KUALA LUMPUR: Seperti kembara Indiana Jones menjejak barangan purba, di Malaysia kisah pemburuan manuskrip Melayu lama bukan luar biasa. Namun, ada kala pemilik manuskrip itu yang akan cuba menjual pemilikan mereka kepada agensi kerajaan dengan harga tinggi.
Umumnya antara faktor yang diambil kira dalam meletakkan harga adalah usia manuskrip itu sendiri. Namun, bagaimanakah mengukur usia manuskrip?
Dalam ilmu pengajian Melayu terdapat satu istilah yang dinamakan sebagai kodikologi. Ia merujuk kepada ilmu kajian teks secara fizikal yang merangkumi kertas gunakan, dakwat, warna, penjilidan dan sejarah naskhah itu sendiri.
Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Muhammad Mustaqim Mohd Zarif, berkata untuk memastikan dakwaan sesebuah manuskrip itu tertua ataupun tidak, ilmu kodikologi perlu dipraktikkan.
Katanya, usia manuskrip tidak boleh ditafsirkan sewenang-wenangnya mengikut kefahaman sendiri ataupun berdasarkan ilmu arkeologi semata-mata.
“Dalam hal ini ilmu kodikologi bukan saja menentukan usia manuskrip itu tetapi juga siapa pengarangnya, bila manuskrip itu ditulis, apa kandungannya, apa rujukannya kerana kebanyakan manuskrip yang ada pada hari ini bukan lagi dalam keadaan yang baik,” katanya dalam siri Wacana Manuskrip Melayu Bil 4/2023: Menyingkap khazanah tersembunyi naskhah manuskrip Melayu yang disiarkan dalam laman sosial Perpustakaan Negara Malaysia.
“Bagaimanapun bukan semua manuskrip merupakan buku. Ada manuskrip yang bergulung-gulung malah ada yang berlipat ada yang berbentuk seperti kipas.
“Justeru, kodikologi ini penting kerana apabila manuskrip dibukukan, ia akan mempunyai banyak tafsiran. Jadi, sekiranya terdapat permasalahan perlu rujuk kembali kepada manuskrip.
“Kerana itu manuskrip asal masih perlu disimpan kerana buku yang diterbitkan adalah tafsiran pengkaji,” katanya.
Prof Dr Muhammad Mustaqim berkata, kodikologi dengan kata mudah adalah kajian keseluruhan ekosistem manuskrip tetapi bukan penyelidikan mengenai teks di dalamnya. Malah, kodikologi juga tidak melangkaui aspek transkripsi, kebolehbacaan, ragam hias, sejarah kepustakaan lebih penting lagi pemulihan dan katalog.
Menurutnya, hari ini semakin ramai pengkaji di Malaysia yang mengkaji kodikologi dengan antara aspek menjadi tumpuan mereka adalah ragam hias.
“Ragam hias ini memang menarik. Dalam keadaan tertentu hiasan ini ada persamaan. Contohnya ukiran di rumah.
“Ia menjelaskan tidak mustahil masyarakat yang sama menghasilkan manuskrip, jadi terlihat penggunaan konsep sama dalam menghasilkan ragam hias di manuskrip,” katanya.
Prof Dr Muhammad Mustaqim berkata, antara pendekatan kajian kodikologi yang lazim adalah arkeologi iaitu melalui deskripsi fizikal secara menyeluruh untuk memahami identiti sesebuah naskhah.
Selain itu, ia turut mengambil kira sejarah dengan analisis dalaman dan luaran untuk bina semula konteks naskhah serta struktur iaitu muka surat yang dihasilkan.
Tambahnya, kodikologi turut mengkaji penggunaan jenis kertas dan alat tulis. Namun, sesuatu yang nyata di alam Melayu, masyarakatnya tidak menulis manuskrip di atas belulang atau kulit haiwan misalnya lembu.
Hal ini, tegas Prof Dr Muhammad Mustaqim, disebabkan sebelum kedatangan Islam di alam Melayu terdapat pengaruh Hindu Buddha yang kuat.
“Jadi, tidak timbul isu penggunaan belulang kerana masyarakat zaman itu tidak makan haiwan dan menganggap kulit atau darah haiwan itu sebagai najis. Mereka menulis di atas daun kerana dianggap suci.
“Selain itu, kajian kodikologi akan melihat aspek penggarisan, susun atur halaman dan penjilidan serta iluminasi, ilustrasi dan rubrikasi (penggunaan kata, ayat atau kalimat),” katanya.
Tegasnya, skop kodikologi yang lain membabitkan identiti manuskrip seperti asal-usul naskhah, kuras, bentuk dan penghasilan muka surat, dakwat, pen tulisan dan simbol. Selain itu aspek sejarah membabitkan koleksi manuskrip, cop mohor, tarikh dan tanda semakan diambil kira, sekali gus menjelaskan bidang ilmu kodikologi terlalu luas.
Prof Dr Muhammad Mustaqim berkata, kajian kodikologi sangat penting bagi mengenal pasti dan menganalisis kaedah juga teknik dalam penghasilan manuskrip. Hal ini memudahkan urusan untuk mengkelompok dan mengindentifikasikan manuskrip berdasarkan tempoh masa dan lokaliti.
“Bila kita tahu teknik penghasilan manuskrip itu boleh letakkan manuskrip berdasarkan masa dan lokasi ia ditulis.
“Jadi secara umum kodikologi ini adalah pembinaan semula sejarah manuskrip dan buku yang menggambarkan keadaan sosial, ekonomi, intelektual, dan teknikal sesuatu bangsa secara tepat,” katanya.
Menyentuh mengenai kodikologi jawi, Prof Dr Muhammad Mustaqim berkata ia adalah ilmu berkaitan aspek fizikal manuskrip Melayu yang menggunakan huruf arab Melayu (jawi) sebagai asasnya.
Jawi katanya penting dalam takrifan Melayu kerana ia menjadi identiti penting manuskrip hinggakan tanpa jawi tiadalah manuskrip Melayu.
Mengulas lanjut, beliau berkata kepentingan kodokologi jawi dalam kajian manuskrip Melayu adalah untuk menggambarkan maklumat mengenai aspek fizikal naskhah secara tepat dan konsisten.
Dalam sesetengah kes katanya, kajian kodikologi bukan saja mampu mengenal pasti tarikh manuskrip itu ditulis tetapi juga disebabkan sifat manuskrip Melayu yang tidak memaparkan nama pengarang asal, dengan ilmu kodikologi ia mampu diungkapkan.
“Malah kita boleh mengenal pasti siapa pengarang, siapa penyalin dan tempat ia dihasilkan.
“Semua informasi ini akan membantu dalam meletakkan manuskrip Melayu itu pada konteks yang betul serta menilai dan mengesahkan tarikh dan asal usul geografi sesebuah manuskrip,” katanya.
Rencana ini dari Berita Harian Malaysia tulisan Azhar Shahrulnizam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg