Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Azam bantu masyarakat lebih celik kewangan

Penasihat kewangan anggap peranan bukan sekadar pekerjaan, mahu beri kesan baik ke atas kehidupan orang lain
Jan 8, 2023 | 8:49 PM
BANTU MASYARAKAT: Encik Tuan Abdu Qayyim Tuan Isa sedang memberi taklimat. Beliau menjadi penasihat kewangan dengan harapan dapat membantu masyarakat menjadi lebih celik kewangan dan membantu lebih ramai orang muda berjaya dalam industri itu. - Foto-foto BM oleh FAKHRURADZI ISMAIL
BANTU MASYARAKAT: Encik Tuan Abdu Qayyim Tuan Isa sedang memberi taklimat. Beliau menjadi penasihat kewangan dengan harapan dapat membantu masyarakat menjadi lebih celik kewangan dan membantu lebih ramai orang muda berjaya dalam industri itu. - Foto-foto BM oleh FAKHRURADZI ISMAIL -

MELIHAT bagaimana ibu bapanya meninggalkan kesan positif ke atas kehidupan orang lain, Encik Tuan Abdu Qayyim Tuan Isa bertekad mengikut jejak langkah mereka.

Namun, tidak seperti orang tuanya yang merupakan penasihat agama dan pengasas pusat pengajian agama Pendidikan Asas Daru Ashomiddin (PADA) Service di Woodlands, beliau mahu membantu masyarakat dengan cara berbeza.

"Ibu bapa saya adalah suri teladan saya dalam hidup. Semasa saya kecil, saya melihat sendiri cara mereka mengendalikan kelas bimbingan mereka dan bagi saya mereka telah memberi kesan baik kepada kehidupan orang lain.

"Di samping itu, ibu bapa saya sentiasa kelihatan gembira apabila melakukan tugas mereka dan saya dapat lihat kepuasan itu," kata Encik Qayyim.

Dan beliau juga ingin mengecapi kepuasan seperti itu.

Walaupun tidak mengambil laluan menjadi guru agama, Encik Qayyim percaya beliau juga boleh menyumbang, walaupun dengan cara lain.

"Ibu saya sering mengingatkan bahawa untuk melakukan sesuatu perkara baik tidak bermakna kita perlu menjadi guru agama sahaja.

"Kita boleh melakukan kebaikan, memberi impak dan mengubah kehidupan orang lain dengan banyak kaedah lain.

"Pada masa itu saya tidak tahu apa saya ingin lakukan sebagai kerjaya, namun saya sentiasa tahu bahawa saya mahu menjadi seorang pemimpin dan saya mahu memberi kesan positif dalam kehidupan orang lain," ujarnya.

Encik Qayyim mahukan kerjaya yang sesuai dengan personalitinya dan memberinya kepuasan dalam apa yang dilakukannya.

Keputusan menukar kerjaya sekitar 14 tahun lalu memberi beliau peluang melakukan apa yang diimpikannya.

Encik Qayyim sekarang adalah pengarah Taqwa Wealth Associates di bawah syarikat insurans AIA dan mengetuai lebih 125 perunding dan penasihat kewangan.

Taqwa Wealth adalah salah satu kumpulan perkhidmatan kewangan Melayu/Islam terbesar di Singapura.

Setelah menceburi bidang itu, Encik Qayyim mula sedar bahawa kerjaya penasihat kewangan memberinya pengetahuan dan kemahiran relevan serta mengasah bakatnya untuk membantu masyarakat agar lebih celik kewangan.

Bagi beliau, peranannya memberi nasihat kewangan adalah lebih daripada sekadar satu pekerjaan.

"Dalam industri kewangan ini, persekitarannya memberi saya peluang mencapai impian saya dalam hidup, iaitu membantu lebih ramai orang.

"Kerjaya ini membolehkan saya membantu masyarakat memahami kepentingan celik kewangan, dengan pada masa sama melatih dan melahirkan lebih ramai penasihat kewangan dalam masyarakat kita untuk berjaya dan mencapai potensi penuh mereka.

"Saya harap dengan membimbing mereka, mereka juga boleh menjadi penasihat dan perunding kewangan berpengetahuan dan baik. Dan selepas itu mereka juga boleh terus membantu masyarakat kita," ujar Encik Qayyim.

Menerusi Taqwa Wealth, Encik Qayyim dan pasukannya turut mendekati masyarakat dengan cara lain.

Mereka telah bekerjasama dengan pertubuhan keagamaan berlainan, seperti masjid, untuk mendekati dan mendampingi masyarakat serta melakukan kerja amal.

Sedang Taqwa Wealth menyambut ulang tahun ke-10 tahun ini, Encik Qayyim berharap mereka dapat terus memberi nasihat kewangan kelas pertama kepada masyarakat.

"Visi dan matlamat kami bagi beberapa tahun akan datang ialah membentuk sebuah pasukan kukuh yang boleh menjadi pusat dan nadi masyarakat.

"Sebarang nasihat kewangan yang mereka perlukan, mereka boleh mendekati kami, dan kami sedia membantu mereka," ujarnya.

Ibu saya sering mengingatkan bahawa untuk melakukan sesuatu perkara baik tidak bermakna kita perlu menjadi guru agama sahaja. Kita boleh melakukan kebaikan, memberi impak dan mengubah kehidupan orang lain dengan banyak kaedah lain. Pada masa itu saya tidak tahu apa saya ingin lakukan sebagai kerjaya, namun saya sentiasa tahu bahawa saya mahu menjadi seorang pemimpin dan saya mahu memberi kesan positif dalam kehidupan orang lain. - Encik Tuan Abdu Qayyim Tuan Isa, pengarah Taqwa Wealth Associates di bawah syarikat insurans AIA yang mempunyai lebih 125 perunding dan penasihat kewangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg