Kededua puterinya memberi beliau gelaran ‘Super Papa’.
Menurut Putri Nish, 16 tahun – puteri sulung Encik Imran Ahmad – gelaran itu sesuai kerana ayahnya dilihat sebagai “individu paling kuat” yang mampu mengatasi apa jua cabaran yang dilontarkan kepadanya.
Encik Imran bukan hanya ‘papa’ di mata Putri dan adiknya Dayang Dynaz malah memainkan pelbagai peranan lain – ada masa menjadi cef, kaunselor dan juga ‘bff’ atau teman baik mereka.
Pada masa yang sama, Putri dan Dayang akur bapa mereka itu juga berusaha sedaya mungkin untuk memenuhi kekosongan dalam hidup mereka yang kehilangan ibu pada usia kecil.
“Pada kami, beliaulah ibu, beliaulah ayah.
“Beliau juga tempat kami meluahkan perasaan dan beliau juga menjaga setiap keperluan kami,” akui Putri mengenai ayahnya yang berusia 47 tahun itu.
Ibunya meninggal dunia selepas melahirkan Dayang 14 tahun lalu akibat kesulitan yang dikenali sebagai embolisme cecair amniotik atau Amniotic Fluid Embolism (AFE).
Encik Imran mendirikan rumah tangga sekali lagi beberapa tahun kemudian, namun perkahwinan tersebut tidak kekal.
Sekitar empat tahun lalu, Encik Imran membesarkan kededua anaknya itu sebagai bapa tunggal.
Melihat daya tahan serta tekad bapanya melakukan yang terbaik sedaya mungkin untuk anak-anaknya, Putri mengambil keputusan untuk menulis e-mel kepada Berita Minggu (BM) baru-baru ini sebagai ‘hadiah’ Hari Bapa kepada Encik Imran.
“Saya beritahu beliau saya tak dapat belikan hadiah, jadi ini yang saya lakukan untuk mengiktiraf apa yang beliau telah lakukan selama ini,” katanya semasa ditemu ramah.
“Beliau seorang bapa yang baik, dan akan cuba sedaya upaya untuk memahami keperluan kami dan juga mendengar cerita-cerita kami,” kata Putri yang turut menambah bapanya itu akan sentiasa memastikan mereka cukup makan dan sering memasak di rumah.
Encik Imran, yang kini bertugas di Hospital Mount Elizabeth sebagai pengurus khidmat persekitaran, lazim memulakan harinya dengan melakukan kerja rumah – termasuk memasak untuk anak-anaknya – sebelum beliau ke tempat kerja.
Kerja rumah tersebut akan disambung selepas pulang dari kerja sekitar 7 atau 8 malam, dan beliau juga akan makan malam bersama anak-anaknya.
Ini penting bagi mereka kerana inilah peluang untuk berkongsi apa yang berlaku dalam kehidupan masing-masing, baik di kerja mahupun di sekolah, kata Encik Imran.
“Sibuk mana pun, saya akan pastikan makan malam mesti bersama, kerana ini peluang kami berinteraksi dan juga berkongsi pendapat.
“Satu lagi cara kita eratkan hubungan adalah dengan memasak dan juga membuat kerja rumah bersama. Ini merupakan sebab utama mengapa saya enggan mengambil khidmat pembantu rumah, supaya ia dapat menjadi aktiviti kami bertiga,” ujarnya.
Menurut Putri, bapanya itu pendengar yang baik dan mendengar dengan minda yang terbuka tidak kira apa topik yang dikemukakan.
“Ini termasuk topik-topik yang biasanya anak-anak akan kongsikan dengan ibu mereka,” kata Putri.
Kata Encik Imran, beliau cuba untuk memahami semua aspek kehidupan anak-anaknya.
“Ini termasuk bila ada timbul topik tentang ‘crush’ di sekolah, biasalah budak-budak,” katanya sambil tertawa.
Yang penting bagi Encik Imran adalah untuk melengkapkan mereka dengan asas yang kukuh dari segi agama dan budaya.
Inilah yang sedang beliau usahakan meskipun lebih mencabar bagi bapa tunggal sepertinya.
Katanya: “Kalau nak cakap, memang saya nak anak saya berjaya, tetapi kejayaan ini juga berbeza bagi semua, dan kejayaan juga boleh dicapai di kemudian hari.
“Tapi yang penting adalah asas ini yang akan menentukan keputusan yang mereka akan ambil pada masa akan datang dan ia juga boleh diturunkan kepada keluarga mereka.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg