Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biasiswa bantu impian jadi guru tadika

Apr 25, 2022 | 5:30 AM
TERDORONG MENGAJAR KANAK-KANAK KECIL: Melihat kesan positif yang dilakukan ramai dalam keluarganya sebagai seorang guru terhadap pelajar mereka, Cik Athirah pun tidak banyak berfikir ketika memilih menjadi seorang guru dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak. - Foto BH oleh KHALID BABA
TERDORONG MENGAJAR KANAK-KANAK KECIL: Melihat kesan positif yang dilakukan ramai dalam keluarganya sebagai seorang guru terhadap pelajar mereka, Cik Athirah pun tidak banyak berfikir ketika memilih menjadi seorang guru dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak. - Foto BH oleh KHALID BABA -

DIBESARKAN dalam keluarga guru dengan ramai makcik, pakcik dan saudara-maranya bertugas sebagai guru, Cik Siti Noor Athirah terdorong mengikuti jejak mereka dan menjadi seorang pendidik.

Sebaik sahaja menerima keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O', Cik Athirah memutuskan untuk menceburi bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Institut Pendidikan Teknical (ITE) Kolej Central pada 2020.

"Boleh dikatakan sejak sekolah menengah lagi, saya mempunyai impian untuk menjadi seorang guru.

"Mendengar cerita-cerita yang dikongsi oleh makcik, pakcik dan saudara-mara saya yang lain tentang pengalaman mereka ia telah menarik perhatian saya tentang bidang ini," kata gadis muda yang berusia 20 tahun itu.

Namun, pilihannya untuk menceburi bidang pendidikan awal kanak-kanak katanya adalah secara tidak langsung kerana enam anak-anak saudaranya.

"Saya memang suka bermain-main dengan kanak-kanak jadi saya sering menjaga mereka.

"Mereka bukan saja comel tetapi juga merupakan generasi akan datang yang memerlukan bimbingan.

"Melihat kesan positif yang dilakukan ramai dalam keluarga saya sebagai guru terhadap pelajar mereka, saya pun tidak banyak berfikir ketika memilih laluan ini," ujar anak bongsu empat orang adik-beradik.

Pada tahun keduanya di ITE, Cik Athirah dianugerahkan Biasiswa Skim Bantuan Dana Amanah Pendidikan (ETF) SM Jaleel.

Skim bantuan ini yang diperkenalkan pada Ogos 2019, bertujuan untuk menggalakkan pelajar di institut pengajian tinggi terus cemerlang dalam pelajaran di institusi tempatan serta menampung keperluan kewangan pelajar Islam yang layak.

Jumlah biasiswa yang diterima oleh Cik Athirah adalah $1,000.

Mengulas mengenai biasiswa tersebut, Cik Athirah berkata ia telah mengurangkan beban kewangannya dan terus mendorongnya untuk mengejar minatnya dalam bidang tersebut.

Dihubungi Berita Harian (BH), Cik Athirah berkata sebahagian besar biasiswa tersebut diketepikan untuk kecemasan, menaiki pengangkutan awam, makanan dan bekalan sekolah.

"Sebagai seorang pelajar dalam bidang pendidikan kanak-kanak, saya mempunyai banyak projek yang memerlukan kami membeli peralatan yang pelbagai untuk menyediakan 'play kit'.

"Saya berbelanja kira-kira $50 setiap bulan untuk menyediakan projek-projek saya.

"Dengan adanya wang tambahan ini, saya rasa lebih berdikari secara kewangan dan tidak perlu juga meminta daripada ibu bapa saya wang tambahan," jelasnya.

Selain daripada sokongan kewangan biasiswa, Cik Athirah juga menyertai beberapa program dan aktiviti yang dianjurkan oleh Yayasan Mendaki yang memperkasakan dirinya sebagai seorang individu.

Antaranya termasuk program pementoran di mana beliau dipasangkan dengan seorang mentor yang merupakan seorang pendidik pendidikan awal kanak-kanak.

Dengan dorongan mentornya, beliau banyak menerima tip-tip untuk menjadi seorang guru yang lebih baik.

Kini, Cik Athirah sedang melanjutkan pelajarannya di Politeknik Ngee Ann dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan berharap dapat terus menyumbang kepada generasi akan datang.

Di tanya apa yang menyebabkan beliau ghairah untuk pelajari di politeknik, gadis muda itu berkata:

"Secara jujur saya tidak sabar untuk belajar perkara baru.

"Antara modul yang saya ghairah untuk pelajari adalah tentang bagaimana mengajar kanak-kanak berkeperluan khas.

"Bagi saya, semua kanak-kanak wajar dididik dan mempunyai akses kepada pendidikan, jadi dengan pelajari tentang kanak-kanak berkeperluan khas saya berharap dapat menyokongnya dalam tahun-tahun perkembangan mereka," katanya.

"Saya memang suka bermain-main dengan kanak-kanak jadi saya sering menjaga mereka.

Mereka bukan saja comel tetapi juga merupakan generasi akan datang yang memerlukan bimbingan.

Melihat kesan positif yang dilakukan ramai dalam keluarga saya sebagai guru terhadap pelajar mereka, saya pun tidak banyak berfikir ketika memilih laluan ini.''

- Cik Siti Noor Athirah

BIASISWA YANG DITAWARKAN MENDAKI

SELAIN daripada Yayasan SM Jaleel - Skim Bantuan Dana Amanah Pendidikan (ETF), Mendaki turut menawarkan pelbagai skim bantuan pendidikan seperti subsidi, dermasiswa, biasiswa dan pinjaman belajar. Baru-baru ini, Mendaki telah menawarkan tiga biasiswa baru yang bertujuan menyediakan peluang latihan dan pekerjaan setelah tamat pengajian.

Biasiswa Mendaki - MiRXES

  1. Ditawarkan bersama syarikat bioteknologi MiRXES dari tahun 2022 hingga 2026;
  2. Dibuka kepada pelajar Melayu/Islam yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang sains hayat dan bioperubatan;
  3. Dua pelajar sarjana muda akan menerima $10,000 setahun setiap seorang selama empat tahun dan dua pelajar possiswazah akan menerima $15,000 setahun setiap seorang selama dua tahun;
  4. Pemegang biasiswa akan menerima peluang pekerjaan di MiRXES serta sokongan tunjuk ajar semasa program latihan.

Biasiswa Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) - Mendaki

  1. Ditawarkan bersama perbadanan pelaburan Singapura GIC, dan dijalankan dengan kerjasama tiga universiti tempatan - Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) - dari tahun 2022 hingga 2024;
  2. Dibuka kepada pelajar Melayu Singapura yang ingin melanjutkan pendidikan sarjana muda dan berminat menceburi kerjaya dalam industri kewangan;
  3. Selain yuran tuisyen, biasiswa ini juga akan membiayai elaun kehidupan bulanan pelajar serta penyertaan pelajar dalam program pertukaran luar negara dan seminar-seminar berkaitan kewangan;
  4. Pemegang biasiswa akan menerima bimbingan daripada para pemimpin GIC dan turut serta dalam Program Profesional GIC (GPP) dengan komitmen kerjaya selama tiga tahun setelah tamat pengajian.

Biasiswa Mendaki - Bitsmedia

  1. Ditawarkan bersama syarikat Bitsmedia - pembangun aplikasi Muslim Pro - dari tahun 2022 hingga 2026;
  2. Dibuka kepada pelajar Melayu/Islam Singapura yang telah mendapat tempat sepenuh masa dalam program ijazah di salah sebuah universiti autonomi Singapura; keutamaan akan diberikan kepada mereka yang melanjutkan pelajaran dalam bidang Stem (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik);
  3. Dua pelajar akan menerima $5,000 setahun setiap seorang, dan peluang latihan serta pekerjaan di syarikat Bitsmedia semasa tempoh biasiswa itu;
  4. Sejumlah 10 pelajar Melayu/Islam akan meraih manfaat daripada biasiswa ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai skim bantuan pendidikan Mendaki, lungsuri laman https://www.mendaki.org.sg/assistance.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg