Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

CERPEN

Dayung Di Tangan

Jul 02, 2023 | 05:31 AM



“Apa yang aku cakap ini jujur.” Itulah kata-kata yang dilontarkan kepada aku. Kata-kata yang terus berngiang-ngiang di fikiran aku. Sambil aku melontarkan pandangan aku ke luar jendela. Panorama yang indah mengelilinginya. Namun sedikit masa dahulu landskapnya tidak seindah kini.

Selama ini aku menghormatinya. Malah tidak teragak-agak aku mengakui yang aku menjunjunginya. Mengagung-agungkannya. Serta mengangkat-angkatnya. Menaikkan martabatnya sehingga ke persada hati aku.

Menjulang setiap kata yang keluar dari kerongkongnya.

Setiap katanya itu adalah bicara mukjizat. Hikmah yang perlu dikutip satu persatu. Keramat yang wajib dihormati dan disanjungi. Kerana dia lebih tahu. Dia lebih berpengalaman. Dia lebih jauh ke hadapan daripada aku. Maka itu lebih arif dan lagi bijaksana.

Dalam pengiraanku, sudah tentu dia sudah berpuluh-puluh kali mengharungi lautan dalam. Berdepan dengan gelombang besar. Mungkin juga sudah mengharungi tsunami yang membadai.

Tidak seperti aku. Baru sahaja mahu berjinak-jinak dengannya. Baharu sahaja ingin menggapai pendayung. Malah belum lagi merasai arus gelombang walaupun kecil setotek. Malah ilmunya juga aku kira luas. Itu sebab aku sanggup datang berjumpanya walaupun terpaksa berlutut di depannya. Meminta simpati. Mendapatkan belas ihsan yang setimpal. Buah fikiran yang dapat memangkinkan aku memacu di lebuh raya yang bakal aku rentasi.

“Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga,” kata-kata yang dilontarkannya kepada aku. Dengan membeliakkan mata. Aku terpinga-pinga. Tercengang-cengang seketika. “Engkau itu kelapa muda tidak berminyak,” tambahnya lagi. “Semuanya akan gagal’, getusnya pula. Dengan sindiran yang panjang.

“Engkau hendak naik tangga pun payah. Engkau tahu, rata-rata bangsa kita tidak ada inisiatif walhal lif ada. Tidak perlu menaiki tangga,” tukilnya pula. Sambil ketawa sinis. Terasa seperti dia memberi aku syarahan yang panjang lebar.

“Engkau tidak seperti aku,” sindirnya pula. Membandingkan keupayaannya dengan keupayaan aku. Walaupun dia tidak pernah melihat keupayaan aku.

“Kejayaan antara kita, antara langit dengan bumi.” Dia membuat satu perbandingan yang angkuh. Sambil terus mengherdik aku dengan kata-kata yang keras dan tidak beralas.

Membandingkan kejayaannya dengan kejayaan aku. Walhal dia tidak tahu sedikitpun akan kejayaan aku. “Sudahlah, engkau tidak perlu berangan-angan macam mat jenin. Nanti yang engkau dapat hanya taik ayam. Engkau itu baru bertatih hendak berlari, tersembam,” katanya sebagai penutup bicaranya. Sambil ketawa. Menampak gigi emasnya yang berkilau.

Seolah-olah mahu memandang rendah akan kebolehan aku. Seolah-olah aku tidak mempunyai kemampuan untuk berjaya. Seolah-olah di dahi aku sudah terpahat kata ‘gagal’. Berukiran dengan khat ‘Melayu cepat puas’.

Aku terus mendiamkan diri. Tapi bukan kerana tunduk kepala bukan untuk dipijak. Hanya mahu membiarkan dia bermaharajalela dengan kata-katanya yang dianggapnya pandangan yang bernas.

Dia mengaku dirinya jujur. Ingin membantu masyarakatnya maju. Bergerak ke depan. Bersama dan seiring dengan bangsa lain. Ingin mengajar anak bangsanya erti sebenar ‘bersaing’ dan ‘tidak menyerah’. Sanggup menghulurkan tangan sebagai pelampung penyelamat buat bangsanya.

Dia sendiri mengakui. Pengakuan yang dibuat adalah ikhlas. Semua ujarannya adalah daripada fikiran yang tajam dan kritis. Katanya berapi-api. Namun ini bukan pertama kali dia berkata begitu kepada aku.

Sudah berkali-kali sejak dia mengetahui rancangan aku. Pada pandangan aku, dialah orang yang paling jujur dan terbuka yang dapat membantu aku. Tapi aku tahu semua kata yang dilontarkan itu mempunyai makna di sebaliknya. Kilat di dalam kilau, kabus di dalam hujan.

Aku akui, aku baru sahaja belajar untuk bertatih. Walaupun aku sudah mempunyai perniagaan yang utuh dan mampu berdaya tahan serta bersaing dengan peniaga-peniaga lain. Tetapi aku tetap memerlukan bantuan. Aku mahu terus maju. Berkembang dan berjaya melangkaui batasan kepuasan yang selalu dikaitkan dengan peniaga Melayu. Kata-kata yang bersifat stereotaip yang sinis.

“Engkau tidak akan berjaya,” katanya dengan lantang. Tanpa berselindung. “Engkau punya masalah besar,” tambahnya lagi. Membuat satu tuduhan yang aku sendiri tidak tahu mengapa. Aku cuba merenung sejenak akan kata-katanya itu. Cuba mencari apakah maksud masalah besar itu. Dan apakah puncanya.

Aku menjadi tenggelam punca dengan frasa ‘masalah besar’. Apa yang dia maksudkan itu. Frasa ‘masalah besar’ itu menjadi satu kebobrokan buat aku. Adakah kerana ‘masalah besar’ ini aku menjadi ketinggalan. Tidak mampu bersaing. Tidak kompetetif dengan yang lain.

“Engkau suka berlepak walaupun dalam perniagaan,” getusnya. Membuat aku terpinga-pinga lagi. “Begitu mudah bersikap puas dengan apa yang dikecapi,” tambahnya lagi.

Kali ini bersungguh-sungguh. Menstereotaipkan aku dengan pandangan kunonya itu. Walaupun aku adalah generasi baharu usahawan.

“Malah orang-orang engkau tidak mahu berlumba-lumba menggarap peluang niaga sepenuhnya,” herdikannya kepada aku. Dengan skeptikal. Kali ini benar-benar mencabar maruah aku dan cuba mengaibkan keazaman aku.

“Benar kata orang, orang-orang engkau tak boleh lihat orang lain berjaya. Jika ada seorang yang berjaya, mulalah yang lain mahu menjatuhkannya. Sikap hasad dengki dan rasa iri hati ini begitu menebal dari dulu hingga sekarang,” terangnya.

Menyalahkan sikap orang-orang Melayu sehingga payah untuk berjaya dalam dunia perniagaan. Tapi aku akui akan kata-katanya itu akan sikap cemburu dan iri hati yang wujud dalam kalangan golongan usahawan dan peniaga.

Semua orang ingin berjaya. Tapi sikap ini bukan hanya tertanam dalam kalangan orang-orang Melayu sahaja seperti yang digembar-gemburkan olehnya, malah bangsa lain juga sama. Sikap mahu menjatuhkan mereka yang berjaya tetap bertahta di jiwa mereka.

Aku akui memang pandangan yang negatif ini telah menghalang orang-orang Melayu untuk maju ke hadapan dalam dunia perniagaan. Sikap mengakui bahawa beras secupak tidak akan menjadi segantang juga menjadi penghambat bagi kemajuan peniaga-peniaga Melayu.

Pemikiran ini terus membelenggu orang Melayu. Sikap meragui keupayaan sendiri ini secara langsung menjadi tembok yang menghalang peniaga-peniaga Melayu untuk berjaya. Namun dia lupa akan sejarah. Lalu aku mula bersuara setelah lama mendiamkan diri.

“Pandangan Tuan ini tidak benar.” Aku mulakan mukadimah aku. Dia kelihatan terkejut.

“Sejarah telah membuktikan bahawa peniaga-peniaga Melayu juga mempunyai legasi keusahawan seiring dengan bangsa lain. Usahawan dan peniaga ini boleh dibanggakan oleh semua orang dan dijadikan model ikutan.” Kata aku berterus terang.

“Tidakkah Tuan tahu akan orang-orang ini. Hajah Fatimah Sulaiman, Haji Ambo Soolo Haji Omar, Haji Hashim Haji Abdullah, Haji Bustami Karim Amarullah, Raja Siti Kraeng Chanda Pulih dan Wak Tanjong!” Aku menyenaraikan nama-nama yang boleh dibanggakan oleh orang-orang Melayu. Dia hanya mendiamkan diri.

Sambil memegang cawan berisi kopi. Aku dapat melihat reaksinya yang tidak kena.

“Mereka mempunyai visi dan pandangan niaga yang progresif. Mereka tidak hanya menumpukan terhadap perniagaan tradisional tetapi mencari peluang dan mempelbagaikan perniagaan mereka dalam industri perkhidmatan, perkilangan, hartanah, perkapalan, broker, media dan penerbitan. Malah atas usaha mereka ini, Singapura menjadi pusat penerbitan dan media penting ketika itu.”

Aku menangkis segala pandangan negatif yang pernah dilontarkan kepada aku sebentar tadi.

Stigma melabelkan kesungguhan aku sebagai sesuatu yang mustahil. Yang hanya menuju ke arah kegagalan.

Kejayaan aku dilhat dengan sinis dan sindiran. Pelbagai lontaran kata-kata nista membaluti keupayaan aku. Namun sikap berani mengambil risiko membuktikan tentang keupayaan aku sebagai seorang anak Melayu yang berwawasan dalam dunia perniagaan.

Kini sebuah gedung hab sudah berdiri megah di tengah-tengah kota Dubai.

BIODATA PENULIS


Yazid Hussein seorang guru yang aktif dalam bidang penulisan kreatif dan kritikan. Beliau penerima Anugerah Persuratan Melayu (2017) dan pemenang hadiah utama peraduan ‘Mencari Kristal’ (2016).

Merupakan juga Tokoh Muda Mas (2007).

Buku-buku terbarunya ialah ‘Murad Mati: Kumpulan Sajak’, ‘Benua Sepi: Kumpulan Cerpen’, ‘Anna Hidayah: Kumpulan Drama’, Esei Dunia Penulisan Singapura’ dan novel ‘Felipus Planiceps’.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >