Ibu bapa mana yang tidak gembira melihat anak mereka makan dengan penuh berselera.
Bagi saya, kegembiraan melihat anak saya duduk di meja makan dan menyuap makanan ke mulut dengan selera – kadangkala sehingga tambah dua tiga kali – memang sesuatu yang memberikan kepuasan.
Tentu sekali ini bukan sesuatu yang berlaku setiap hari.
Kanak-kanak biasanya makan pun ikut ‘mood’ – kadangkala nak makan banyak, kadangkala sebahagian sahaja makanan yang disediakan atas pinggan habis dimakan.
Namun bagi sesetengah ibu bapa, tabiat makan anak-anak mereka menjadi keprihatinan utama.
Apabila anak salah seorang kenalan saya enggan makan makanan pepejal seperti nasi dan biskut dan hanya memilih puri atau makanan lembut pada usia dua tahun, beliau semakin bimbang.
Beliau akhirnya memutuskan untuk berkongsi keprihatinan tersebut dengan doktor dan diminta untuk menjalani pemeriksaan di hospital.
Menurut doktor, masalah pemakanan dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat di Singapura.
Klinik pemakanan dan nutrien di Hospital Universiti Nasional (NUH) menyaksikan peningkatan sekitar 300 hingga 400 dalam jumlah pesakit baru setiap tahun dalam tempoh lima tahun lalu.
Demikian menurut konsultan dari Divisyen Perkembangan Pediatrik dan Tingkah Laku, Jabatan Pediatrik, Khoo Teck Phuat – Institut Perubatan Kanak-Kanak Nasional, Hospital Universiti Nasional, Dr Tammy Lim.
“Jumlah sesi di klinik yang kami adakan untuk memeriksa kanak-kanak yang mengalami masalah pemakanan telah meningkat sekitar 30 peratus dalam tempoh lima tahun lalu,” tambahnya.
Perkhidmatan Kesihatan Bersekutu di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KKH turut menyaksikan peningkatan dalam jumlah pesakit sejak kebelakangan ini, kata pakar diet utama dari Jabatan Pemakanan dan Diet KKH, Cik Ong Chengsi.
Peningkatan iru didorong banyak faktor, kata Dr Lim.
Ibu bapa dan penjaga kini lebih sedar tentang isu pemakanan dan tempat mereka boleh mendapatkan bantuan, manakala karyawan perubatan juga menyedari keperluan campur tangan awal.
Tinjauan terkini turut menunjukkan bahawa masa skrin dikaitkan dengan meningkatnya tabiat ‘cerewet’ makan ini, kata pakar diet di Hospital Mount Elizabeth Novena, Cik Jenette Yee.
Pakar pediatrik Cik Natalie Epton turut bersetuju.
“Pada saya, ini merupakan antara faktor utama dalam peningkatan tabiat cerewet dalam pemakanan, malah lebih tinggi daripada masalah perkembangan, memandangkan pendedahan yang meningkat kepada masa menonton skrin semasa tahun-tahun awal memang berleluasa dalam masyarakat,” katanya.
Menurut pakar, antara cara membantu kanak-kanak yang ‘cerewet’ makan termasuk dengan makan bersama keluarga.
“Kanak-kanak belajar dengan menyaksikan orang lain makan dan ini merupakan peluang baik untuk mencontohi amalan makan yang baik seperti makan buah-buahan dan sayur-sayuran, mencuba makanan yang tidak pernah dicuba dan menyimpan telefon bimbit,” ujar pakar terapi dari KKH, Cik Jo Chen.
Yang penting, ibu bapa tidak harus menyalahkan atau membuat anak-anak rasa bersalah kerana tidak mahu makan.
Pada masa yang sama, ibu bapa juga tidak boleh dipersalahkan jika anak-anak enggan makan.
Ramai ibu bapa yang melihat tabiat pemakanan anak-anak sebagai mencerminkan ‘kejayaan’ mereka mendidik anak sebagai ibu bapa.
Dr Lim menambah: “Ibu bapa tidak boleh dipersalahkan kerana menyebabkan masalah pemakanan anak-anak. Banyak faktor yang terlibat termasuk ‘mood’ dan juga cara ibu bapa.
“Meskipun dalam keluarga yang sama, anak-anak berbeza mempunyai cara pemakanan yang berlainan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg