APABILA sumber terhad, maka pilihan sukar dibuat.
Ini amat jelas dalam sektor jagaan kesihatan di negara ini yang berusaha mengekang kos yang kian meningkat sedang ia berusaha memenuhi keperluan penduduk.
Dalam usahanya mengawal kos, Kementerian Kesihatan (MOH) telah mengalihkan tumpuan kepada rawatan barah, di mana perbelanjaan ke atas ubat semakin meningkat menyusuli penduduk Singapura yang kian menua serta ubat-ubatan baru yang diperkenalkan.
Mulai bulan depan, perubahan kepada MediShield Hayat - skim insurans kesihatan nasional - akan membantu lebih ramai pesakit barah membayar kos rawatan mereka.
Namun ini bermakna kos perlindungan bagi sesetengah pesakit yang memilih rawatan yang dianggap tidak disahkan secara klinikal dan tidak berkesan, akan berkurang.
Ini mungkin melibatkan mereka yang telah mencuba beberapa rawatan tanpa jaya, tapi masih mengharapkan penyembuhan.
Perubahan
Pada masa ini MediShield Hayat membenarkan tuntutan sehingga $3,000 sebulan bagi semua rawatan barah pesakit luar dan khidmat yang berkait, seperti ujian darah.
Tetapi mulai bulan depan, MOH akan menyenaraikan ubat barah, dengan peraturan tertentu tentang bagaimana ubat-ubat itu boleh digunakan dalam rawatan.
Ubat-ubat itu telah disahkan secara klinikal dan berkesan dari segi kos.
Orang ramai hanya boleh membuat tuntutan bagi MediShield Hayat - bagi jagaan barah pesakit luar - sekiranya rawatan mereka tersenarai.
Memandangkan ubat dalam senarai tersebut terkait dengan rawatan tertentu, sebarang penggunaannya yang tidak dinyatakan tidak akan dilindungi.
Perubahan kedua melibatkan had tuntutan ubat barah.
Daripada had bulanan sebanyak $3,000, had tuntutan bagi ubat dalam senarai MOH kini dalam anggaran $200 hingga $9,600 sebulan.
Menurut laporan The Straits Times (ST) tahun lalu, sekitar 90 peratus ubat barah yang kini digunakan dalam sektor awam akan disenaraikan.
Dua pertiga akan mendapat subsidi, sedangkan bakinya - yang mungkin tidak berkesan secara kos atau didaftarkan dengan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan ia kerap digunakan - tidak akan mendapat subsidi.
Had tuntutan bagi ubat tanpa subsidi akan menjadi lebih rendah berbanding masa kini, dalam usaha menggesa orang ramai supaya seberapa boleh, membuat pilihan yang lebih berkesan dari segi kos.
Perubahan ini akan dapat membantu Singapura berunding dalam usaha mendapatkan harga ubat yang lebih baik dengan syarikat farmasi.
Apabila perubahan berkuat kuasa bulan depan, hampir 90 peratus pesakit warga Singapura yang diberi subsidi dan memilih rawatan barah yang berkesan dari segi kos, dan disahkan secara klinikal, akan berpeluang melihat bil-bil mereka dilindungi sepenuhnya menerusi subsidi bercampur - MediShield Hayat dan MediSave.
Tidak dapat dipastikan berapa ramai pesakit bersubsidi yang memilih ubat yang tidak disahkan secara klinikal atau berkesan secara kos, atau berapa ramai dalam kumpulan ini mempunyai bil yang dilindungi sepenuhnya buat masa kini.
Kesannya
Perubahan kepada kriteria tuntutan akan dapat tangani isu kos rawatan barah yang terus meningkat dengan menggesa pesakit agar mendapatkan rawatan yang berkesan dari segi kos.
Pakar ekonomi Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Chia Ngee Choon, memberitahu ST bahawa langkah terbaru itu akan memenuhi jurang maklumat yang mungkin diinginkan pesakit barah mengenai rawatan yang dilalui.
"Pada masa ini pesakit barah dan anggota keluarga mereka biasanya membayar rawatan tidak kira harga.
"Mereka juga akan memaksimumkan had tuntutan insurans mungkin kerana berpandangan bahawa ubat yang lebih mahal lebih baik kesannya.
"Lantas sekiranya jika adanya senarai ubat yang disahkan secara klinikal dan berkesan dari segi kos, ini akan dapat mengurangkan jurang maklumat tersebut," katanya.
Pada masa ini pesakit barah dan anggota keluarga mereka biasanya membayar rawatan tidak kira harga. Mereka juga akan memaksimumkan had tuntutan insurans mungkin kerana berpandangan bahawa ubat yang lebih mahal lebih baik kesannya. Lantas sekiranya jika adanya senarai ubat yang disahkan secara klinikal dan berkesan dari segi kos, ini akan dapat mengurangkan jurang maklumat tersebut. - Profesor Madya Chia Ngee Choon, Pakar ekonomi Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura (NUS).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg