Subuh
5:50
Syuruk
7:07
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:23

Baru pulang? Usah bimbang... UPLIFT sedia beri bantuan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana
33
0

Baru pulang? Usah bimbang... UPLIFT sedia beri bantuan

Aug 29, 2021 | 05:30 AM

PERTAMA kali beliau kembali ke Singapura selepas 10 tahun bermastautin di negara jiran, anak-anak Encik Mohd Nazri Bakri menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan sekitaran persekolahan yang berbeza.

Lima daripada anaknya yang masih di peringkat sekolah rendah berasa sukar untuk memahami apa yang dipelajari, apatah lagi bahasa Inggeris digunakan di sekolah.

Mujur bagi pekerja penghantaran barangan itu, nasib anak-anaknya terbela hasil sokongan pihak sekolah.

Nasib mereka bertambah baik apabila mendapat sokongan di bawah program Pasukan Bertindak bagi Memberi Sokongan Kepada Pelajar dan Memberi Inspirasi Kepada Keluarga atau UPLIFT.

Semasa Perbincangan Bangkit Lebih Kukuh (ESC) Singapura (SG) Bersama, warga Singapura menyuarakan kebimbangan mereka meliputi beberapa tema termasuk sokongan sosial, nilai-nilai yang dikongsi bersama, ekonomi dan lain-lain lagi. 

Salah satu Perikatan untuk Bertindak (AfA) SG Bersama yang ditubuhkan bagi menangani isu dalam ESC adalah AfA bagi UPLIFT.

UPLIFT yang merupakan sebuah pasukan bertindak antara kementerian dipimpin Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman.

Di bawah program itu, seorang pendamping dihantar ke flat sewa keluarga tersebut yang terletak di Jalan Kukoh untuk membimbing anak-anak Encik Mohd Nazri.

“Anak-anak saya diberi motivasi dan sokongan oleh pendamping tersebut. 

“Anak-anak dan kami ibu bapa sendiri diajar tentang teknologi maklumat dan penggunaan pelbagai aplikasi yang berguna untuk kehidupan harian – termasuk Zoom.

“Anak-anak kami juga disalur kepada Yayasan Mendaki untuk mengikuti kelas-kelas tuisyen yang disediakan,” kata Encik Mohd Nazri semasa diwawancara secara dalam talian.

Encik Mohd Nazri, 35 tahun, yang mempunyai kelulusan GCE Peringkat ‘N’ tidak mampu mengajar anak-anaknya berkaitan subjek yang dipelajari mereka.

Sementara itu, isterinya, Cik Mariana Omar, juga 35 tahun, yang mempunyai kelulusan GCE Peringkat ‘O’, hanya mampu mengajar sebahagian daripada kerja sekolah yang dibawa pulang anak-anaknya.

“Mujur ada pendamping yang diperkenal kepada kami yang kemudian membantu kami,” kata Cik Mariana.

Pendamping mereka itu, Encik Aiyadurai Rajeevan, 35 tahun, mula membantu keluarga Encik Mohd Nazri sejak November lalu.

Encik Rajeevan yang menjadi pendamping bagi kawasan Kreta Ayer bertemu dengan keluarga tersebut sekitar sebulan sekali – jika tidak beliau terbuka kepada perbincangan menerusi dalam talian bersama keluarga Encik Nazri.

“Semasa saya melawat selama sekitar dua jam, saya akan dengar apa masalah yang dihadapi keluarga itu. Saya akan cuba memahami apa yang mereka lalui dengan mendengar rintihan mereka. Ini agar mereka lebih percaya dengan kami.

“Selepas itu, saya akan cuba berikan huraian atau sampaikan permasalahan yang dihadapi kepada pihak tertentu seperti pihak sekolah atau agensi berkaitan yang mampu menyokong mereka,” tambah Encik Rajeevan yang mula menjadi pendamping sejak November lalu.

Memandangkan Encik Rajeevan mempunyai latar belakang dalam bidang IT, maka beliau membantu keluarga tersebut mendalami kemahiran asas komputer termasuk membuat permohonan secara dalam talian.

Antara lain, beliau membantu Encik Mohd Nazri dalam proses permohonannya mendaftarkan diri untuk mendapatkan lesen memandu dan membantu Cik Mariana membuat permohonan pekerjaan menerusi dalam talian.

“Bagi saya, apabila dapat mendampingi keluarga seperti Encik Mohd Nazri, ia membuka peluang kepada saya mengenali pelbagai masalah.

“Saya dapat belajar tentang sesetengah keluarga itu buat satu tempoh dan melihat kemajuan mereka dalam jangka panjang,” katanya.

Apabila ditanya perasaannya apabila kali pertama dihampiri pendamping seperti Encik Rajeevan, Encik Mohd Nazri berkata beliau berasa agak janggal pada mulanya.

Namun selepas dua lawatan, Encik Mohd Nazri dapat menyesuaikan diri dengan kehadiran Encik Rajeevan dan mampu bersikap lebih terbuka dengan pendamping keluarganya itu.

“Syukur kerana banyak sokongan yang kami terima daripada sudut akademik anak-anak dan juga kehidupan harian kami.

“Nasihat saya sekiranya ada pendamping yang tampil untuk memberi sokongan kepada keluarga seperti saya, saya sokong sepenuhnya,” tambah Cik Mariana yang kini bercadang mengikuti program perniagaan mikro dan bercadang membuka perniagaan dari rumah dalam jangka panjang.

> Rencana ini dibawakan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY)


Apa itu UPLIFT?

> UPLIFT - Uplifting Pupils in Life and Inspiring Families Taskforce atau Pasukan Bertindak bagi Memberi Sokongan Kepada Pelajar dan Memberi Inspirasi Kepada Keluarga.

> AfA bagi UPLIFT merupakan antara 26 kumpulan kerjasama yang merangkumi orang awam serta sektor awam dan privet yang diumumkan untuk menangani pelbagai isu yang diutarakan semasa ESC Singapura Bersama.

> UPLIFT yang merupakan sebuah pasukan bertindak antara kementerian, dipimpin oleh Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman.

> Bermula pada September 2018, UPLIFT bertujuan mengukuhkan sokongan bagi para pelajar daripada golongan keluarga kurang bernasib baik. Ini boleh melibatkan pembelajaran yang diperluas, sokongan pendidikan atau motivasi bagi pelajar, atau sokongan sosial dan masyarakat buat keluarga mereka.

> Bagi menangani isu-isu berbilang yang dihadapi pelajar kurang bernasib baik dan keluarga mereka, UPLIFT menjalin hubungan kukuh dengan Kumpulan Bantu Diri, Agensi Khidmat Sosial, dan beberapa syarikat sosial serta pihak korporat, di mana sekolah boleh memanfaatkan usaha dan sumber masyarakat. Ini bagi menyokong pelajar menerusi inisiatif seperti pendamping, khidmat mentoring dan program pengayaan.

> Kerjasama masyarakat yang kukuh penting dalam melayari kesan akibat Covid-19. Sebagai contoh, UPLIFT bekerja rapat dengan rakan masyarakat bagi menolong pelajar yang amat memerlukan, menyediakan mereka dengan subsidi makanan serta alat yang diperlukan semasa tempoh pembelajaran di rumah.

> UPLIFT juga bekerjasama dengan dengan rakan masyarakat bagi menubuhkan sebuah rangkaian pendamping dalam talian bagi memeriksa kebajikan pelajar dan memastikan keluarga mereka mampu bertahan.


Ayah: Anak-anak dan kami ibu bapa dibimbing oleh pendamping

“Anak-anak saya diberi motivasi dan sokongan oleh pendamping tersebut. Anak-anak dan kami ibu bapa sendiri diajar tentang teknologi maklumat dan penggunaan pelbagai aplikasi yang berguna untuk kehidupan harian – termasuk Zoom. Anak-anak kami juga disalur kepada Yayasan Mendaki untuk mengikuti kelas-kelas tuisyen yang disediakan.’’
– Encik Mohd Nazri Bakri (Ayah yang pulang selepas bermastautin 10 tahun di negara jiran)

 

Pendamping: Saya dengar rintihan mereka dan sampaikan kepada pihak tertentu

“Semasa saya melawat selama sekitar dua jam, saya akan dengar apa masalah yang dihadapi keluarga itu. Saya akan cuba memahami apa yang mereka lalui dengan mendengar rintihan mereka. Ini agar mereka lebih percaya dengan kami. Selepas itu, saya akan cuba berikan huraian atau sampaikan permasalahan yang dihadapi kepada pihak tertentu seperti pihak sekolah atau agensi berkaitan yang mampu menyokong mereka.’’
– Encik Aiyadurai Rajeevan (Pendamping)

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3