Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Kelebihan dan keterbatasan teleperubatan

Sep 26, 2022 | 05:30 AM



"MAK saya sakit tapi dia tak mau keluar rumah. Boleh tak doktor datang merawat?"



Inilah pertanyaan yang sering saya dengar dalam rawatan harian.



Jawapan saya kepada mereka adalah "boleh".



Kita boleh menggunakan kaedah teleperubatan untuk melihat keadaan emaknya terlebih dahulu dan saya akan menasihati mereka selanjutnya.



PERUBATAN JARAK JAUH



Kaedah teleperubatan merupakan satu kaedah perubatan yang sangat menarik dan mampu membantu 'mengurangkan' jarak jauh pesakit dengan doktor.



Perkataan 'tele' berasal dari bahasa Latin yang bermakna 'dari jauh' dan kalau kita cantumkan perkataan 'tele' dengan 'perubatan', ia akan bermakna rawatan atau perubatan dari jarak jauh.



Sebenarnya, rawatan dari jarak jauh sudah lama diamalkan dan bermula semenjak telefon dicipta.



Kita selalu mengadu masalah kita menggunakan telefon dengan anggota keluarga kita dan para karyawan kesihatan juga menggunakan kaedah ini untuk mengendalikan pesakit.



Cara begini hanya menggunakan satu sahaja daripada pancaindera kita iaitu pendengaran.



Walaupun kita tidak dapat melihat orang yang bercakap, ia mampu untuk menyampaikan masalahnya dari jauh dan memudahkan perbincangan.



Kelajuan Internet yang cepat dan yang boleh memuatkan lebih banyak data seperti video telah menghasilkan kaedah di mana penggunakan 'videocall' sudah menjadi perkara biasa.



Wabak Covid-19 juga telah mempercepatkan penerimaan kaedah ini untuk dijadikan sebagai sesuatu yang boleh membantu pesakit dan doktor dalam menangani penyakit yang dialami.



Apakan tidak, alangkah senangnya kalau kita dapat 'berjumpa' dengan doktor di rumah kita!



PENGALAMAN MENGGUNAKAN TELEPERUBATAN



Dalam pengalaman saya semasa menggunakan kaedah ini, banyak penyakit yang telah dapat saya pastikan. Sebagai contoh penyakit angin ahmar, 'bell's palsy' dan penyakit kulit. Ini selain dari penyakit biasa seperti flu atau demam.



Menurut kajian yang dibuat oleh doktor keluarga di Amerika Syarikat, mereka mendapati kaedah perubatan ini mampu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dalam bidang penjagaan luka, psikiatri dan keadaan penyakit kronik tertentu.



Ia juga boleh meningkatkan kadar rasa puas hati pesakit dalam rawatannya dan mengurangkan kos dan penggunaan perkhidmatan kesihatan.



Bagaimanapun, ada juga penyakit yang susah untuk ditentukan dengan kaedah videokonsultasi kerana ia lebih rumit dan memerlukan kita menyentuh pesakit.



Ada kalanya juga kualiti video dan suara kurang memuaskan sehingga susah untuk melihat masalahnya.



UNSUR-UNSUR PERUNDANGAN



Walaupun kaedah ini sudah digunakan sekian lama, ada juga perkara-perkara yang perlu dikupas dengan lebih terperinci.



Sebagai contoh, jika pesakit dan doktor berada di negara lain, siapakah yang akhirnya bertanggungjawab jika masalah berlaku sesudah rawatan dijalankan.



Pihak kementerian kesihatan sudah pun menyarankan para doktor yang bergiat dalam kaedah perubatan ini untuk dimasukkan dalam senarai teleperubatan (https://www.moh.gov.sg/home/our-healthcare-system/licensing-experimentation-and-adaptation-programme-(leap)-a-moh-regulatory-sandbox).



Sebagai kesimpulan, kaedah perubatan ini sangat menarik dan dapat membantu pelaksanaan rawatan pesakit dengan doktor.



Batasan-batasan yang sedia ada perlu diakui oleh kedua-dua pihak supaya tidak menjadi perkara yang dipertikaikan sesudah rawatan.



Sama seperti telefon yang digunakan seharian, teleperubatan mampu untuk menjadi kaedah yang mengeratkan perhubungan di antara pesakit dengan doktor.



  • Penulis ialah doktor keluarga dan pengarah perubatan Myhealth Medical Centre. Beliau merupakan anggota Kumpulan Kerja Utama Pelaksanaan Healthier SG serta Panel Penasihat Pengamal Am Nasional.


FAKTOR PENERIMAAN KAEDAH TELEPERUBATAN BOLEH DIBAHAGI KEPADA:



FAKTOR PESAKIT



Untuk menggunakan kaedah teleperubatan, para pesakit memerlukan telefon bimbit yang mempunyai kamera dan jaringan Internet yang bagus.



Mereka juga boleh menggunakan komputer yang mempunyai kamera dan suara tapi penulis melihat ramai yang mendapati lebih senang untuk menggunakan telefon bimbit mereka.



Para pesakit juga perlu tahu bagaimana untuk menggunakan kaedah 'app' yang membolehkan perbincangan melalui video.



Istilah di atas dapat kita rangkumi dengan istilah celik digital di mana para pesakit tahu cara untuk menggunakan teknologi yang sedia ada.



Saya memperhatikan bahawa lebih ramai mereka yang berusia 40 tahun ke bawah sudah selesa menggunakan kaedah ini.



Bagi mereka yang kurang mahir, ada juga yang memerlukan anggota keluarga mereka yang lebih celik digital dalam menggunakan teknologi ini untuk memudahkan ahli keluarga yang lebih berusia untuk menggunakan kaedah teleperubatan.



Kaedah teleperubatan juga bagus digunakan jika para pesakit khuatir untuk dijangkiti penyakit yang berjangkit atau mereka sendiri mempunyai penyakit yang senang berjangkit seperti Covid-19.



CARA PENYAMPAIAN



Setelah mengatasi cabaran untuk menggunakan teknologi, ada juga isu yang muncul semasa menggunakannya.



Para pesakit perlu untuk menghadapkan kamera mereka kepada diri sendiri atau di bahagian badan yang bermasalah dan kadangkala ia sukar kerana posisi kamera hanya di belakang telefon bimbit sahaja.



Suasana yang bising juga akan menjejas kualiti suara yang disampaikan sehingga perlu ditanya berkali-kali.



Penulis menyarankan para pesakit untuk berada di tempat yang sunyi supaya lebih senang untuk berkomunikasi.



Para pengguna juga boleh menggunakan 'earphones' atau alat dengar untuk mendengar dengan lebih jelas.



Penulis menggunakan 'airpods' bluetooth yang bercantum dengan telefon bimbitnya supaya dapat mendengar dengan lebih jelas.



Penulis juga menasihati para pengguna untuk pergi ke tempat yang tidak ada ramai orang supaya dapat membincangkan perkara peribadi dengan lebih mudah.



FAKTOR DOKTOR



Para doktor juga harus selesa dengan menggunakan kaedah ini. Selain daripada pengetahuan celik digital, ada juga doktor yang mementingkan privasinya.



Mereka merasa keberatan memberi nombor peribadi mereka kepada pesakit dan mengatakan mereka hanya boleh dihubungi semasa waktu kerja.



Penulis pula menyediakan telefon bimbit klinik yang hanya boleh dihubungi semasa waktu kerja klinik.



Doktor juga boleh merasa mereka tidak dapat memberikan rawatan sepenuhnya dibandingkan dengan konsultasi bersua muka.



Jika ada sesuatu yang mereka tidak dapat kesan yang menyebabkan keadaan pesakit lebih parah, apakah tanggungjawab mereka dalam perkara ini?




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >