Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

CERPEN

Dua orang pemabuk dan sebuah malam yang basah

Aug 06, 2023 | 05:31 AM



PETER AUGUSTINE GOH

(i)

Di hujung kaki lima sebaris kedai itu Tahaj dan Kurub tersedar. Tersedar daripada satu keadaan yang mamai. Mamai yang merupakan satu tidur yang panjang berulit mimpi. Mimpi ngeri yang terhimpun seikat pengalaman payau yang amat mengusik jiwa. Benar-benar menggigit pedih bisa pangkal rasa. Mereka kebodoh-bodohan sambil terus berbaring lemah. Keringat membintiki dahi. Saling berpandangan antara satu sama lain. Terasa degupan jantung yang amat rancak di dada masing-masing.

(ii)

Tahaj menunggu Kurub di sebuah kedai kopi. Dia disuntik keresahan. Manakan tidak, kerana Kurub tidak pernah lambat. Entah macam mana, Sabtu malam itu dia lambat sedikit. Lambat setengah jam bagi Tahaj sudah dikira lambat amat.

Di tengah-tengah pelanggan yang agak ramai itu, Tahaj memesan sebotol minuman berwarna kuning berbuih putih. Dituangnya perlahan-lahan minuman ke dalam sebiji gelas yang berair batu. Disisipnya lega. Matanya melihat ke sekeliling. Kemudian terpaku ke sebungkus kacang tanah panggang yang belum dibukanya lagi di atas meja bundar di satu sudut kedai kopi. Akan dibukanya apabila Kurub tiba nanti. Akan sama-sama mengunyah sambil dibasahi minuman kesukaan mereka. Sekejap lagi sampailah dia, bisik hati kecil Tahaj. Fikirannya amat dalam. Dalam amat memikirkan satu rancangan yang bakal dilaksanakan bersama Kurub dalam masa terdekat kelak. Di luar kedai kopi itu, hujan rintik-rintik sudah mula berubah menjadi kasar.

Bercakap tentang kasar, ada semacam suara kasar mengejutkan Tahaj lima minit kemudian.

“Maaf, aku terlambat. Gaduh dengan bini aku di rumah tadi,” pinta Kurub sambil menarik sebuah kerusi damar lalu melabuhkan punggungnya, menghadap kawan lamanya itu. Ah, lupakan hal aku dengan bini aku. Sudah lali. Tersenyum tawar. Hmmm... Masih sibuk berfikir nampaknya.” Sempat dia memberikan isyarat kepada pelayan perempuan muda berkulit cerah bermekap tebal untuk membawa sebiji lagi gelas.

“Manakan tidak, Kurub. Rancangan kita itu akan tetap kita teruskan tapi dengan penuh hati-hati. Aku akan panggil si Milaz sekali...

“Milaz sekali?”

“Ya,” sahut Tahaj cepat. Rancangan kita ini memerlukan lebih banyak mata dan kaki. Kita tak mampu gagal. Silap hari bulan, habis kita.” Keras dan tegas kata-kata Tahaj meskipun dalam nada suara yang rendah kerana kata orang, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

(iii)

Minuman berbuih itu diteguk macam tiada lagi hari esok. Sudah berbotol-botol, tapi mereka sempat berjenaka di mana mereka tidak banyak minum, kerana gelas tetap sebiji. Sebiji gelas dan berbotol-botol amat jauh bezanya. Oleh itu mana ada minum banyak! Kulit kacang tanah cap tangan tersohor itu kelihatan bersepah di atas meja. Dan lebih menggelikan hati mereka, apabila Tahaj sempat mencelah seperti biasa, bukan kacang yang melupakan kulit, tapi kulit yang sebaliknya. Rela berpisah apabila ada orang kaki botol macam mereka. Ralat, lebih tepat, kaki sebiji gelas yang setia. Setia gelas sebiji dan berbotol-botol minuman berbuih berpisah tiada.

(iv)

Kilat bagaikan menyiat-nyiat langit. Guruh sesekali menjerit-jerit di kejauhan. Selepas 10.30 malam, di bawah undang-undang, pelanggan dilarang meneruskan aktiviti yang amat digemari itu. Minum kopi boleh. Minum teh pun boleh. Semua jenis minuman boleh. Asalkan bukan minuman yang memerlukan hanya sebiji gelas tapi berbotol-botol itu. Ya, ditegah sama sekali. Kalau masih terus ingkar pekat, diri boleh tergeliat dan hukumannya pasti membebat.

Kilat dan guruh yang menemani hujan yang terus menikami bumi, bagaikan turut mengusir mereka berdua untuk pulang. Pulang? Manakan mungkin. Keadaan yang begitu memamaikan dan langit yang terus bocor, tidak mengizinkan. Yang hanya mengizinkan mereka untuk berlepak saja dan melelapkan mata sementara hujan reda dan keadaan yang tidak lagi mengusik begitu teruk dan lebih tenang di mana mereka tidak lagi terhuyung-hayang, adalah suatu ruang agak muram di hujung kaki lima sebaris kedai tidak jauh daripada kedai kopi itu. Sesampai saja di ruang di mana mereka jauh daripada gangguan orang yang lalu-lalang, mereka rebah di tepi tembok lalu tersadai seperti sampan buruk di pantai.

(v)

Dalam malam yang amat basah itu, dan dalam keadaan yang bagaikan kaku, Tahaj dan Kurub sempat terdengar sayup-sayup, semacam ejekan penuh sinis, ‘Kalau tak ada duit, tahu duduk diam-diam di rumah. Jadi orang baik. Ini, pantang ada duit sikit, di sini mereka tertidur tak sedarkan diri. Nasib baik hujan, kalau tidak dalam longkanglah mereka.” Disambut suara tak gering gusi.

Di tengah-tengah sindiran itu, mereka berdua terasa benar semangat mereka telah dibawa oleh semacam kuasa magis bukan naik ke atas tetapi jelas benar turun ke bawah. Bawah yang mana terasa begitu panas dan rimas.

Di ruang yang panas lagi merismaskan itu, mereka terasa sedang berjalan seperti anjing. Tangan dan kaki mereka memijak tanah gersang. Leher mereka dirantai, ditemani lembaga asing masing masing-yang hodoh dan bertanduk. Lidahnya panjang. Matanya bulat besar. Kepalanya pula botak berkilat dan berlut sinar.

Terdengar sayup-sayup di kejauhan bunyi tembakan yang gemuruh. Bunyi itu pula disusuli bunyi decitan sekumpulan tikus. Banyak tak terkira. Tikus-tikus itu sedikit pun tidak takut kepada mereka berdua. Sebaliknya, binatang berkumis lebat itu hendak menggigit mereka. Bengis betul.

Lembaga asing itu mengusir sekawan tikus itu. Seolah-olah memberikan isyarat jelas, usah diapa-apakan mereka berdua. Segala urusan bukan di bawah kawalan tikus itu, tapi di bawah kawalan dan satu kuasa yang amat luar biasa.

Tahaj dan Kurub hanya dapat saling berpandangan. Kebodoh-bodohan terus. Benar-benar kehilangan punca. Dan lebih memarakkan keadaan apabila ternampak banyak ‘anjing’ termasuk Milaz diiringi lembaga-lembaga pengiring asing masing-masing yang lain. Apakah yang sudah terjadi bagi mereka yang sudah terperlus ke dalam satu kancah aneh yang begitu menghinakan? Manakan tidak, kerana bukan lagi sebagai ‘orang’ yang semangatnya dikawal tapi macam haiwan yang menjijikkan.

Menjijikkan kerana tiba-tiba ada ekor anjing keluar dari buntut mereka. Kuat membedal-bedal angin. Sahlah dan jelaslah mereka betul-betul macam anjing, mengibas-ibaskan ekor ke kiri dan ke kanan. Tidak cukup dengan itu, hidung mereka terkemut-kemut menghidu sesuatu dari jauh yang menusuk hidung macam bau terbakar. Habanya sungguh tidak menyenangkan.

Tidak cukup dengan itu, ada air liur macam anjing itu meleleh dari sudut mulutnya yang menganga dan kelihatan giginya yang tajam. Lidah mereka terjelir-jelir diiringi air liur yang meleleh. Sekaligus tidak lagi menyeringai, menayangkan barisan gigi sambil berjejes air liur.

Kini Tahaj dan Kurub terasa mereka dalam segerombolan seperti anjing hitam berkilat sedang berkejaran menuju ke arah sebuah bukit. Bukit yang di tengah-tengahnya terpasang selaras meriam raksasa. Kelihatan masih ada saki baki asap yang nipis di muncungnya.

Mereka semua yang dijadikan macam anjing itu berjalan dan terus berjalan penuh debaran. Salakan mereka memanjang, akhirnya sampai di sebuah kawasan beberapa puluh meter dari kaki bukit yang lebih panas dan rimas lagi. Terkumpul mereka di situ macam longgokan sampah sarap. Tanah kering comot berpalit macam arang itu berlekuk-lekak. Masih terasa ada asap nipis memanjat udara. Bau semacam isian kimia itu sungguh tidak enak buat hidung, mata dan tekak. Loya seperti hendak muntah.

Tiba-tiba ada suatu suara garau, meneriak, “Diammmm!” Disusuli,

“Dasar anjing, sudah dekat hendak mampus pun mahu buat bising lagi!”

Sekali gus memecahkan dan mengatasi suara salakan sekumpulan anjing itu serta-merta. Suasana diam senyap. Hanya kedengaran hembusan angin Tidak henti-henti. Sentiasa keras panas, seakan-akan terus membara juga dalam dada. Pada masa yang sama semua pengiring mereka segera beredar entah ke mana. Mereka yang betul-betul dianggqap macam banduan ditinggalkan dengan penuh tanda-tanya dan penuh kehairanan.

Dengan sendirinya ekor mereka semua termasuk Tahaj dan Kurub tidak lagi membedal-bedal angin. Terus kendur. Tidak lagi kedengaran lengkingan liar. Jinak, sejinak-jinaknya. Dan sudah tentu juga takut, setakut-takutnya. Jelas, amat kecut semacam. Tahaj dan Kurub turut tertunduk hormat walaupun sudah tergeliat dan terbebat.

“Dengar semua, tak perlu cerita panjang-panjang lagi. Saban waktu kami sibuk. Giliran kumpulan lain macam kamu sedang menantikan giliran mereka pula. Musyrik, membunuh, mencari dukun untuk agenda dan kepentingan diri, murtad, menderhaka kepada orang tua, ayah dan ibu, anak-anak yang berani membantah, menzalimi, berzina, mengadu domba, mengggunjing (ghibah) seperti menfitnah, dan suka dan mengumpat di mana perbuatan ini bagai memakan daging saudaranya sendiri yang sudah mati, dan suka benar bersumpah palsu, adalah perkara-perkara yang kamu semua lakukan dan amat menjengkelkan hati. Dan hukumannya adalah ini! Semua biji mata terpaku ke senjata besar itu.

Semua yang terketar-ketar termasuk Tahaj dan Kurub (yang ada melakukan sebahagian perbuatan-perbuatan yang diperkatakan daripada senarai panjang itu), merembeskan air mata serta memekik menyanggah angin keras, kerana pasti akan dihukum seberat-beratnya. Muncung selaras meriam yang terpasang di tengah-tengah bukit itu terhala betul-betul ke arah sekumpulan lembaga hitam yang sedang menggeletar.

Baaammm!

Semacam kuasa memuntahkan sebutir peluru besar menerusi muncung meriam yang ternganga macam mulut buaya lapar dengan kelajuan 100 meter sesaat. Jatuh dan menciumi saja tanah yang memang sudah kering dan berlekuk-lekak, projektil yang muatannya mengandung bahan pembakar dan isian kimia, ledakan itu menghamburkan serpihan maha dahsyat naik ke atas, ke kiri dan ke kanan, mengenai tepat semua sasaran di ruang itu. Tahaj dan Kurub memang tidak terkecuali. Tembakan senjata itu tidak pernah tersasar. Semua di depan mata, dari semua sudut pasti terkena peluru sebiji itu.

Jelas hanya dengan sekali saja tembakan dari pelancar yang amat setia menyempurnakan tugas, gemanya bersipongang di mana-mana. Angin keras mengusung bunyi tembakan padu yang tunggal itu hingga ke kejauhan.

Semua tubuh hancur terbakar dan sekaligus berkecai. Masih ada asap tebal keluar dari muncung meriam besar yang baru terledak itu. Perlahan-lahan asap itu berkepul-kepul dan bagaikan berlumba-lumba memanjat udara, agak lama baru menipis sebelum perlahan-lahan menghilang. Yang tidak menghilang sepenuhnya ialah debu dan puing-puing. Berterbangan liar.

Suasana yang terang panas tiba-tiba menjadi gelap, segelap-gelapnya. Dan sunyi, sesunyi-sunyinya. Tapi cepat-cepat pula diriuhkan dengan suara keras seorang lelaki berbadan sasa.

(vi)

“Hoi! Bangun! Mabuk tak habis-habis. Mengacau saja di kaki lima. Hendak sapu dan bersihkan tempat ini pun susah.”

“Ha. Apa lagi yang ditunggu? Belah saja.”

Senyuman pahit penuh sinis tukang pembersihan jelas memancarkan kejelikan yang tidak terperi. Sungguh menjengkelkan hatinya melihat Tahaj dan Kurub yang mengambil masa yang begitu lama uutuk beredar segera dari situ.

Perlahan-lahan dan dengan malas-malas, Tahaj dan Kurub bangun berdiri. Menyeka keringat di dahi yang berkerut. Mulut dan nafas mereka masih berbau masam dan tengik. Tukang pembersihan dengan sebatang penyapu masih di tangan, masih terus menunggu mereka berdua betul-betul bangun sepenuhnya sebelum membolehkan dia menyapu segala kotoran di kaki lima itu.

Sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari kaki lima di bangunan empat tingkat itu di tengah-tengah mentari 9.00 pagi di mana mentari menghantar sinarnya yang memijar, jauh berbeza dengan semalam yang berhujan lebat, mereka terus saling berpandangan dan hanya mengajukan soalan yang utama sahaja untuk mendapatkan pengesahan yang tercetus daripada gerak hati yang berbau magis.

“Kau juga menjadi arwah?” tanya Tahaj.

Kurub mengangguk. ‘Kau juga jadi macam anjing?”

Tahaj pula mengangguk. “Kau dibawa lembaga asing ke sebuah kawasan berdekatan bukit?”

Tahaj mengiyakan lemah dan penuh getaran. “Kau dihukum oleh...”

“Oleh meriam besar. Kau?...”

“Kita dan yang lain-lain mati sebagai anjing kurap!”

Terdiam sambil menelan air liur dengan agak payah. Tak banyak bercakap. Tertebar rasa yang amat menggigit pangkal rasa. Manakan tidak? Mimpi pun sama. Atas perbuatan yang ketara. Yang paling utama, menzalimi kepada diri sendiri dan kepada orang lain. Dan juga menganiayai orang di mana mereka tahu kini orang yang teraniaya, doanya akan terangkat sampai ke langit.

“Kita batalkan saja terus rancangan kita untuk merompak pengurup wang di sebuah kedai di Jalan Salim,” tegas dan bulat hati Tahaj.

Kurub terdiam. Masih menghadam dan menafsir mimpi yang dikatakan banyak orang hanya merupakan satu permainan tidur.

“Ini bukan lagi permainan tidur. Tidur kita tidur orang yang mabuk yang akhirnnya ditembak dengan meriam agam. Aku rasa ini alamat buruk yang berupa ingatan,” jelas Tahaj yang seolah-olah dapat membaca isi hati kawannya yang baru keluar DRC, lebih lewat sedikit daripadanya.

Kurub terdiam terus. Terkebil-kebil matanya. Semakin penuh getaran di jiwanya apabila ternampak Milaz dari jauh.

“Kurub, kita sebenarnya bukan jahat, tapi kita tersilap. Kita betulkan kesilapan kita. Kita batalkan saja rancangan kita. Ya, kita hentikan menjadi jahat, buruk dan zalim....Sebelum terlambat kita...”

Sebelum Tahaj menghabiskan kata-katanya, Milaz dari jauh semakin dekat lalu bertanya, “Jadi? Aku sudah bersedia.”

Tahaj dan Kurub saling berpandangan lagi. Bagaimanakah mereka hendak menerangkan sebuah mimpi yang amat magis menimpa mereka dalam waktu yang sama? Silap hari bulan boleh dicap gila. Lebih dahsyat lagi, orang kaki botol dan pemabuk macam mereka akan diejek penuh sinis, memang bercakap dan melakukan benda yang sama. Sama autanya. Dalam sepuluh, sembilan jangan percaya. Yang satu lagi pun buihnya juga macam air dalam minuman keras itu, sudahnya boleh pecah juga.

“Tahaj, kenapa diam ni?”

Dan kepada Kurub, Milaz menambah penuh kekalutan berbaur keanehan, “Kau pun sama. Tiba-tiba sudah jadi macam tikus. Kenapa ini? Ada yang tak kena?”

Tiada jawapan segera. Yang segera ialah mereka memutuskan ke masjid sebentar lagi.

“Masjid? Bukan ke Jalan Salim petang nanti? Ah Long kejar aku lagi. Dapat banyak duit nanti, problem aku settle.”

“Ya, ke masjid. Kami tak mahu ke Jalan Salim. Kami tak mahu menjadi zalim lagi. Cukuplah sampai di sini,” Tahaj meningkah. Kurub mengangguk saja.

“Ya, kita sudah menjadi macam tikus. Takut dengan anjing. Takut dengan lembaga asing. Takut dengan meriam. Takut kepada diri sendiri. Takut dengan kuasa yang luar biasa yang sukar diterangkan dengan kata-kata biasa.”

“Eh, apa pula yang kau merepekkan ni? Zalimlah. Anjinglah. Tikuslah. Lembaga asinglah. Meriamlah. Takut kepada diri sendirilah. Kuasa luar biasalah. Hei, apa ini semua? Siang-siang begini pun mabuk ke?”

Terus tiada jawapan segera. Yang segera ialah dia ditinggalkan sendirian penuh kekalutan tanpa menemani Tahaj dan Kurub untuk pulang ke rumah masing-masing dahulu sebelum ke sebuah bangunan yang berkubah nanti seperti yang diperkatakan sebentar tadi.

Milaz terus terpinga-pinga. Menggit-gigit bibir atas bawah. Pelbagai bunga persoalan berkembang di kepalanya. Giliran dia pula disengat semacam kebodoh-bodohan yang semakin membengkak. Cuba menghadamkan kata-kata biasa tapi bernada luar biasa yang tentunya menuntut diberikan jawapan yang jitu lagi waras.

BIODATA PENULIS:


Peter Augustine Goh ialah nama pena Iskandar Goh.

Bidang penulisannya termasuklah cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama televisyen dan radio serta ulasan sastera.

Pesara polis Singapura ini kini seorang pembimbing penulisan kreatif untuk sekolah rendah dan menengah serta maktab rendah dan penterjemah bebas.

Buku-buku terbaharunya ialah sebuah kumpulan cerpen, ‘Lelaki Tua Di Wilayah Sepi’, dan dua kumpulan puisi, ‘Kerana Kata-kata’ dan ‘Warna Cinta’ terbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >