Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Buku 'Nama saya Riz' sebar kesedaran tentang penyakit saraf

Bakal dilancar di Pesta Buku Melayu Singapura
Dec 06, 2022 | 05:30 AM



WALAUPUN pergerakannya terbatas dan menghadapi kesukaran untuk bertutur akibat penyakit saraf Motor Neuron (MND) yang melandanya sejak lebih empat tahun lalu, bekas pengacara, Riz Sunawan, atau nama sebenarnya Asri Sunawan, dapat menghasilkan buku yang bakal dilancarkan di Pesta Buku Melayu Singapura (PBMS) tidak lama lagi.



Buku dwibahasa yang berjudul Nama saya Riz. Saya ada Penyakit Motor Neuron diilhamkan oleh penulis tempatan Cik Hidayah Amin, yang telah juga mencetak empat buku lain dalam siri Saya Unik sebelum ini untuk menyebarkan kesedaran terhadap penyakit lain seperti autisme, palsi serebrum, diabetes jenis 1 dan Sindrom Down.



Kesemua buku-buku ini berdasarkan pesakit sebenar dan, kecuali Riz, kesemuanya pesakit kanak-kanak.



Menurut Cik Hidayah, pada mulanya, sukar untuk beliau mendapat persetujuan Riz untuk menulis tentang penyakitnya .



"Saya sarankan idea ini kepada Riz pada suatu hari ketika saya melawatnya di rumah. Pada awalnya, Riz agak keberatan, tetapi setelah beberapa minggu memikirkannya, dia menghantar mesej melalui Whatsapp memberitahu saya dia bersetuju," katanya.



Dengan persetujuan itu, Cik Hidayah turut mengusulkan pengacara selebriti, Khairudin Saharom, seorang arkitek dan juga pelukis buku kanak-kanak, untuk turut sama terlibat menghasilkan buku ini.



Kata Khairudin: "Apabila Hidayah beritahu saya tujuan buku ini, saya terus menerima tawaran itu kerana ini adalah peluang baik untuk beramal."



Bapa Riz, Encik Sunawan Dasari, 72 tahun, menyifatkan penyakit yang dilanda anak sulungnya itu membuatnya bergantung kepada pertolongan orang lain seperti anak kecil.



Pada 4 Oktober lalu, ibu Riz, Allahyarhamha Jamaliah Sujak, meninggal dunia dan ini telah menambah kesedihan buat keluarga ini, dan kemurungan buat Riz yang tidak dapat mendakap atau mencium jasad ibu tersayang.



Walaupun pelbagai cabaran yang harus ditempuhi, Encik Sunawan, yang telah bersara sebagai seorang penjawat awam pada usia 68 tahun sejurus Riz didiagnos, menghargai usaha-usaha teman-teman Riz untuk menghasilkan buku ini dan sering mendampinginya.



Kata Encik Sunawan: "Untuk menguruskan orang sakit dan keperluan rumah, walaupun dengan bantuan pembantu, sangat berat. Saya tidak pernah menganggap itu satu bebanan. Tetapi saya anggap ini amanah dari Allah untuk saya uruskan selagi ada tenaga dan kepanjangan umur dengan tabah hati."



Riz, yang baru saja menyambut ulang tahunnya yang ke-44 pada 30 November lalu, dilanda kemurungan akibat kehilangan beberapa orang yang dekat padanya, termasuk seorang teman rapat, ibu saudara dan ibunya.



Namun, dalam keadaan itu, buku yang sedang diusahakannya bersama Cik Hidayah memberinya kekuatan dan harapan untuk meneruskan perjuangannya.



Riz menggunakan sebuah alat peranti yang mengesan mata, 'Tobii', untuk membantu pesakit MND sepertinya berkomunikasi, namun sewaktu Berita Harian ke rumahnya untuk laporan ini, beliau menguatkan semangat dan bercakap dengan pihak kami.



Katanya: "Saya macam tak percaya kita berupaya menghasilkan sesuatu, mudah-mudahan ia akan menjadi pemangkin kepada semua yang ada cabaran, ada penyakit, ada masalah kehidupan, supaya jangan mudah berputus asa."



Menurut Cik Hidayah, buku bergambar setebal 32 muka surat dicetak dengan tulisan font khas, Dyslexie Font, yang direka untuk pembaca disleksia. Glosari pendek disertakan untuk menerangkan beberapa perkataan sukar yang digunakan dalam buku.



Khairudin menambah: "Kecekalan dan ketabahan Riz telah memberi inspirasi kepada ramai. Untuk dapat menceritakan kisah, emosi dan sifatnya melalui gambar dan warna adalah sangat memuaskan dalam perjalanan ini."



Semua kos penerbitan dan percetakan buku ini telah ditaja oleh bapa saudara Cik Hidayah, yang baru saja meninggal dunia sebelum dapat melihat hasil dari dermanya. Cik Hidayah amat terkesan dengan kerjasama ramai pihak yang ingin membantunya menghasilkan buku ini untuk Riz.



Pihak penjualan juga bersetuju untuk tidak mengambil komisyen penjualan buku dan semua hasil daripada penjualan akan disalurkan terus kepada Riz bagi menampung perbelanjaan perubatannya.



Pelancaran buku Nama Saya Riz. Saya Ada Penyakit Motor Neuron akan diadakan sempena Pesta Buku Melayu Singapura pada 4.30 petang di Wisma Geylang Serai pada 16 Disember ini. Presiden Halimah Yacob telah diundang untuk merasmikannya.




PESTA BUKU MELAYU SINGAPURA (PBMS) 2022



Tarikh: 16 Disember hingga 18 Disember



Lokasi: Persada Budaya, Wisma Geylang Serai



Tema:



◆ Menyemarak Minat pada Sastera;



◆ Menyantuni Kanak-Kanak;



◆ Bahasa dan Budaya Melayu




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >