Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

CATATAN WARTAWAN

Beri kekuatan kepada penjaga anak 'istimewa'

Jan 31, 2022 | 05:30 AM



ANAK itu satu anugerah, namun melahirkan dan membesarkan insan di dunia ini membawa bersamanya pelbagai ujian.



Justeru, setiap ibu bapa mempunyai cabaran mereka tersendiri. Itu sesuatu yang pasti.



Sebagai ibu bapa seorang anak berkeperluan khas, cabaran yang kami lalui agak unik dan mungkin sukar difahami sebahagian besar ibu bapa yang mempunyai anak neurotipikal, meskipun saya turut akur, kesedaran mengenai golongan keperluan khas di sini semakin baik.



Anak saya seorang anak autisme dan pembaca yang mengikuti ruangan ini mungkin pernah membaca perkongsian saya mengenainya sebelum ini.



Dengan kes seorang bapa yang dikenakan tuduhan membunuh dua anak kembarnya yang berkeperluan khas, isu cabaran dan tekanan yang dihadapi para penjaga anak berkeperluan khas kini menjadi tumpuan.



Hakikatnya, meskipun kita terkejut dan bersimpati dengan tragedi yang berlaku hujung minggu lalu itu, tekanan dan cabaran yang dihadapi penjaga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kita menerima perbuatan sedemikian.



Ini kerana, jika itu berlaku, kita seolah-olah meletakkan nyawa seseorang yang berkeperluan khas itu sebagai kurang bernilai daripada kita, yang dilahirkan normal.



Saya dan isteri sering mengingatkan anak kami, Aydan Ziqry, yang kini berusia 11 tahun, bahawa dia seorang individu yang different but not less, atau berbeza tetapi tidak kekurangan.



Kami cuba mendedahkannya kepada perkara-perkara yang dilakukan oleh adik-adiknya - yang neurotipikal - supaya dia faham bahawa perbezaannya itu tidak menjadi hambatan bagi dia memenuhi potensinya.



Namun, saya akui, perjalanan kami jauh daripada licin dan lancar.



Semasa Aydan kecil dahulu - usianya sekitar dua atau tiga tahun dan apabila autismenya mula menyerlah - adalah perkara yang agak biasa baginya berjaga sepanjang malam.



'Keupayaan' mereka tidak tidur - dan pada esok harinya masih tidak mengantuk - adalah antara ciri-ciri sebilangan kanak-kanak autisme.



Keadaan ini meletakkan tekanan hebat pada saya dan isteri, dan seperti kita semua tahu, apabila tidak cukup tidur, sukar kadangkala bersikap tenang dan mengawal emosi dalam perkara-perkara lain.



Sehingga hari ini, Aydan masih mengalami episod-episod tidak tidur sepanjang malam. Mujur, dengan pengalaman, kesabaran, strategi yang kami pelajari dan doa, ia tidak berlaku sekerap dahulu.



Ini hanyalah antara kelakuannya yang mencabar.



Kesukaran anak-anak autisme berkomunikasi juga sering menimbulkan pergolakan emosi dalam diri mereka, sesuatu yang sukar mereka kawal, dan ini dengan pantas boleh mencetuskan keadaan yang dikenali ramai sebagai meltdown.



Kadangkala keadaan seperti itu boleh berlarutan berjam-jam lamanya, malah sepanjang hari, mencetuskan pelbagai tekanan kepada kami sekeluarga.



Dengan tuntutan sekolahnya di Pathlight School, di mana dia mengikuti kurikulum aliran utama, meskipun laluannya mengambil Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) akan mengambil masa lapan tahun, Aydan juga kerap tertekan.



Tekanan pelajaran, kesukarannya berkomunikasi dan cabarannya mengawal emosi adalah antara pencetus atau trigger pergolakan dalam dirinya.



Setelah sekian lama, saya dan isteri dapat mengesan tanda-tanda amaran pencetus-pencetus tersebut dan dapat mengambil langkah praemptif untuk mengurangkan kesannya.



Namun, sering juga meltdown sedemikian berlaku secara mendadak, tanpa disangka. Dan apabila keadaan sedemikian berlaku di luar rumah maka ia menjadi satu lagi tekanan tambahan untuk memastikan, yang pertama; dia tidak mencederakan dirinya dan kedua; tidak mencederakan orang lain.



Meskipun dengan cabaran dan ujian yang perlu kami lalui hampir setiap hari, saya dan isteri beruntung dan bersyukur mempunyai struktur sokongan keluarga yang utuh.



Saya tidak boleh bayangkan tahap tekanan yang dihadapi ibu bapa dengan anak-anak berkeperluan khas yang lain, yang mempunyai cabaran yang jauh lebih berat daripada kami.



Cabaran kepada keadaan fizikal, emosi dan kewangan yang berbeza-beza bagi setiap individu berkeperluan khas.



Apakah yang boleh dilakukan masyarakat untuk membantu ibu bapa dan penjaga sedemikian?



Dalam tekad kita untuk membina sebuah masyarakat inklusif, setiap kita mempunyai peranan.



Berdasarkan pengalaman saya, paling penting ialah sikap kita terhadap bukan sahaja golongan berkeperluan khas, bahkan masyarakat secara amnya, kerana ada kalanya mereka yang berkeperluan khas tidak menunjukkan tanda-tanda secara fizikal.



Banyak yang boleh kita lakukan dan capai jika kita semua lebih bertoleransi, bertolak ansur dan saling memahami.



Ajar anak-anak kita juga agar tidak memencilkan dan menjauhkan diri daripada golongan sedemikian dan keluarga mereka, sebaliknya dekati mereka dan fahami cabaran yang mereka lalui - tidak kiralah sama ada mereka anggota keluarga, saudara mara ataupun jiran-jiran.



Golongan berkeperluan khas dan keluarga mereka tidak memerlukan simpati, apa yang mereka perlukan ialah penerimaan.



Dengan sikap kita yang terbuka lagi ikhlas mendekati mereka, kita dapat menilai dengan lebih baik tanda-tanda tekanan yang mungkin dihadapi penjaga golongan sedemikian, sekali gus dapat memberikan sokongan yang diperlukan.



Semasa Aydan baru mendapat diagnosis autisme pada usia tiga tahun, saya bertanya pada seorang ustaz, dalam sembang-sembang kami mengenai kehidupan masing-masing.



Saya berkongsi mengenai kelakuannya yang mencabar yang saya sedih melihat anak saya itu tidak pandai bergaul dengan kanak-kanak lain sebayanya.



Perbezaan dalam dirinya begitu ketara - dan dapat dirasakan oleh kanak-kanak lain - meskipun secara fizikal dia tampak biasa sahaja.



Bagaimana agaknya keadaan dia nanti pada masa depan, keluh saya.



Ustaz saya itu - kami sudah kenal sejak zaman bujang lagi - berpesan setiap ibu dan bapa mempunyai ujian yang berbeza, namun saya dan isteri sebenarnya beruntung, katanya, kerana kami dianugerahkan anak syurga.



Kata-kata itu dan kesedaran bahawa ini adalah ujian sang Pencipta dengan ganjaran untuk anak saya, yang dicemburui ramai, itulah yang menjadi perangsang dalam masa-masa sukar yang saya lalui dalam membesarkan anak autisme saya.



Semoga kita semua diberi kekuatan - dan sedikit sokongan apabila perlu - dalam mengharungi cabaran dunia keibubapaan masing-masing.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >