Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:30
Maghrib
7:10
Isyak
8:25

Bekas usahawan tertipu dek kiriman WhatsApp dari seseorang yang pura-pura temannya

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana
33
0

Bekas usahawan tertipu dek kiriman WhatsApp dari seseorang yang pura-pura temannya

Meskipun biasa menggunakan telefon bijak dan sedar mengenai penipuan ‘phishing’, pesara ini tetap menjadi mangsa 
Jun 03, 2021 | 06:00 AM

Encik Peter Ong (bukan nama sebenar) sering juga menerima panggilan yang mendakwa beliau mempunyai kiriman untuk diambil dari pejabat pos, atau telefonnya mempunyai masalah yang perlu dibetulkan penyedia khidmatnya.

Namun, pesara berusia 70-an tahun itu tidak pernah melayan. “Jelas sekali mereka ni semua penipu. Anak saya pun pernah ingatkan saya dan isteri mengenai penipuan seperti ini, jadi saya tahu,” katanya.

Meskipun demikian, Encik Ong tetap menjadi mangsa penipuan.

Penipu ambil kesempatan menyamar sebagai kenalan

Apabila beliau pertama kali menerima kiriman WhatsApp Mac lalu daripada bekas rakan niaganya meminta beliau mengambil bahagian dalam satu peraduan anjuran sebuah bank setempat, Encik Ong tidak berfikir panjang walaupun beliau rasa pelik kenapa rakannya itu tidak memanggilnya dengan nama beliau.

“Kawan saya itu cuma cakap ‘Hi’ dan hantar pautan kepada saya. Saya fikri dia ingin jimat masa, tak perlu taip nama saya. Dan kerana mesej itu dihantar dari nombor beliau, saya tidak sangka apa-apa,” jelas beliau.  

Encik Ong sudah tidak bertemu rakannya itu buat beberapa tahun, justeru beliau rasa terpanggil untuk membantu. Beliau klik pautan tersebut dan dibawa ke sebuah laman perbankan dalam talian, di mana beliau log masuk menggunakan maklumat peribadi dan kata kunci satu-kali atau one-time password (OTP).

Laman itu tampak sahih dan tidak menimbulkan apa-apa kecurigaan. “Jika nampak lain, saya pasti perasan,” tambahnya. 

Esok harinya, Encik Ong log masuk ke akaun perbankan Internet beliau seperti biasa untuk meneliti penyata kewangannya. Beliau kemudian mendapati terdapat enam transaksi yang tidak dilakukan beliau meliputi jumlah $300 hingga $1,000, yang masuk dan keluar dari akaunnya menerusi aplikasi dompet mudah alih yang langsung beliau tidak miliki dalam telefon bimbitnya. 

Encik Ong dengan serta merta ke bank untuk melaporkan transaksi itu. Mujur, tiada wang beliau yang digelapkan. Beliau membuat laporan polis dan memberitahu rakannya mengenai insiden tersebut. Barulah beliau dapat tahu bahawa mesej itu dikirimkan menerusi akaun WhatsApp palsu.

Penipuan meningkat dalam era digital

Dengan penggunaan alat bijak semakin meningkat semasa pandemik, penipu kini mempunyai lebih banyak peluang mencari mangsa - sama ada menerusi media sosial atau aplikasi mesej pantas. 

Berdasarkan perangkaan Pasukan Polis Singapura, jumlah kes penipuan meningkat 65 peratus tahun lalu berbanding 2019. Antaranya, penipuan menerusi penyamaran media sosial dan penipuan ‘phishing’ berkaitan perbankan, paling melihat peningkatan. 

Dalam kes Encik Ong, beliau adalah mangsa penyamaran media sosial - di mana penjenayah menggunakan akaun media sosial palsu untuk menyamar sebagai anggota keluarga atau rakan-rakan mangsa untuk mendapatkan akses kepada maklumat peribadi - dan juga mangsa penipuan ‘phishing’ berkaitan perbankan. Mangsa penipuan ‘phishing’ melibatkan perbuatan meminta mangsa untuk klik ke pautan yang dihantar menerusi khidmat pesanan yang membawa mangsa ke laman bank palsu bagi mendapatkan maklumat log masuk. 

Program Keselamatan Siber Warga Emas SG, yang diterajui Agensi Keselamatan Siber Singapura dengan kerjasama Pasukan Polis Singapura dan Penguasa Pembangunan Media Infokom bertujuan mendekati warga emas seperti Encik Ong. Matlamatnya ialah untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber dan menggalak mereka mengamalkan tabiat siber yang baik.

Iktibar dari pengalaman

Encik Ong berkata beliau semakin berjaga-jaga apabila melakukan kegiatan dalam talian dan sedar beliau harus mengikut nalurinya. 

“Bila saya fikirkan semula, penipu itu tidak menggunakan nama saya sebab dia tidak tahu siapa saya. Saya rasa macam pelik, tapi saya tidak fikirkan sangat. Kini, saya akan hubungi rakan-rakan saya langsung kalau saya terima mesej pelik-pelik daripada mereka,” ujarnya. 

Beliau meneliti penyata banknya secara dalam talian setiap hari - satu tabiat yang beliau harap warga emas dapat lakukan. Lebih penting, beliau mahu semua orang sedar bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa penipuan. 

“Penipuan seperti panggilan robot yang dirakam mudah dikenali. Namun, dengan penipuan penyamaran, lebih sukar untuk dikesan. Jadi bagi saya, saya belajar untuk lebih berhati-hati dan jangan mendedahkan maklumat peribadi kepada sesiapa pun,” katanya.

Bantu warga emas kekal selamat dalam talian

Dengan lebih ramai warga emas mendakap digital, mereka perlu lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan. Berikut langkah yang boleh diambil:

1. Berhati-hati terhadap permintaan yang tidak dijangkakan daripada kenalan media sosial, lebih-lebih lagi berkaitan cabutan bertuah atau peraduan. 
2. Sentiasa pastikan kesahihan maklumat daripada anggota keluarga, rakan-rakan atau laman dan sumber rasmi. 
3. Jangan dedahkan maklumat peribadi atau perbankan Interset serta One-Time Password (OTP) pada sesiapa. 
4. Laporkan penggunaan kad kredit dan debit yang bukan dilakukan diri anda dan batalkan kad tersebut serta merta.
5. Sentiasa berhati-hati sebelum anda klik pautan mencurigakan.
6. Pelajari ciri-ciri ‘phishing’, seperti e-mel/mesej yang tidak dijangkakan dan permintaan bagi maklumat peribadi. 

Lungsuri www.scamalert.sg untuk maklumat lanjut atau hubungi talian bantuan Anti-Scam di 1800-722-6688 bagi nasihat berkaitan penipuan.  


Daftar bagi Ask the Cyber Experts Series anjuran CSA di bawah Program Keselamatan Siber Warga Emas untuk mendengar perkongsian daripada pakar siber mengenai bagaimana anda boleh kekal selamat di dalam talian. Daftar di www.csa.gov.sg/sgcybersafeseniors

DIBAWAKAN OLEHAgensi Keselamatan Siber (CSA) & Pasukan Polis Singapura (SPF)

 

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3