Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Dari madrasah ke aliran sekular, kini jadi pelajar cemerlang ITE

Jul 28, 2023 | 05:20 PM



Memandangkan beliau sudah menuntut dalam sistem madrasah sepenuh masa selama sedekad, Irfan Idraki Kamalruzaman pada mulanya bimbang dan agak takut untuk bertukar ke sekitaran sekular khususnya di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), gara-gara stigma yang sering dikaitkan dengannya.

Namun, salah tanggapan itu diperbetulkan setelah Irfan menjalin lebih banyak persahabatan dan mengenali rakannya dengan lebih mendalam, termasuk yang berbangsa lain.

Ternyata, pelajar ITE tidaklah seperti yang digambarkan orang luar, kerana mereka juga pelajar biasa yang datang daripada latar belakang berbeza, kata Irfan yang akhirnya mendapati pendidikannya di ITE amat bermanfaat.

Berkat kesungguhannya dalam pelajaran, Irfan merupakan antara lulusan terbaik di ITE, malah dianugerahkan dengan Pingat Emas Tay Eng Soon, khusus buat pelajar yang cemerlang dalam kursus mereka, melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum dan menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan kolej.

Irfan, yang sebelum ini mengambil Nitec Lanjutan dalam Pengurusan Perkhidmatan di Kolej ITE Barat, juga cemerlang dari segi akademik dan berada di Senarai Pengarah selama tiga penggal dari 2021 hingga 2022.

Bersyukur atas pencapaian ini, belia berusia 19 tahun itu berkongsi bahawa ia juga membawa makna lebih mendalam buat dirinya, yang ingin membuktikan kepada ibunya bahawa dia juga mampu berjaya dalam sekitaran sekular.

“Sebenarnya impian ibu saya adalah untuk saya lanjutkan pelajaran dalam aliran ukhrawi dan menjadi ustaz... tetapi saya memberitahu beliau saya ingin belajar sesuatu yang lain.

“Beliau okey dengan keputusan saya dan amat menyokong dari hari pertama, asalkan saya mempunyai minat dan boleh belajar,” ujar Irfan yang menghargai dorongan yang diberi ibunya untuk memburu cita-citanya sendiri.

Sejak bapa Irfan meninggal dunia ketika dia berusia tiga tahun, Irfan berkata bukan mudah bagi ibunya untuk membesarkannya dan tiga adik-beradik yang lain.

Justeru, Irfan juga terdorong untuk berjaya dalam pelajaran agar dapat mengikuti jejak kakak-kakaknya yang menggenggam segulung ijazah.

Irfan berkata detik yang menyedarkannya adalah apabila keputusan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’-nya mengecewakan dan tidak melayakkannya untuk menyambung pelajaran ke politeknik yang diidamkannya.

Menggunakan detik itu sebagai pembakar semangat, anak bongsu empat beradik itu berkata:

“Saya berusaha lebih untuk belajar... saya belajar hampir setiap hari. Saya juga menjadi lebih proaktif kerana di sekolah menengah saya selalu malu.

“Di ITE, saya sedar bersifat malu tidak akan bantu saya mendapat gred lebih baik. Justeru, saya lebih proaktif di ITE, saya asyik bertanya soalan sekiranya saya tidak pasti akan sebarang konsep atau teori yang dipelajari,” tambahnya.

Irfan kini menuntut jurusan pembangunan masyarakat di Politeknik Ngee Ann dan bercita-cita untuk kembali ke ITE untuk menjadi pensyarah bidang sosial.

“Berusaha gigih dan jangan putus asa. Walaupun anda hadapi cabaran, ia adalah sementara dan ini boleh diatasi dengan usaha anda. Ia bukan mudah tetapi boleh dicapai,” nasihatnya. – NUR HUMAIRA SAJAT




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >