," kata aktivis kebajikan Gerit Weidinger
NADI DAGANGAN DUNIA
Terusan Suez yang menghubungkan laluan dari Laut Mediterranean ke Laut Merah sepanjang 193.30 kilometer (km) dan sedalam 25 meter menjadi perhatian antarabangsa setelah sebuah kapal kontena Ever Given menghalang laluan perdagangan dunia.
Kerja-kerja bagi mengalihkan kapal itu kemudian bermula selepas Ever Given sepanjang 400 meter iaitu lebih panjang daripada Menara Eiffel di Paris, Perancis, dan selebar 59 meter merintangi terusan tersebut disebabkan oleh fenomena alam iaitu ribut debu.
MV Ever Given akhirnya berjaya diapungkan semula dan Terusan Suez dibuka kembali untuk lalu lintas pada Isnin, 29 Mac.
Ia sekali gus memberi kelegaan selepas hampir seminggu kapal kontena besar itu tersangkut dan menyekat nadi utama perdagangan global berkenaan.
Kru kapal tunda membunyikan hon bagi meraikan kejayaan itu selepas kapal besar milik Jepun sepanjang lebih empat padang bola itu dilepaskan sepenuhnya dari tebing pasir Suez.
Harga minyak dunia reda dengan berita pembukaan semula jalan air menjadi laluan kepada lebih 10 peratus dagangan dunia.
Dalam beberapa jam sebelum kapal itu beralih, kira-kira 425 kapal tersekat di laluan itu.
Syarikat data maritim, Lloyd's List, berkata halangan di terusan itu menjejaskan kira-kira AS$9.6 bilion nilai kargo setiap hari antara Asia dan Eropah.
Terusan Suez yang dikorek lebih 150 tahun lalu, adalah antara laluan perdagangan paling penting di dunia.
Hampir 19,000 kapal menggunakan laluan itu sepanjang tahun lalu dan membawa kargo lebih satu bilion tan, menurut Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA).
Menurut Pihak Berkuasa Terusan Suez, secara purata lebih 50 kapal melaluinya pada setiap hari.
Pengendali kapal kargo itu, Evergreen Marine Corp. yang berpangkalan di Taiwan menyatakan kapal itu merentangi terusan tersebut semasa dalam pelayaran ke pelabuhan Rotterdam, Belanda, sebelum disyaki terkandas akibat tiupan angin kencang.
Ini adalah kerana ribut debu telah melanda kebanyakan negara di Asia Barat minggu lalu.
Kapal kargo Ever Given itu yang seberat 200,000 tan merentangi terusan tersebut turut mengakibatkan pelayaran berpuluh-puluh kapal lain terjejas.
RANTAIAN ANTARABANGSA
Banyak kapal yang menghantar minyak mentah yang mahu menyeberangi Lautan Atlantik ke Lautan Hindi menggunakan terusan itu bagi memendekkan pelayaran tetapi perlu membayar tol dengan harga tinggi.
Kapal kargo itu didaftarkan di Panama belayar dari China dan pernah singgah di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, dan dijadualkan tiba di Pelabuhan Rotterdam pada 1 April ini.
Portal BBC melaporkan apa yang penting ialah ia merupakan laluan untuk penghantaran minyak dan gas asli dari Asia Barat ke Eropah.
Ia juga menyebabkan harga minyak mentah Brent naik 6.1 peratus kepada AS$64.46 satu tong minggu lalu ekoran kapal tersebut merintangi terusan itu.
Kapal-kapal tangki dan kontena membawa apa sahaja barangan sama ada minyak mentah dan prodok-produk minyak yang sudah ditapis sehingga barang-barang elektronik serta alat mainan di terusan itu.
Mesir memperoleh kutipan sebanyak AS$5.61 bilion dalam bayaran tol di terusan tersebut pada 2020.
Pakar sejarah maritim, Dr Sal Mercogliano, dari Amerika Syarikat dilaporkan berkata kepada BBC bahawa kejadian kapal kargo itu merentangi terusan jarang berlaku tetapi ia memberi kesan besar terhadap perdagangan dunia.
Alternatif laluan perkapalan lain yang boleh digunakan ialah melalui Tanjung Harapan di selatan Afrika yang akan mengambil masa pelayaran lebih lama berbanding jika melalui terusan itu. - Agensi berita.

