Subuh
5:27
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Rencana

Berkebun suburkan minda

Oct 19, 2020 | 05:30 AM

BERKEBUN untuk membangun minda kanak-kanak dan memupuk sifat mesra alam.

Itulah yang dilakukan di prasekolah PCF Sparkletots @ Eunos Blok 122, di mana kanak-kanak digalak 'menggunakan tangan' mereka untuk berkebun dan menanam sayur-sayuran mereka sendiri.

Seramai 122 kanak-kanak dari peringkat N1 hingga K2 telah mengambil bahagian dalam projek Our Edible Garden, yang memberi mereka peluang 'bercucuk-tanam' sejak Julai tahun lalu.

Dengan bantuan guru-guru dan ibu bapa, taman itu kini mempunyai pelbagai hasil sayur-sayuran yang boleh dimakan.

Berkongsi dengan Berita Harian, (BH) Pengetua Pusat, Cik Noraini Tukiman, berkata bahawa aktiviti 'hands-on' seperti ini adalah penting dalam perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.

Menurut Cik Noraini, dalam usaha untuk mengalakkan kanak-kanak mencuba makanan yang lebih sihat, beliau berkata aktiviti seperti berkebun dapat mendedahkan mereka kepada makanan yang berlainan dan mempelajari mengenai kebaikan makanan sihat.

"Sebenarnya tahun lalu semasa acara kebudayaan, sukarelawan ibu bapa telah mengadakan beberapa bengkel memasak bagi kanak-kanak. Antara hidangan yang di sediakan termasuk roti jala, tangyuan dan roti chapati.

"Daripada pengalaman itu, kami mula memikirkan cara yang lain untuk mendedahkan para pelajar kami kepada makanan yang berkhasiat.

"Dengan berkebun, ia telah memberi peluang bagi kanak-kanak mempelajari bagaimana makanan mereka dihasilkan serta bagaimana mereka boleh menggabungkannya dalam makanan harian mereka," kata beliau yang berusia 58 tahun.

Setelah beberapa bulan bercucuk tanam, kebun itu kini mempunyai hasil termasuk herba segar seperti selasih, pudina dan sayur-sayuran seperti labu, kentang dan lobak merah.

Cik Noraini juga berkata melalui projek ini, para pelajar dapat memperoleh asas sosial-emosi yang penting dalam perkembangan seorang anak.

Persidangan Pembangunan Awal Kanak-Kanak 2020 anjuran Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) tahun ini memberi tumpuan kepada memupuk daya tahan dan meningkatkan kesejahteraan pada kanak-kanak kecil.

Selaras dengan tujuan itu, ketua guru PCF Sparkletots @ Eunos Blok 122, Cik Aisyah Zainalabidin, pula berkongsi bahawa projek bercucuk tanam ini menyediakan banyak peluang untuk meneroka deria dan mengembangkan kecerdasan sosial dan emosi mereka.

"Tanaman yang boleh dimakan memerlukan banyak perhatian. Oleh itu, ia memberi kanak-kanak ini rasa tanggungjawab untuk menjaga tanaman mereka.

"Mereka membawa tanaman mereka pulang ke rumah pada hujung minggu dan buat jadual sendiri bila mereka perlu menyiram tanaman mereka.

"Selain itu, ia juga mengajar mereka mengenai kesabaran dan kepuasan tertangguh. Kadangkala, tanaman mereka tidak tumbuh, tetapi ia terus mendorong mereka untuk berdaya tahan dan terus bercucuk tanam," kata Cik Aisyah.

Tambahnya, aktiviti ini juga meningkatkan kemahiran motor halus (fine motor skills) ketika mereka memungut bijirin kecil serta mengalakkan mereka bertanya mengenai proses berucuk tanam.

Menurut Cik Noraini, idea-idea seperti ini perlu segar untuk meningkatkan penglibatan dan motivasi para pelajar, guru-guru serta ibu bapa.

Berkongsi dengan lebih lanjut, dalam masa akan datang pusatnya merancang untuk menjalankan projek kesinambungan di mana para pelajar dapat membuka restoran di pusat itu dan mempelajar bagaimana untuk memasak hasil tanaman mereka.

"Di restoran ini, kita boleh menghidangkan makanan kegemaran kita yang lebih sihat. Kami merancang untuk menjemput keluarga mereka untuk menikmati masakan oleh pelajar kami dan guru-guru kami.

"Memandangkan keadaan Covid-19 ini masih belum pulih sepenuhnya, kami akan menangguhkan rancangan ini buat sementara," katanya.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian