Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PANDANGAN

Bolehkah 'sentuhan ajaib' Anwar cetus kerjasama Umno-DAP, bentuk kerajaan baru M'sia?

Sep 29, 2020 | 05:30 AM



BOLEHKAH Umno dan DAP duduk semeja dalam pakatan yang sedang dirancang Datuk Seri Anwar Ibrahim?



Perseteruan lebih 60 tahun dalam kancah politik Malaysia menyebabkan kedua-dua parti utama itu sukar disatukan.



Namun jika dan bila ia berlaku, bagaimana Datuk Seri Anwar, yang mengaku mempunyai majoriti kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baru Malaysia, boleh mendamaikan dua musuh ketat, yang tidak pernah bermimpi duduk semeja, dalam kabinet yang diidamkannya.



Sebelum ini, pemimpin Umno termasuk presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkali-kali menyatakan pendirian Umno tidak akan bekerjasama dengan parti yang bersekongkol dengan DAP kerana parti itu memperjuangkan agenda 'Malaysian Malaysia'.



Bagi Umno, DAP secara tersurat mengaku parti pelbagai kaum tetapi tersiratnya hanya memperjuangkan kepentingan satu-satu kaum sahaja.



Walaupun DAP menonjolkan kepimpinan parti daripada pelbagai kaum, bagi Umno ia hanya satu lakonan untuk menarik sokongan orang Melayu menyertai parti itu.



DAP pula seringkali melabelkan Umno sebuah parti yang rosak dan pimimpinnya korup selain menggunakan isu perkauman untuk memberi gambaran negatif terhadap DAP dalam kalangan rakyat Malaysia. Umno menggunakan naratif setiap perkara negatif yang terjadi di Malaysia ialah kesalahan DAP.



Saban hari kita baca di media utama dan media sosial, Umno dan DAP saling tuduh menuduh dalam setiap isu yang timbul seolah-olah sudah tidak ada jalan perdamaian selagi kedua-dua parti masih bertapak di bumi Malaysia.



Bagaimanapun, dalam politik, hari ini musuh, esok kawan sejati.



Malah perkara seumpama itu sudah menjadi satu budaya politik Malaysia.



Sebelum penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Umno dan PAS musuh kepada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diketuai Muhyiddin. Demi kelangsungan politik masing-masing ketiga-tiga musuh itu bekerjasama menyingkirkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), gabungan DAP, PRKR, Amanah dan PPBM.



Jadi apabila Datuk Seri Anwar mengumumkan beliau akan membentuk kerajaan baru dengan sokongan rakan PH dan beberapa Anggota Parlimen Melayu dan Islam dipercayai dari Umno, mengejutkan rakannya DAP yang tidak percaya parti itu akan 'makan dan minum semeja' dengan Umno.



Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terkejut bila mengetahui Datuk Anwar tidak mendapat sokongan parti pelbagai kaum dari Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS).



Tidak terlintas di kepalanya jaminan Datuk Seri Anwar beliau mempunyai nombor (jumlah) kerusi mencukupi membentuk kerajaan atas sokongan wakil rakyat parti Melayu itu.



Apakah yang nak diceritakan kepada ahli akar umbi kedua-dua parti bahawa kini mereka 'sekapal' belayar menuju destinasi sama.



Sehubungan itu, Datuk Seri Ahmad Zahid dan Encik Lim Guan Eng memikul tugas berat untuk meleraikan kekeliruan ahli parti mereka sekali gus meyakinkan kini mereka ialah kawan bukan lawan.



Jika benar kerajaan baru berjaya dibentuk, apakah komposisi DAP dan Umno yang masing-masing mempunyai 42 serta 39 kerusi. Sudah tentu DAP menuntut kementerian penting seperti kewangan atau kementerian yang dipegang ketika kerajaan PH dulu.



Pada masa sama, Umno tidak akan berdiam diri lebih-lebih lagi ahli dan penyokong tentunya akan membuat 'bising' tuntutan demi tuntutan DAP itu.



Selain Encik Lim Guan Eng, Encik Lim Kit Siang juga dilaporkan agak terkejut dengan pengumuman Anwar itu kerana sebelum itu presiden PKR itu berjanji tidak akan bekerjasama dengan pemimpin Umno yang dikaitkan dengan kes mahkamah.



DAP kini tertekan dengan desakannya sendiri yang sebelum ini mahu Anwar menunjukkan 'nombor' untuk menjadi calon Perdana Menteri PH malah Encik Lim Guan Eng sendiri berkali-kali menyatakan parti itu akan beralih memberi sokongan kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal jika Anwar gagal.



Sebelum ini, PH tidak pernah mengeluarkan kenyataan meletakkan syarat kepada Anwar 'nombor' yang dicari itu tidak termasuk wakil rakyat dari Umno. Datuk Seri Anwar seolah-olah diberi 'cek terbuka' untuk mencari sokongan bagi membolehkan PH kembali berkuasa.



Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar perlu menggunakan 'sentuhan ajaib' meyakinkan dua musuh ketat itu bekerjasama menubuhkan kerajaan baru.



Datuk Seri Anwar selepas dipecat oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1997, berjaya membawa PAS yang tidak sehaluan dengan DAP bersama membentuk gabungan parti yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR).



Sebelum penubuhan gabungan itu, PAS mendakwa DAP sebuah parti perkauman dan anti-Islam manakala DAP pula mendakwa PAS sebuah parti bertopengkan agama untuk melaksanakan undang-undang Syariah ke atas rakyat Malaysia.



Ketika itu mustahil untuk melihat dua musuh bergabung dalam satu pasukan menjadi pembangkang yang kuat bagi memberi alternatif kepada rakyat Malaysia memilih mereka menggantikan kerajaan Barisan Nasional (BN).



Atas kerjasama itu, PR berjaya menguasai Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan membentuk kerajaan negeri baru malah BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen sejak merdeka pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.



Datuk Seri Anwar pernah berjaya menemukan pemimpin PAS, Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Hadi Awang dengan Lim Kit Siang, Karpal Singh serta Lim Guan Eng duduk semeja.



Kalau dibaca sejarah kerjasama PAS dan DAP dalam PR, yang ketika itu ramai yang tidak percaya akan berlaku, tidak mustahil Anwar yang masih mempunyai 'sentuhan ajaib' dan kini berupaya merapatkan Umno dan DAP dengan satu tujuan kembalikan kerajaan pilihan rakyat.



Kini, tumpuan kepada Datuk Seri Anwar untuk mengumumkan jumlah 'nombor' yang diperolehi dan siapakah mereka? Kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini kerana DAP mungkin membuat keputusan drastik tidak bersama Anwar membentuk kerajaan baru atas alasan tidak selesa dengan Umno.



Keputusan yang bakal dibuat DAP dan Umno akan memberi impak bukan sahaja peringkat Persekutuan malah mungkin ada perubahan kerajaan negeri tertentu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >