Topik diikuti
Pergi ke BHkuBuku panduan baru mengenai pepatung, belalang jarum di S'pura
Buku panduan baru mengenai pepatung, belalang jarum di S'pura
Buku panduan baru mengenai pepatung, belalang jarum di S'pura
KETIKA awan mula terpisah di Taman Windsor, seekor pepatung berwarna merah jambu mengambil kedudukan di atas ranting menegakkan badan dengan ekornya mencanak ke langit.
Serangga itu mengambil kedudukan tersebut pada hari yang cerah bagi mengelak dari suhu yang panas, kata pakar ekologi, Encik Robin Ngiam, 47 tahun.
"Pepatung adalah serangga berdarah sejuk yang memerlukan tenaga matahari untuk kegiatan metabolik utama.
"Bagaimanapun, terlalu banyak sinar matahari boleh memudaratkan dirinya, jadi mengangkat badannya ke kedudukan seperti itu boleh membantu mengurangkan kawasan permukaan yang terdedah kepada haba," tambahnya.
Walaupun posisi "handstand" ini unik hanya bagi pepatung, Encik Ngiam berkata serangga ini sangat pelbagai dari segi tingkah laku dan bentuknya.
Sebagai contoh, pepatung 'blue dasher' ialah pepatung yang berwarna biru sianida dan ia menyelinap di sepanjang permukaan kolam pada waktu siang, manakala 'spear-tailed duskhawker', merupakan pepatung hijau yang aktif pada waktu senja,dan akan berehat di semak hutan yang tebal serta gelap pada siang hari.
Encik Ngiam berkata:
"Saya rasa bagi rakyat Singapura biasa, terdapat persepsi yang salah bahawa serangga secara keseluruhannya amat memudaratkan dan apabila anda melihatnya, anda perlu membunuhnya.
"Tetapi itu tidak benar, terutamanya dalam persekitaran yang lebih semula jadi di mana pepatung boleh menjadi pemangsa yang bermanfaat bagi serangga seperti nyamuk, di samping menjadi sesuatu yang sangat menarik dan berwarna-warni."
Di Taman Windsor seluas 75 hektar sahaja, pakar ekologi menganggarkan bahawa terdapat sekitar 50 spesies pepatung yang ada di sana.
Ini adalah lebih satu pertiga daripada 136 spesies pepatung dan belalang jarum (damselfly) yang ditemui di Singapura pada 2022.
Encik Ngiam menambah:
"Harapan saya ialah rakyat Singapura dapat melihat kegiatan memerhatikan pepatung sebagai satu cara untuk mengenali dan mendalami alam semula jadi dan menggunakan pepatung sebagai pintu masuk untuk mula menghargai dunia serangga."
Bersama penulis bebas, Encik Marcus Ng, mereka telah melancarkan panduan terbaru bagi kesemua 136 jenis pepatung bertajuk 'A Photographic Field Guide To The Dragonflies And Damselflies Of Singapore' di Perpustakaan Awam Geylang East pada 10 September lalu.
Buku setebal 340 muka surat itu mempunyai gambar berwarna-warni bagi setiap spesies yang diambil oleh peminat pepatung di sini dan disertakan dengan nota yang disertakan mengenai ciri-ciri dan sifat pepatung itu.
Panduan terakhir yang diterbitkan di Singapura adalah oleh Encik Tang Hung Bun pada 2010, apabila hanya 124 spesies direkodkan.
Encik Ng, yang merupakan penggemar pepatung, berkata baru-baru ini pepatung yang baru dikenal pasti di Singapura tidak direkodkan oleh pakar tetapi oleh penggemar biasa seperti dirinya.
"Mencari pepatung telah menjadi lebih mudah untuk dilakukan pada hari ini.
"Apa yang anda perlukan hanyalah kamera telefon mudah alih dengan lensa makro dan sepasang teropong," kata Encik Ng, 48 tahun.
Tambahnya, penggemar seperti beliau telah dapat mengenal pasti spesies baru dengan merujuk kepada panduan lapangan dan dengan bantuan daripada kumpulan minat pepatung di Facebook.
Meskipun begitu, Encik Ng akur bahawa kegiatan memerhatikan pepatung boleh membingungkan bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan hobi ini, di mana warna-warna cerah pepatung ini mudah dilihat namun untuk memahami secara spesifik tentang serangga ini mungkin sukar untuk mereka.
Memberikan nasihatnya Encik Ngiam, yang telah melihat pepatung dan belalang jarum sejak 2005, berkata:
"Cabaran itu boleh diatasi dengan mudah dengan kesabaran, memerhatikan perincian dan yang paling penting, minat mendalam terhadap dunia semula jadi.
"Ia boleh menjadi suatu perkara yang sangat memanfaatkan... dengan spesies baru untuk ditemui oleh pemerhati pepatung yang mungkin akan mula menghargai keperluan untuk pemuliharaan tanah lembap."
"Saya rasa bagi rakyat Singapura biasa, terdapat persepsi yang salah bahawa serangga secara keseluruhannya amat memudaratkan dan apabila anda melihatnya, anda perlu membunuhnya. "Tetapi itu tidak benar, terutamanya dalam persekitaran yang lebih semula jadi di mana pepatung boleh menjadi pemangsa yang bermanfaat bagi serangga seperti nyamuk, di samping menjadi sesuatu yang sangat menarik dan berwarna-warni... Harapan saya ialah rakyat Singapura dapat melihat kegiatan memerhatikan pepatung sebagai satu cara untuk mengenali dan mendalami alam semula jadi dan menggunakan pepatung sebagai pintu masuk untuk mula menghargai dunia serangga." - Pakar ekologi, Encik Robin Ngiam.
