APABILA masyarakat Melayu/-Islam tidak dapat berkunjungan pada Hari Raya Aidilfitri lalu, sekumpulan doktor Melayu/Islam bersatu menghasilkan sebuah video untuk mendekati masyarakat.
Menerusi video lebih tiga minit itu, mereka menjelaskan sebahagian sebab larangan berkunjungan harus dipatuhi, iaitu bagi melindungi golongan lebih mudah terjejas oleh Covid-19, termasuk warga emas, kerana bahaya bagi mereka keluar rumah atau menerima tetamu.
Mereka turut menerangkan tentang kelonggaran bagi dua orang daripada keluarga sama melawat ibu bapa atau datuk nenek mulai 2 Jun, selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19.
Antara doktor yang tampil dalam video itu ialah presiden Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, yang mengingatkan masyarakat agar memakai pelitup, memastikan jarak selamat sekurang-ku-rangnya semeter, mencuci tangan dan mengelak bersalaman, bercium tangan dan berpelukan, lebih-lebih lagi dengan warga emas.
Bagi Dr Zuraimi, ini satu cara mereka berusaha menyampaikan mesej dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keadaan dan perkembangan Covid-19 di Singapura.
Menurutnya, ada usulan daripada sesetengah pihak sebelum ini agar membenarkan masyarakat berkunjungan semasa Aidilfitri.
"Namun sebagai doktor, kami tidak bersetuju kerana selagi negara belum dibuka semula dan sekatan terus dilaksana, kita harus ikut.
"Seminggu kemudian apabila Fasa Pertama (pembukaan semula) bermula, barulah orang ramai dibenarkan melawat ibu bapa atau datuk nenek mereka dan itu pun terhad pada dua orang daripada isi rumah sama.
"Kami percaya apa jua langkah yang diambil perlu mengikut langkah nasional dan negara harus dibuka semula secara bertahap dan perlahan-lahan untuk mengelak penularan lebih meluas," kata Dr Zuraimi.
Beliau menambah bahawa adalah penting juga usaha mengingatkan masyarakat bahawa kehidupan selepas Covid-19 tidak akan sama dengan sebelum ini, dan pentingnya membuat penyesuaian.
Ini meskipun selepas vaksin Covid-19 berjaya dihasilkan nanti.
Ini kerana usaha memastikan keselamatan vaksin itu akan memakan masa beberapa tahun dan terdapat laporan adanya jenis lain koronavirus itu.
Namun, menurut Dr Zuraimi, Singapura kini lebih bersedia menangani keadaan ini berdasarkan pengalamannya sejauh ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg